
Dalam tradisi keilmuan Islam, ilmu dan adab merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Hal ini kerana, peradaban Islam adalah sebuah peradaban yang menjunjung tinggi aspek keilmuan. Ilmu tanpa adab akan melahirkan manusia yang sombong dan hilang pedoman, manakala adab tanpa ilmu pula tidak mampu membina ketamadunan yang unggul. Mahasiswa sebagai pemimpin dan intelektual ummah perlu sentiasa sedar bahawa kejayaan akademik bukan hanya diukur melalui pencapaian intelektual, tetapi juga melalui kemuliaan akhlak dan kesantunan terhadap guru.
Dalam konteks pendidikan tinggi hari ini, kita berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah krisis adab dalam menuntut ilmu. Mahasiswa sering didedahkan dengan pelbagai sumber pengetahuan, namun tanpa bimbingan adab, ilmu tersebut boleh membawa kepada kekeliruan. Imam Malik pernah berpesan kepada seorang anak muda Quraisy: “Pelajarilah adab sebelum kamu mempelajari ilmu.” Kata-kata ini menggambarkan bahawa asas kepada pembinaan seorang ilmuwan ialah akhlak dan penghormatan terhadap guru serta ilmu itu sendiri. Al-Quran merakamkan kisah agung antara Nabi Musa a.s dan Nabi Khidir sebagai panduan kepada para penuntut ilmu. Walaupun Nabi Musa a.s merupakan seorang rasul yang memiliki kedudukan mulia, Baginda tetap diperintahkan untuk berguru dan menuntut ilmu daripada Khidir. Dalam Surah al-Kahfi, Nabi Musa a.s berkata dengan penuh tawaduk:
“Bolehkah aku mengikutimu supaya engkau mengajarku ilmu yang benar yang telah diajarkan kepadamu?” (Surah al-Kahfi: 66)
Ayat ini menunjukkan bahawa seorang penuntut ilmu perlu memiliki sifat rendah hati, sabar di dalam menuntut ilmu dan menghormati gurunya. Nabi Musa a.s tidak datang dengan kesombongan, bahkan memohon izin untuk belajar. Walaupun menghadapi pelbagai ujian sepanjang perjalanan bersama Nabi Khidir, Baginda tetap berusaha menjaga adab sebagai murid. Kisah ini memberi pengajaran besar kepada mahasiswa bahawa proses menuntut ilmu memerlukan kesabaran, pengorbanan dan keyakinan bahawa guru memiliki hikmah yang kadangkala belum mampu difahami oleh murid pada awalnya.
Sejarah keilmuan Islam turut diwarnai dengan pelbagai kisah perjuangan para ulama dalam menuntut ilmu. Apabila kita menyelusuri kesungguhan para ulama silam dalam menuntut ilmu, kita akan menemui kisah-kisah yang sangat menginspirasikan berkenaan keazaman yang sangat kuat dan ketekunan yang tidak berbelah bahagi dimiliki oleh generasi yang terbaik ini. Sebagai contoh, menurut Ibn al-Attar, al-Imam al-Nawawi meninggal pada usia 45 tahun namun, melalui usia yang singkat, beliau meninggalkan karya yang tidak terhitung. Imam Muslim terpaksa bermusafir daripada Afghanistan ke Naisabur, kemudian ke Kuffah, ke Baghdad, ke Raqqah, ke Basrah, ke Mesir dan melintasi negeri-negeri yang terperosok, yang membawa bersama wabak penyakit dalam musafir ilmu dan kelana. Manakala, Imam al-Shafi‘i رحمه الله yang hidup dalam kemiskinan semasa kecil sehingga terpaksa menulis ilmu di atas tulang dan pelepah tamar kerana tidak mampu membeli kertas. Namun kesungguhan dan kecintaan mereka terhadap ilmu akhirnya menjadikan mereka ulama’ yang dihormati dan menjadi rujukan sepanjang zaman.
Kisah-kisah perjuangan ulama’ ini seharusnya menjadi inspirasi kepada mahasiswa hari ini agar tidak mudah berputus asa dalam menuntut ilmu. Kemudahan teknologi dan akses pendidikan pada masa kini seharusnya meningkatkan kesungguhan dan ketekunan di dalam menuntut ilmu, bukannya bersikap sambil lewa terhadap amanah ilmu. Dalam masa yang sama, mahasiswa perlu sentiasa menghormati guru sebagai wasilah yang menyampaikan cahaya ilmu.
Seorang mahasiswa yang memahami dan memaknai konsep Tauhid di dalam kehidupannya akan melihat ilmu sebagai amanah dan ibadah sepanjang hayat. Mereka belajar dengan niat yang ikhlas untuk membangunkan potensi diri, membangunkan kekuatan Ummah dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan sebuah peradaban. Mahasiswa justeru memahami hakikat keilmuan dalam Islam tidak hanya terbina atas kemampuan intelektual semata-mata, tetapi berasaskan Tauhid yang menjadikan ilmu sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukan sekadar alat untuk mendapatkan kedudukan, pekerjaan atau kemegahan duniawi.
Sempena Hari Guru, marilah kita menghayati kembali bahawa pendidikan bukan hanya proses pemindahan maklumat, tetapi pembinaan insan yang beradab. Guru bukan sekadar penyampai kurikulum, tetapi murabbi yang membentuk jiwa dan keperibadian pelajar. Mahasiswa pula bukan hanya pencari sijil dan kejayaan duniawi, tetapi insan yang dipertanggungjawabkan untuk membawa ilmu kepada Ubudiyyah kepada Allah SWT dan kemaslahatan manusia. Masyarakat yang unggul lahir daripada gabungan ilmu dan adab. Apabila mahasiswa menghormati guru, memuliakan ilmu dan meletakkan Tauhid sebagai asas kehidupan, maka lahirlah generasi yang bukan sahaja unggul dari sudut keilmuannya, tetapi juga luhur akhlaknya. Inilah makna pendidikan yang sebenar dan inilah yang perlu diperjuangkan kea rah membina sebuah peradaban yang unggul.
Disediakan oleh:
Nur Irdina Hakimah binti NorAzali
JK Aktivisme PEMBINA Malaysia
