Semangat Juang: Jangan Pernah Luntur!

baskbIni kali pertama saya menyertai pertandingan bola keranjang dalam kejohanan terbuka. Kali terakhir saya hanya bermain mewakili pasukan rumah Temenggung semasa di bangku sekolah dahulu. Semua orang yang aktif punya sukan kegemaran masing-masing dan sungguh, bola keranjang adalah sukan yang amat saya minati walaupun saya tidak pernah mendapatkan latihan formal tentang teknik dan peraturannya. Dengan minat yang mendalam itulah saya berazam untuk bermain mewakili kawasan saya dalam Karnival Sukan Belia Islam Nasional tahun ini.
Jarak umur yang besar dalam mendefinisikan belia menjadikan para pemain yang datang berbeza-beza peringkat usia. Ada yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia dan ada pula yang sudah belasan tahun meninggalkan alam persekolahan. Bila bertemu di atas gelanggang yang sama, stamina dan kelincahan menjadi antara titik pembeza.

Namun apa yang mengkagumkan adalah semangat juang yang ada dalam diri setiap pemain. Semangat yang meluap-luap untuk bermain dan berjaya memenangi pertandingan. Strategi disusun melalui pemerhatian kepada gerak-geri pasukan lawan. Juga diatur mengikut kelebihan setiap ahli pasukan. Pemain gantian senantiasa bersiap-siaga menunggu masa untuk masuk dan menggantikan yang sudah keletihan serta menyumbang mata untuk pasukannya. Pemain yang berpengalaman berkongsi ilmu dengan yang masih baru.
Ketika matlamat menjadi satu, perbezaan mula menjadi kelabu dan semangat datang menderu-deru. Seluruh kudrat digunakan untuk menggapai impian yang ditunggu-tunggu. Menjadi juara di tahun baru.
Inilah rahasia kekuatan belia. Pada semangat juangnya. Pada ketinggian cita-citanya. Juga pada tubuh badan yang menjadi alat merealisasikan hasratnya.
Jika kita melihat dari skop yang lebih luas, semua ini sekiranya dibentuk dan dihalakan melalui saluran yang betul, maka kesan yang signifikan akan dapat dirasai oleh diri dan masyarakat disekelilingnya. Ada banyak pekerjaan dan sumbangan yang boleh mereka berikan. Melebihi sempadan individu dan keluarga.
Belia yang sihat akal dan jasadnya ini tidak lahir dengan tiba-tiba. Mereka perlu dibangunkan. Mereka perlu dibina dan dipimpin agar berani biar bertempat, bercita-cita biar realistik serta bersemangat biarlah lahir dalam bentuk kerja-kerja yang membuahkan hasil positif.
Banyak belia di luar sana yang bakat serta potensi mereka sia-sia diperjudikan semata-mata untuk meraih nikmat sementara yang dipanggil keseronokan. Akhirnya, usia belia mereka habis begitu sahaja malah ada yang menjadi tua tetapi masih belum berguna.
Di pentas sukan semua ini dapat dilihat. Meskipun mungkin dalam skala mikro, tetapi itulah gambaran kepada potensi belia di arena makro!
Semoga dengan aktiviti seumpama ini, belia-belia kita akan menemukan platform yang baik untuk menggilap potensi diri mereka serta lahir menjadi belia yang sihat, kuat dan berperanan dalam menambah baik kualiti hidup masyarakat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top