Jamuan Aidilfitri PEMBINA DHL Meriah

Bangi 3 Oktober – Buat julung kalinya, semenjak penubuhan Persatuan Belia Islam Nasional Daerah Hulu Langat (PEMBINA DHL) pada tahun 2008, persatuan ini telah berjaya menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini telah diadakan di Dewan Cempaka, Kompleks PKNS Bangi. Majlis tersebut telah mencatatkan kehadiran seramai lebih kurang 300 orang belia dan beliawanis dari institusi-institusi pengajian tinggi sekitar daerah Hulu Langat serta diceriakan lagi dengan kehadiran wakil-wakil organisasi belia dari ABIM Bangi, KARISMA Hulu Langat dan Persatuan Belia Sri Al-Ain (BERSAMA).

Antara objektif majlis ini diadakan adalah untuk mengeratkan ukhuwah di antara para ahli, serta memperkenalkan PEMBINA kepada para belia dan masyarakat.

Majlis tersebut menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Dr. Tajul Ariffin Bin Noordin sebagai Tetamu Kehormat. Beliau menyatakan kegembiraannya menyaksikan kehadiran belia yang begitu ramai lantas membangkitkan semangat kebeliaan dalam diri beliau. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan para belia agar


belajar berdikari dan jangan menjadikan diri sebagai alat monopoli oleh golongan tertentu seperti yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu.

Tidak ketinggalan ucapan Presiden PEMBINA sendiri, Dr Kamil Azmi Bin Tohiran yang penuh bersemangat, menyeru agar belia bersikap prihatin dengan masyarakat dan persekitaran, bukan hanya memikirkan keperluan diri sendiri sahaja seperti pelajaran dan kerjaya.

dr kamil

Suasana yang diceriakan dengan gurau senda dan senyum tawa para tetamu dimeriahkan lagi dengan persembahan nasyid yang penuh bersemangat dari Kumpulan Nasyid PEMBINA (Kumpulan Sohwah). Tayangan video PEMBINA turut dilayarkan sementara para tetamu menjamu selera dengan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, kuah lodeh, kari ayam, dan sebagainya.

Selepas para tetamu menjamu selera dengan juadah yang disediakan, Ketua PEMBINA DHL, saudara Aizuddin Bin Khalid sempat menyampaikan  ucapan penutup buat para hadirin. Beliau meletakkan setinggi-tinggi harapan agar para belia dapat menghidupkan budaya “volunteerism” atau sifat kesukarelawanan tanpa mengharapkan imbalan materialisme daripada bakti-bakti yang dicurahkan kepada masyarakat.

Harapan pihak penganjur agar majlis ini berjaya mempertautkan hati tetamu yang hadir dan membuatkan para belia merasa lebih bersemangat untuk menyumbangkan tenaga kepada masyarakat bagi mengembalikan nilai akhlak yang tinggi di kalangan generasi belia kini.

Berita disediakan oleh,
Nor Hasni Hayati Binti Hanapi
PEMBINA DHL

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top