UEC : ANCAMAN IDENTITI NEGARA

Ancaman Identiti Negara

Kementerian Pendidikan Tinggi semalam telah meluluskan peluasan laluan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang melibatkan lulusan Unified Examination Certificate (UEC).

Saya menyatakan bahawa keputusan KPT untuk menerima graduan UEC ke IPTA merupakan satu langkah yang silap dan akan memberi kesan besar terhadap masa depan dasar pendidikan negara. Walau sebesar mana sekalipun hujahan yang dikemukakan untuk mempertahankan keputusan ini atas nama meritokrasi, keterbukaan ataupun kesamarataan, hakikatnya implikasi jangka panjang terhadap identiti nasional dan sistem pendidikan negara jauh lebih membimbangkan.

Isu ini bukan sekadar soal membenarkan pelajar tertentu memasuki universiti awam. Isu yang lebih besar ialah mesej yang dihantar oleh kerajaan melalui keputusan tersebut. Pengiktirafan terhadap UEC bagi tujuan kemasukan ke IPTA membawa simbol bahawa kerajaan akhirnya bersedia mengiktiraf sebuah sistem pendidikan yang sejak sekian lama memilih untuk berada di luar kerangka pendidikan kebangsaan.

Malaysia ialah sebuah negara majmuk yang dibina atas asas kompromi dan perpaduan nasional. Dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum, bahasa dan budaya, sistem pendidikan sepatutnya menjadi medium utama untuk membentuk identiti kebangsaan yang dikongsi bersama. Sebab itu sistem pendidikan kebangsaan dibina dengan sukatan pelajaran, bahasa kebangsaan dan dasar pendidikan yang seragam. Tujuannya jelas supaya generasi muda daripada pelbagai latar belakang dapat membesar dalam satu kerangka nasional yang sama.

Namun kewujudan UEC sejak awal lagi bergerak secara berasingan daripada sistem tersebut. Silibusnya tidak tertakluk sepenuhnya kepada dasar pendidikan negara, penggunaan bahasa pengantar utamanya berbeza, malah orientasi pendidikannya juga dibentuk di luar kerangka pendidikan kebangsaan. Dalam keadaan itu, apabila graduannya kini diberikan laluan ke IPTA, maka timbul persoalan besar: apakah sebenarnya nilai dan fungsi sistem pendidikan kebangsaan jika akhirnya kerajaan sendiri bersedia mengiktiraf sistem alternatif yang enggan mengikut acuan negara?

Pendukung UEC sering berhujah bahawa pelajar UEC juga rakyat Malaysia dan mereka tidak seharusnya dinafikan peluang pendidikan tinggi. Namun, hujahan tersebut sengaja mengaburkan isu pokok. Tiada siapa menafikan hak mana-mana rakyat untuk mendapatkan pendidikan. Apa yang dipersoalkan ialah sama ada institusi awam negara perlu memberikan pengiktirafan rasmi kepada sistem yang tidak berada dalam arus pendidikan nasional.

Jika alasan merit dan kecemerlangan akademik dijadikan ukuran utama, maka selepas ini apakah asas untuk mempertahankan keutamaan sistem pendidikan kebangsaan? Mengapa pelajar perlu melalui sistem kebangsaan yang ditetapkan negara jika akhirnya sistem lain yang tidak mengikut dasar nasional turut diberikan pengiktirafan yang sama dalam kemasukan ke IPTA?

Lebih membimbangkan, keputusan ini juga membuka ruang kepada penghakisan secara perlahan terhadap kedudukan sistem pendidikan kebangsaan itu sendiri. Dasar pendidikan negara tidak boleh dilihat sekadar alat untuk melahirkan pelajar cemerlang di atas kertas. Pendidikan ialah instrumen pembinaan negara. Ia berkait secara langsung dengan perpaduan, identiti nasional, bahasa kebangsaan dan integrasi sosial.

Negara-negara lain yang mempunyai masyarakat majmuk juga memahami hakikat ini. Sebab itu mereka meletakkan kepentingan nasional mengatasi tuntutan kelompok tertentu dalam soal pendidikan. Malangnya di Malaysia, setiap kali timbul isu melibatkan pendidikan vernakular atau UEC, kerajaan kelihatan semakin longgar mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan semata-mata kerana tekanan politik.

Apa yang lebih mengecewakan ialah kerajaan seolah-olah gagal memahami sensitiviti rakyat yang melihat pendidikan sebagai asas pembinaan negara bangsa. Dalam keadaan perpaduan nasional semakin rapuh, kerajaan sepatutnya memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadapnya dan bukannya menghantar isyarat bahawa sistem di luar arus nasional juga akhirnya akan diterima dan diberikan pengiktirafan setara.

Kerajaan perlu sedar bahawa isu ini bukan sekadar soal akademik. Ini soal prinsip dan hala tuju negara. Jika Malaysia benar-benar mahu membina identiti kebangsaan yang kukuh, maka semua pihak perlu bergerak dalam satu kerangka pendidikan nasional yang sama. Selagi wujud tuntutan untuk mengekalkan sistem berasingan tetapi pada masa yang sama mahu menikmati pengiktirafan penuh daripada institusi awam negara, selagi itulah cita-cita untuk membina integrasi nasional yang sebenar akan terus berdepan cabaran.

Abu Dzar Mohd Annuar
Presiden PEMBINA Malaysia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top