Kemaman, 22 May 2009 – Belia hari ini adalah batu bata kepada binaan masa depan Islam. Kecemerlangan umat Islam pada masa hadapan adalah digambarkan oleh siapa pemuda/i yang sedang dibentuk pada hari ini. Masalah serta kebobrokan yang berlaku kepada masyarakat pada hari ini dalam semua bidang kehidupan, perlukan penyelesaian segera tanpa tangguh.
Ia perlu dimulakan dengan pembentuan individu muslim yang mempunyai keimanan dan jati diri mukmin yang sebenar. Hanya kefahaman yang sebenar dan sahih terhadap ISLAM (as the way of life) serta sentiasa dibentuk dan dilatih sahaja mampu menghasilkan iman yang bergerak dan mampu menggerak manusia lain dan dunia ini amnya. Apa sahaja fikrah (atau ideologi) yang tidak dilandaskan dengan kefahaman dan prinsip kepercayaan yang sebenar, tidak akan mampu bertahan lama menghadapi arus gelombang cabaran semasa. Lantaran itu lah, PEMBINA telah mengambil tanggungjawab da’wah ini dengan melakukan pelbagai aktiviti untuk menanam kefahaman dan membangkitkan kesedaran kepada para pemuda/i untuk sama-sama memahami dan menghayati ISLAM.
Baru-baru ini telah berlangsung satu siri Wacana kefahaman Islam siri ke-2 yang telah diadakan di Institut RANACO, Kemaman. Ini merupakan program kerjasama antara PEMBINA dan Majlis Perwakilan Pelajar, Institut RANACO. Satu penyampaian telah disampaikan oleh AlFadhil Ustaz Mohd Zalani Bin Ibrahim, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Terengganu, juga merupakan seorang Eksekutif di PETRONAS. Penyampaian beliau berdasarkan buku “Apa Erti Saya Menganut Islam” karangan AsSyeikh Fathi Yakan, seorang ulamak dan da’ie yang terkenal.
Para pelajar Institut Ranaco
Kesemua para pelajar amat tekun dan dengan penuh minat menggarap ilmu dan perkongsian yang disampaikan selama 2 jam. Pelbagai analogi, kisah dan maklumat disampaikan dengan penuh bersemangat sehingga kesemua pelajar tetap berada di tempat duduk mereka sehingga diakhir sesi ini. Majlis pada petang itu diakhiri dengan sedikit jamuan petang daripada pihak penganjur. Ramai para pelajar berminat untuk menyalin bahan pembentangan ustaz serta pelbagai video klip nasyid yang ditayangkan semasa sesi jamuan.
InsyaAllah, semoga berjumpa lagi pada siri akan datang….
Ustaz Zalani memberikan penerangan kepada para pelajar