Sirah Muzikal PEMBINA Selangor Tarik 1200 Hadirin

10 Okt, Putrajaya – Bertemakan ‘Merentas Kegemilangan Umat’, program kebudayaan Sirah Muzikal anjuran PEMBINA Selangor telah berlangsunga dengan jayanya malam tadi bertempat di Auditorium Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

Program ini turut dihadiri YAB Dato’ Dr Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ust Abdullah Zaik, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Persembahan Sirah berbentuk muzikal ini menampilkan Kelab Teater International Islamic College (IIC), Nazrey Johani, kumpulan Nowseeheart, Muadz dan kumpulan Fareast. Program yang jarang sekali diadakan seumpama ini merupakan program anjuran PEMBINA Selangor, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Maahad Tahfiz Bayu Syahadah, Persatuan Belia Masjid Selangor dan Nasyeed.com.

Sejak dari jam 7.00 petang lagi, Auditorium Kementerian Dalam Negeri ini mula dipenuhi pengunjung yang datang dari pelbagai latar belakang. Rata-rata pengunjung yang hadir sangat teruja untuk menyaksikan persembahan yang cuba mengetengahkan sirah Rasulullah serta  kegemilangan Islam dalam bentuk kesenian dan kebudayaan. Majoriti pengunjung yang hadir merupakan golongan belia dan beliawanis yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi institusi pengajian tinggi berhampiran.

Ketua PEMBINA Selangor, Saudara Mohd Fairul Nafazli Md Nazin ketika ditemui berkata, “di antara harapan kami menganjurkan program-program sebegini adalah untuk mendekatkan generasi muda dan belia dengan sejarah kegemilangan umat Islam yang semakin dilupakan. Generasi belia pada hari ini semakin hanyut dipengaruhi budaya-budaya negatif Barat kerana mereka tidak memiliki agenda untuk membangun umat Islam.”

Ust Muhammad Ismail, ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia yang turut hadir bersama keluarga dalam program ini ketika ditemui mengucapkan tahniah kepada PEMBINA Selangor kerana berjaya meneroka satu pendekatan baru dalam menyampaikan mesej-mesej pembinaan jatidiri belia berdasarkan ajaran Islam dengan lebih berkesan. “PEMBINA diharap dapat mengembangkan lagi medan-medan yang luas dengan pendekatan yang lebih kreatif dan berkesan serta mengasah potensi-potensi serta kemahiran yang ada di kalangan belia serta beliawanis Islam di Malaysia.”

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top