Persidangan Wanita Islam Antarabangsa (PERWANIS) 2016 – Saya kongsikan beberapa perkara yang ditujukan khas buat adik-adik mahasiswa Beliawanis PEMBINA.
1. Jatuh bangunnya sebuah tamadun bergantung kepada Rijal Ummah. Madrasah pembinaan Rijal ini terletak di bahu-bahu ibu-ibu wanita Islam. Ibu-ibu wanita Islam seumpama Madrasah arRijal, yang mendidik generasi pembawa Risalah arRasul.
2. Cabaran sosial di alam nyata, alam siber dan pornografi yang menghambat masyarakat hari ini merosakkan institusi keluarga, jati diri dan kekuatan Rijal yang ingin dihasilkan.
3. Oleh itu, masyarakat sangat memerlukan Belia Wanita Islam (beliawanis) yang memahami tugas sebagai Madrasah arRijal dan mempersiapkan diri ke arah itu. Mendekati majlis ilmu dan iltizam dengan tarbiah usrah dapat membantu Beliawanis mendalami ilmu agama dan ilmu kewanitaan. Memperbaiki sahsiah diri adalah permulaan kepada perjalanan pembinaan diri.
4. Beliawanis perlu menjadi seorang mahasiswa yang berpendidikan dan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi kerana sebuah sekolah tidak dapat berfungsi jika hanya ada guru dan murid, tetapi tiada ilmu di dalamnya. Mempunyai kelulusan yang tinggi bukan hanya untuk mengejar kerjaya tetapi menjadi sebaik-baik “guru” kepada Rijal Ummah.
5. Beliawanis perlu banyak dan melazimi budaya membaca. Serta mendalami ilmu pengurusan, ilmu kekeluargaan dan ilmu pendidikan anak-anak sebagai persiapan menggalas tugasan sebagai seorang anak, isteri, ibu dan pendakwah.
6. Islam mengangkat kemuliaan wanita Islam sesuai dengan peranannya, maka jauhilah perkara yang menjatuhkan maruah wanita Islam dan angkatlah maruah wanita Islam dengan menutup aurat dengan sempurna, menjaga adab pergaulan dengan lelaki, tidak mengisi masa dengan perkara sia-sia dan menjauhi zina.
7. Masyarakat memerlukan Beliawanis yang bijak. Bijak membaca situasi, mengambil peduli dan mengambil berat isu sosial semasa agar mampu menangkis serangan-serangan (hedonisme, feminisme, homoseksual, pornografi dan sebagainya) yang akan menghancurkan institusi Madrasah arRijal.
8. Generasi Wanita Islam di Gaza banyak memberi inspirasi dan contoh akan fungsi wanita Islam dalam mendidik Generasi alQuran. Bacalah kisah mengenai mereka dan contohilah peribadi mereka.
9. Beliawanis hari ini adalah harapan masa hadapan, dari kita akan lahir generasi Rijal penerus Risalah arRasul.
Khairunnisa Mazlan
Ketua Beliawanis