Pencetus Minda Usahawan

Alhamdulillah Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis (KBAZ) telah berlangsung dengan jayanya. Tahniah kepada tuan pengarah merangkap setiusaha agung PEMBINA dan barisan ahli jawatankuasa KBAZ serta ahli PEMBINA diseluruh pelusuk tanahair yang telah bertungkus lumus menjayakan konvensyen yang akan memberikan impak yang besar kepada PEMBINA. Semoga pengalaman yang ditimba sepanjang menjayakan program tersebut akan dapat memacu PEMBINA dengan lebih baik pada masa akan datang.

Sebagai sebuah persatuan yang baru, tentunya aspek ekonomi merupakan satu cabaran yang perlu diberi perhatian. Islam sendiri tidak pernah mengabaikan aspek ini malah Islam telah meletakkan segala dasar berkenaan ekonomi. Islam juga tidak pernah menghalang apa jua cara yang dapat membantu menjana aspek ekonomi asalkan ianya bertepatan dengan syarak. Islam juga menggalakkan umatnya bekerja sendiri sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Makanan yang paling baik dimakan ialah makanan yang dimakan daripada usaha tangan sendiri. Nabi Allah Daud a.s makan daripada hasil tangannya sendiri.”

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini, pemberhentian pekerja adalah suatu keadaan yang tidak dapat dielakkan. Apakah kita merasa selamat daripada keadaan ini? Saya yakin pada masa hadapan cabarannya akan lebih besar. Marilah sama-sama kita memikirkan apakah persediaan yang sepatutnya kita sediakan untuk menghadapi situasi yang tidak menentu ini. Jangan kita merasa selesa dengan keadaan kita sekarang. Marilah kita menghayati kata-kata As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dalam wajibat amal yang telah digariskan.

“Anda hendaklah menjalankan kerja-kerja ekonomi walaupun anda seorang yang kaya. Anda hendaklah berusaha untuk bekerja sendiri walaupun secara kecil-kecilan. Anda hendaklah tumpukan usaha dalam kerja tersebut, walau setinggi mana sekalipun pencapaian akademik anda.”

Saya menyeru kepada semua belia amnya dan ahli PEMBINA khususnya, marilah kita menanamkan minda usahawan dalam diri kita. Berfikirlah mulai sekarang bagaimana untuk kita menjadi usahawan pada masa akan datang. Kita memerlukan ramai usahawan untuk memastikan ‘survival’ umat ini pada masa akan datang. Kita mesti berusaha untuk memastikan penguasaan ekonomi kembali kepada umat ini. Sabda Rasulullah s.a.w:

نعم المال الصالح للرجل الصالح

“Sebaik-baik harta yang baik ialah yang dimiliki oleh lelaki yang baik”

Semoga PEMBINA akan menjadi pencetus kearah mewujudkan generasi belia yang berminda usahawan.

Allahu a’lam

 

Majid Jantan
Majid Jantan
Biro Ekonomi, PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top