Isteri ,Ummi dan Serikandi




Prolog

Fragmen nostalgia itu masih kukuh benar terpasak dalam kota ingatnya. Bagaimana pada suatu subuh nan hening, pintu teratak usangnya diketuk keras. Dan sebaik dikuak, apa yang tertancap di bayangan mata  lantas meragut himpunan kecekalan dan ketabahan hatinya yang rapuh. Sekujur tubuh seorang lelaki yang masih dibasahi darah merah dipangku oleh beberapa orang lelaki.

 

 

Azan Subuh masih belum berkumandang, namun Hajar sudah lama berteleku di hamparan sejadah lusuh itu. Menyerahkan kalungan pengharapan dan mengadu rindu yang bertamu kepada Rabb yang satu. Karangan doa dan alunan Al-Quran menjadi teman. Dengan tangis dan sedu, dia memohon sekalung kekuatan dari Tuhan-Nya untuk melewati hari-hari yang mendatang.

 

Laungan azan Subuh pada pagi itu, mengalun halus dan lembut. Polos memasuki gegendang telinganya dan sempat jua menjentik emosinya. Menganugerahkan rasa rindu untuk sekali lagi bertemu Rabbul Izzati. Hajar segera membangunkan anaknya, Abdullah yang masih nyenyak di daerah mimpi. Satu-satu cahaya mata dan buah hatinya. Setelah suaminya pergi dijemput Ilahi beberapa tahun lalu, tika dia sarat mengandungkan Abdullah. Suaminya pergi dalam pada usia perkahwinan mereka belum pun menjangkau setahun. Kenangan bangun solat malam saban hari bersama suami masih basah di danau pemikirannya. Ah, sungguh melankolik. Tanpa disedari, titisan jernih air mata mula mengalir perlahan.

 

Seolah masih terdengar janji yang terpateri ketika mereka mula-mula melangkah ke alam rumahtangga. Janji untuk bersama sehidup semati memperjuangkan kalimah Allah yang mulia. Janji untuk menundukkan kekufuran dan memastikan syiar Islam mekar kembali. Dan juga janji untuk bersama membentuk rumahtangga yang menjadi medan tarbiyah kepada generasi akan datang. Berbunga jiwanya mendengar kalimat itu. Menjadi permaisuri hidup seorang pejuang agama adalah impian yang menjelma menjadi kenyataan baginya. Dan ternyata suaminya terlebih dahulu menunaikan janji mereka setelah ditembak oleh askar kafir laknatullah ketika berjuang mempertahankan daerah mereka dari serangan tentera penceroboh.

 

“Ummi, saya dah siap untuk solat.” Nada perlahan suara itu mematikan lamunan Hajar. Terus mengumpul kembali kekuatan untuk menunaikan solat berjemaah dengan anak tunggalnya. Selesai solat, sedikit Quran dijadikan pembuka hari baru. Perlahan dan penuh hati-hati Abdullah mengalukan kalimah suci itu, sambil kadang-kadang Hajar mencelah membetulkan bacaannya yang agak pincang. Dan Abdullah akan mencebik manja, tanda tidak puas hati dengan kesilapan yang dilakukannya. Sekali-sekala bunyi tembakan dan bom menghiasi suasana. Kondisi yang sudah terlalu biasa bagi dua beranak itu. Biar sedikit menggerunkan hati, tali harap tetap digantung kemas ke pohon tawakal.

 

Selesai membaca Al-Quran dan sedikit juadah rohani, Hajar bingkas bangun menyediakan sarapan untuk anaknya. Sarapan yang seadanya, hanya kepingan roti semalam dan segelas air sejuk. Sambil itu Abdullah tekun menelaah buku-buku agama buat persiapan jiwanya yang masih muda itu. Kemudian Hajar akan sama-sama menyusun buku-buku pelajaran ke dalam beg Abdullah. Tidak ketinggalan, ketulan-ketulan batu yang padat diisi, buat senjata melawan musuh di pertengahan jalan. Dan tiap kali itu jugalah Hajar memanjat doa semoga anaknya selamat dalam perjalanan pergi dan kembali. Cukuplah, kezaliman yang bermaharajalela ini merampas gelaran isteri yang dipegangnya suatu ketika dulu, namun dia tak rela untuk menyerahkan gelaran seorang ummi, ibu kepada anak kecil berjiwa besar ini.

