BANGI, 23 Apr – Seramai 100 pimpinan PEMBINA universiti seluruh Malaysia menghadiri retreat Majlis Pimpinan Universiti (MPU) anjuran PEMBINA pada Sabtu baru-baru ini.
“Objektif MPU ini ialah untuk mengumpulkan pimpinan PEMBINA universiti bagi memastikan aktivisme di universiti adalah selari dengan agenda dan aspirasi PEMBINA,” ulas saudari Khairunnisa Mazlan selaku pengarah program.
“Kita mahu membangunkan minda rijal pendakwah yang berfikiran jauh dan menjaga adab-adab amal jamaie,” ujar beliau lagi.
Antara perkara yang dibincangkan dalam retreat adalah slot pengukuhan organisasi gaya efektif yang mendapat sambutan positif daripada peserta.
“Saya berpendapat slot yang diisi dalam MPU memberi banyak penambah baikan dalam kelemahan diri dan memberi kesedaran dalam menggunakan kekuatan yang kita ada untuk sesebuah organisasi,” ujar Ketua Beliawanis UiTM Shah Alam.
MPU diadakan sempena Hari Perkampungan PEMBINA yang turut mengumpulkan barisan pimpinan PEMBINA dari seluruh cawangan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.