Sweetnyer ukhuwah bak gula-gula kapas

ukhuwah

Saya bukanlah orang yang mudah mesra dengan orang lain. Disebabkan sikap ini saya tak banyak kawan dan kalau ada pun tak ramai. Kawan sekadar kawan. Tapi tak dinafikan ada kawan-kawan yang baik dalam kalangan mereka.

Selepas mendapat tawaran Mara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan membuat kursus persediaan di Kolej Mara Kuala Nerang (KMKN), takdir bertemu dengan beberapa orang rakan yang telah memberi makna sebenar sahabat dalam kehidupan saya.

 Dan antaranya ialah saudara Aidil Idham, orang kedua yang saya jumpa selepas saudara Hanafi Khashim, ketika pertama kali menjejakkan kaki di KMKN. Walaupun masih ada saki baki dalam hati, perasaan suka bersendirian dan tidak suka bergaul dengan orang lain, namun perasaan itu kian beransur pergi.

Setahun berlalu selepas itu, dan alhamdulillah kami telah berjaya ke UniKL Royal College Medical Perak (RCMP). Di situ kami mula berjinak-jinak dengan PEMBINA apabila diajak oleh senior untuk menyertai persatuan ini. Dalam PEMBINA, kami diajar mengenai erti ukhuwah, bila mana hati dan jiwa ini terikat dengan ikatan akidah yang kuat dan bernilai.

Hubungan kami bertambah akrab, dan makna ukhuwah ini telah memberi nafas baru dalam persahabatan kami. Tidak cukup dengan itu lagi, melalui PEMBINA saya telah berkenalan dengan ramai sahabat PEMBINA di seluruh Malaysia, walaupun jauh dan tidak pernah berjumpa, tapi cukup mesra bak saudara kandung apabila berhubung jarak jauh.

Alhamdulillah. Sudah 5 tahun saya mengenali Aidil Idham dan sekarang kami sudah pun berada dalam tahun ke-4 perubatan, masih bersama-sama harungi suka duka dalam jalan ini.

Terima kasih PEMBINA dan buat mereka yang memberikan peluang kepada saya untuk berkenalan dengan jalan dakwah dan tarbiyyah. Tanpa mereka tiada erti ukhuwah buat saya.

Ahmad Ariff Azmeer Munshi

PEMBINA UniKL RCMP

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top