 

“Abdullah jaga diri elok-elok. Berhati-hatilah. Ingat, Abdullah anak pejuang dan harus meneruskan perjuangan abah”, pesan Hajar lembut.

 

“Baiklah, ummi, Jika tentera-tentera itu cuba menceroboh, akan saya hadiahkan mereka dengan batu-batu permata ini”, Abdullah tersenyum sambil mengisyaratkan batu-batu yang tersimpan rapi di dalam beg sekolahnya.

 

Hajar melepaskan anaknya dengan hati yang berat. Dengan harapan Abdullah akan kembali pada petang hari seperti hari-hari yang lalu. Itulah rutin harian mereka. Meniti hidup dalam daerah yang bergolak dengan peperangan dan ketidakstabilan ini bukanlah mudah. Apatah lagi tanpa suami disisi. Hajarlah ummi. Hajar jualah ayah. Dialah yang mencurahkan sepenuh kasih-sayang kepada anaknya. Dan dialah juga yang mencari nafkah semampu dirinya untuk menampung hidup mereka yang serba kekurangan. Terkadang Abdullah pulang dengan kesan luka dan tembakan yang parah. Hajar akan merawat luka sambil menenangkan anaknya. Kain tudungnya yang lusuh itulah dijadikan kain buat membalut luka Abdullah. Pernah juga, ketika keadaan meruncing, Abdullah tidak pulang ke rumah pada waktu petang seperti biasa. Maka Hajar akan keluar dan menempuh medan yang dipenuhi tembakan dan letupan untuk mencari Abdullah. Sebelum tidur pula, Hajar akan mendodoikan Abdullah dengan kisah-kisah perjuangan ayahnya bagi menyuntik semangat buat anaknya. Ketika teratak usang mereka rosak dek serpihan bom, Hajar sendiri yang mengerah tenaganya untuk membaiki teratak itu buat tempat berteduh mereka sekeluarga.

 

Janji kepada suaminya disemat kemas-kemas dan dilaksanakan dengan baik. Janji untuk membesarkan dan mendidik Abdullah dengan kefahaman Islam yang bersih dan suci. Mengajarkannya cara ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah. Menyuburkan semangat juang untuk meletakkan kembali Islam di tempatnya, menyanggah kekuasaan tentera penceroboh yang tidak sudah-sudah menindas dan membunuh jiwa-jiwa yang tidak berdosa.

 

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa cekal dan tabahnya Hajar menghadapi bilah-bilah hari dalam kesulitan yang berlegar di ruang hidupnya. Mehnah yang menimpanya terlalu berat untuk dipikul bagi wanita biasa. Namun dia terus cekal demi sebuah perjuangan yang murni. Biarlah apa pun takdir yang menerjah ruang hidupnya, dia pasrah segalanya. Kebergantungannya hanya pada Yang Satu.

 

Dan petang itu pintu teratak buruknya kembali diketuk. Perlahan Hajar melangkah dan menguak daun pintu. Abdullah sudah pulang, tapi kepulangannya kali ini dengan diri yang sudah tidak bernyawa. Sayu Hajar memandang tubuh anaknya di pangkuan seorang lelaki. Tangan kecil anak itu masih menggengam  batu, seolah tidak mahu melepaskan perjuangan meski bersenjatakan batu-batu di jalanan. Peristiwa lama terjadi lagi. Parut lama berdarah kembali. Hajar hanya mampu pasrah pada Ilahi.

 

Epilog

Gelaran isteri telah lama dirampas. Gelaran ummi kini baru terlepas. Hajar nekad. Batu di tangan Abdullah kini beralih tangan.

 

“Mungkin sudah sampai masanya aku bergelar serikandi!!”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top