Sekolah Harapan – Masihkah Ada Harapan?

Kini, genap sebulan Sekolah Harapan di Jasin, Melaka membuka tirainya kepada pelajar-pelajar perempuan sekolah menengah yang sedang hamil. Penubuhan sekolah ini adalah hasil inisiatif Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam, bagi menempatkan pelajar-pelajar sekolah yang hamil, samada yang telah berkahwin, yang belum berkahwin atau yang menjadi mangsa rogol. Semenjak keputusan beliau menubuhkan sekolah ini diutarakan awal bulan Jun yang lalu, bertali arus respon dikemukakan oleh pelbagai pihak; ada yang menyokong, ada yang menentang.

Jika dilihat dari sudut modul sekolah tersebut, silibus matapelajarannya berasaskan silibus sekolah menengah kebangsaan biasa. Di samping itu, kaunseling kerohanian dan kesihatan turut diberi kepada para pelajar. Segala pengurusan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), manakala matapelajarannya pula dikendalikan oleh guru-guru bertauliah dari JAIM. Melihat dari mata kasar, pelajar-pelajar ini betul-betul dibimbing, bukan sahaja masih diberikan peluang untuk terus bersekolah, malahan juga bimbingan dari sudut psikologi.

Jika dikaji objektif awal penubuhan sekolah ini, ia bertujuan untuk mengurangkan kadar pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi. Mengikut statistik Jabatan Pendaftaran Negara, 91 orang anak luar nikah telah didaftarkan pada tahun 2009, dan setakat bulan Julai 2010, 174 orang bayi luar nikah pula didaftarkan dan rata-ratanya dilahirkan oleh gadis dibawah umur 20 tahun. Pada 4 Oktober yang lalu, seorang bayi lelaki selamat dilahirkan oleh pelajar tingkatan 5 Sekolah Harapan ini. Ketika mengesahkan kelahiran itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, “Ingin saya tegaskan bahawa secara langsung sekolah ini telah  mencapai matlamat dan visinya menyelamatkan bayi luar nikah daripada dibuang atau ditinggalkan di tempat yang tidak sepatutnya.”

Tujuan penubuhan sekolah ini amat murni kerana menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa. Teringat kisah pada zaman Rasulullah dimana seorang wanita dari daerah Ghamid dari suku al-Azd datang membuat pengakuan kepada Rasulullah bahawa dia telah berzina. Rasulullah meminta beliau pulang untuk beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Pada hari yang lain, wanita itu datang lagi untuk memberitahu bahawa dia telah hamil. Rasulullah mengarahkannya untuk pulang sehingga dia melahirkan anak itu. Setelah anak itu lahir, wanita itu membawa anak tersebut kepada Rasullullah. Sekali lagi baginda Rasulullah menyuruhnya pulang untuk disusukan anak itu. Beberapa tahun kemudian setelah anak itu sudah bercerai susu dan dapat makan dengan sendiri, wanita itu datang lagi melaporkan diri kepada Rasulullah dan menyatakan bahawa anak itu sudah boleh hidup tanpanya. Maka Rasulullah pun menjatuhkan hukuman rejam ke atasnya. Sewaktu hukuman rejam dikenakan, wanita itu tidak berganjak sedikit pun dari tempatnya, dan menurut Rasullulah, taubat wanita itu telah diterima oleh Allah (diolah dari Shahih: Mukhtashar Muslim no: 1039, Muslim III: 1321 no: 1695). Begitu sekali Rasulullah mengambil perhatian terhadap penjagaan anak luar nikah untuk memastikan dia lahir dengan selamat, disusukan dengan sempurna dan seterusnya dibimbing agar menjadi insan harapan ummah.

Dari sudut pandangan yang lain pula, Sekolah Harapan ini hanya mampu menampung seramai 40 orang pelajar dan setakat ini hanya beberapa orang pelajar sahaja yang baru mendaftar. Kemungkinan sambutan yang kurang menggalakkan ini disebabkan pelajar-pelajar atau ibubapa malu untuk mendaftar. Kemungkinan juga sesi persekolahan sudah hampir tamat atau mungkin juga pelajar-pelajar takut untuk menerima tindakan undang-undang yang bakal diputuskan oleh mahkamah syariah terhadap mereka yang hamil di luar nikah. Tetapi kalau sekiranya sambutan semakin memuaskan pada tahun hadapan, adakah perlu untuk menambahkan lagi bilangan Sekolah Harapan untuk menampung ratusan lagi pelajar-pelajar yang hamil di luar sana?

Kita sebagai umat Islam seharusnya melihat isu hamil di luar nikah ini sebagai trend jijik remaja masa kini. Apakah masjid-masjid dan surau-surau tidak mengadakan ceramah-caramah agama untuk mendidik generasi muda mengenal agama? Apakah badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan Islam tidak mengendalikan program-program dan aktiviti-aktiviti kerohanian untuk membimbing anak-anak muda membina jatidiri? Apakah rukun-rukun tetangga tidak membantu menghidupkan budaya ketimuran di dalam masyarakat Malaysia ini? Apakah sekolah-sekolah agama sudah berhenti beroperasi? Jawapannya sudah tentu tidak! Semua inisiatif mencegah kemungkaran telah, sedang dan akan dilakukan oleh semua pihak yang disebutkan tadi. Namun, selagi televisyen masih mendedahkan aurat-aurat manusia, selagi konsert-konsert masih mengumpulkan para hedonis, selagi pusat-pusat hiburan dan pusat-pusat urut semakin bercambah, dan selagi sambutan-sambutan Tahun Baru dan Merdeka menjadi tumpuan manusia berpeleseran; selagi itulah atmosfera kita tidak akan membantu apatah lagi menyokong inisiatif-inisiatif mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh mana-mana pihak. Seandainya pendidikan tarbiah dapat diberi secaya intensif, bukan sahaja dari Sekolah Harapan ini, tetapi juga oleh mana-mana pihak dan mana-mana institusi, tidak mustahil generasi-generasi muda dapat keluar ke dalam masyarakat dan menjadi pembimbing pula untuk rakan-rakan sebaya yang lain agar tidak mengulangi kemungkaran yang sama.

Nukilan oleh,

Nor Hasni Hayati Binti Hanapi

Naib Presiden II

Persatuan Belia Islam Nasional

 

Rujukan:

Shahih: Mukhtashar Muslim no: 1039, Muslim III: 1321 no: 1695

The Malaysian Insider, 4 Ogos 2010, Puteri Umno mahu sekolah pelajar hamil peringkat nasional, http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/puteri-umno-mahu-sekolah-pelajar-hamil-peringkat-nasional/

Utusan Malaysia, 22 Ogos 2010, Sekolah Harapan bakal cetus epidemik hamil luar nikah pelajar – NGO, http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/sekolah_harapan_bakal_cetus_epidemik_hamil_luar_nikah_pelajar_ngo.html

The Star Online, 31 Ogos 2010, Special institution for pregnant young girls to continue their studies will open soon, http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/8/31/nation/6948239&sec=nation

Bernama, 20 September 2010, Five Pregnant Students to Enrol at Sekolah Harapan, http://malaysiandigest.com/news/36-local/8745-five-pregnant-students-to-enrol-at-sekolah-harapan.html

Sinar Harian, 6 Oktober 2010, Bayi pertama Sekolah Harapan, http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8261920.asp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top