Dewasa ini, terdapat segelintir mahasiswa yang meletakkan perjuangan mereka atas dasar kebebasan akademik. Mereka menggunakan sentimen kebebasan akademik sebagai ekspresi yang menandakan tidak puas hati kepada pihak atasan yang menyekat pergerakan mereka.
Pelbagai bentuk tekanan cuba diberikan ke atas pihak pentadbiran sebagai simbolik kepada ‘Student Power’ yang mampu menentukan halatuju mahasiswa. Tetapi, amat malang sekali jika kebebasan akademik ini disulami dengan pengaruh politik luar yang cuba dibawa masuk ke dalam Universiti.
Hal ini memberi ruang dan peluang kepada politikus-politikus menggula-gulakan mahasiswa bagi mencapai agenda tersirat mereka.
Slogan kebebasan akademik bersahutan. Mahasiswa bangkit berdiri menyahut seruan yang dilaungkan. Institusi pentadbiran universiti menjadi gamat dengan berdirinya mahasiswa yang memperjuang kebebasan akademik menentang perundangan yang telah digariskan.
Pelbagai tekanan dilakukan yang bersandarkan atas nama kebebasan akademik. Perkara yang sama turut dilaungkan terhadap seruan memansuhkan akta hasutan yang mereka jalankan sebelum ini. Apakah yang sedang berlaku? Apakah agenda sebenar disebalik kebebasan akademik yang diperjuangkan?
Solidariti cuba dilakukan oleh mahasiswa bagi menuntut keadilan ke atas lapan orang pelajar dengan melakukan bantahan yang diberi nama Occupy UM. Apa yang dapat dilihat daripada program tersebut, mereka telah memberi ruang kepada segelintir tokoh-tokoh liberal untuk memberi ucapan dan menunjukkan sokongan terhadap bantahan itu.
Mereka melaungkan slogan “Mahasiswa Merdeka” bagi menyatakan kebebasan mereka daripada menjadi boneka pihak universiti. Tanpa disedari sebenarnya mereka telah dibonekakan oleh pihak tersebut. Selain itu, mereka turut mengangkat tokoh-tokoh tersebut supaya menjadi ikon kepada mahasiswa.
Antara jemputan yang hadir ialah Marina Mahathir. Beliau merupakan Pengerusi ‘Sister In Islam’ (Sis) yang selama ini tidak putus-putus memperjuangkan hak-hak wanita yang bertentangan dengan syariat Islam.
Selain itu, mereka turut menjemput Ambiga selaku Pengerusi BERSIH yang selama ini lantang mencabar perkara-perkara dalam perlembagaan yang menjaga kesucian Islam dan hak orang Melayu. Ambiga juga merupakan pendokong Suruhanjaya Antara Agama (IFC), pembela kes murtad, penentang Mahkamah Syariah dan penganjur Seksualiti Merdeka 2011 (kebebasan seks).
Keterlibatan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) di dalam Occupy UM kelihatan naif apabila mereka memberi ruang dan pentas kepada golongan yang selama ini berusaha menentang Islam.
Sebagai sebuah gerakan Islam di dalam kampus Universiti Malaya, mereka seharusnya mencegah kemungkaran daripada berlaku, bukannya menjadi peserta dan menyokong program tersebut. Kami menyeru agar PMIUM mampu membawa satu agenda yang besar tanpa menggadaikan prinsip, serta mengikut acuan Islam.
Perjuangan demokratik liberal mengangkat hak asasi manusia dengan melancarkan agenda-agenda berselindung yang dikhuatiri akan menghapuskan nilai–nilai Islam yang sedia ada digariskan dalam perlembagaan negara. Salah satu senjata mereka adalah mengibarkan panji hak kebebasan bersuara, yang kini semakin berkembang dalam jiwa mahasiswa melalui hak kebebasan berakademik.
Mahasiswa dijadikan sebagai agen dan boneka mereka untuk meluaskan agenda liberalisme tersembunyi sesuai dengan kedudukan mahasiswa yang sentiasa menjadi kontroversi terhadap isu semasa terutamanya yang berkaitan dengan politik negara.
Sampai bila mahasiswa akan terus dibelenggu dengan agenda tersembunyi di atas panji kebebasan akademik? Sampai bilakah perjuangan mahasiswa dalam menuntut keadilan dibonekakan oleh agenda asing yang berpotensi mengancam Institusi Islam dalam perundangan negara?
Mahasiswa seharusnya cakna terhadap agenda dan anasir pemikiran liberalisme yang amat halus dan membarah serta produktif dalam mencegah kebatilan dari dalam.
Segala bentuk usaha yang mengancam jati diri mahasiwa muslim dari sudut pemikiran dan akidah perlu dikecam. Di sebalik topeng kebebasan akademik tersebut jelas tersirat agenda yang akan mencalarkan kesucian Islam sekiranya tidak dibendung dan dihalang dari awal.
Kebenaran harus ditegakkan tanpa percampuran kebatilan yang hanya akan merapuhkan kekuatan dan prinsip perjuangan. Paksi kebenaran akan tertegak dan kebatilan akan terhapus sekiranya Islam yang syumul dapat diterapkan dalam prinsip yang diperjuangkan bersama.
Nurul Ain binti Abdullah
Nashrul Izwan bin Abdul Aziz
Biro Media dan Penerangan,
PEMBINA UM