Syawal Buat PEMBINA

Assalamualaikum warahmatullah

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahi Alhamdu.

Alhamdulillah, pertama dan selama-lamanya, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah swt atas nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Allahumma solli ‘ala Muhammad, wa ‘ala aalihi wa sohbihi wasallam.

ALHAMDULILLAH. Setinggi-tinggi lafaz kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T, yang telah menganugerahkan nikmat kesejahteraan, umur yang panjang dan kesihatan yang baik sehingga kita masih lagi berkesempatan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan dan seterusnya merayakan Aidilfitri yang lalu. Mengharungi pelbagai bentuk  cabaran dan dugaan melalui ibadah puasa sepanjang Ramadhan pastinya banyak memberikan pengajaran kepada kita untuk menjadi hamba Allah yang semakin baik berbanding masa-masa yang lepas. Semoga kebaikan demi kebaikan yang kita peroleh terserlah bukan sahaja kepada diri sendiri, malah diharapkan dapat melimpahkan manfaat kepada kesejahteraan masyarakat serta seluruh isi alam ini.

Warga pembaca sekalian,

Sudah lebih seminggu Ramadhan Al-Mubarak meninggalkan kita. Terlalu cepat ia berlalu pergi tanpa kita sedari . Alangkah beruntungnya mereka yang benar-benar memanfaatkan bulan ini dengan membanyakkan amalan dan menghimpunkan sebanyak mungkin kebaikan .Sebaliknya rugilah mereka yang mempersia-siakannya atau menyambutnya dengan sambil lewa.

Kepada hamba yang taat ,jelas terpancar seri di wajah-wajah mereka menantikan Youmul Ja’izah (hari penganugerahan ). Benarlah sabda junjungan besar Nabi Muhammad saw yang menyatakan:

“Bagi mereka yang berpuasa itu ada dua kegembiraan ;pertama sewaktu berbuka dan yang kedua sewaktu bertemu dengan Allah Azza Wajalla.”

Sedangkan mereka yang ingkar ,di wajah mereka terbayang rasa penyesalan dan kesugulan.

Saudara dan saudari sekalian,

Saya menyeru dan mengingatkan akan diri ini dan seluruh warga PEMBINA supaya kesan daripada tarbiyyah Ramadhan ini membuatkan kita semakin bersemangat dan meneruskan amalan kita di bulan ini pada bulan-bulan yang lain.Jika dalam bulan ramadhan yang lalu kita dapat melakukan sekian banyak amalan ditambah pula dengan kesungguhan yang tinggi, kenapa tidak diteruskan momentum yang sama pada bulan yang mendatang. Jangan biarkan amalan kebaikan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan berhenti setakat itu sahaja, marilah beramal dengan konsisten sepanjang tahun.

Sepanjang Syawal ini, janganlah kita lupa ziarah menziarahi  kaum keluarga, sanak saudara, malah sahabat handai serta saudara seislam yang lain, bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita.Sehubungan dengan itu juga , bulan Syawal ini juga sewajarnya kita mengambil  peluang untuk kita berpuasa sunat 6 hari sebagai kesinambungan puasa kita di bulan Ramadhan, seperti mana hadis Nabi saw, dari Abu Ayyub Al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan diikuti dengan 6 hari berpuasa di bulan syawal, dia seolah-olah berpuasa selama setahun.” (Hadith Sahih Muslim)

Saudara dan saudari rakan pembaca sekalian,

Di penghujung kalam, sempena Syawal yang mulia ini, saya mewakili pihak Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA) cawangan Selangor seterusnya warga pengelola PEMBINASelangor.com ingin memohon kemaafan diatas kesilapan yang pernah dilakukan sepanjang perkenalan kita dalam PEMBINA ini. Setinggi-tinggi tahniah dan selamat hari raya diucapkan kepada anda semua dengan iringan doa semoga Allah menerima ibadah puasa, qiam kita dan segala amal kebaikan yang kita lakukan sepanjang ramadhan yang lalu.

“Ya Allah terimalah Ramadhan yang kami lalui ini sebagai amalan ikhlas daripada kami dan jadikanlah kami dari kalangan mereka yang dibebaskan daripada api neraka.Semoga Allah menemukan kita lagi dengan Ramadhan yang akan datang.”


Salam Aidilfitri kami ucapkan kepada semua.
Kullu ‘aam, wa antum bikhair.

Mohd Fairul Nafazli Md Nazin, PEMBINA Selangor

En Fairul Nafazli, Pengerusi PEMBINA Selangor

En Fairul Nafazli, Pengerusi PEMBINA Selangor

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top