Relevansi Kemasukan Farouk Musa oleh Pihak Universiti?

Kemasukan pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Dato Dr Farouk Musa menjadi tanda tanya kepada penerimaan pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terhadap pemikiran intelektual yang dibawa oleh beliau. Semenjak bermulanya semester pada awal September yang lepas, Farouk Musa telah mendapat peluang berkongsi pentas bersama ahli-ahli akademik yang lain dalam perbincangan intelektual bertajuk “International Islamic Unity Convention 2018 (ICON’18)” dan “Seminar Pemikiran Reformis – Siri XIII: Teungku Muhammad Hasbi Ash-Shiddieqy”. Hal ini amat menggusarkan serta menimbulkan kekeliruan di pihak PEMBINA UIAM sendiri apabila halangan terhadap kemasukan Dato Dr Farouk musa yang pernah berlaku sebelum ini seperti terus dialihkan atas dasar keterbukaan pihak universiti terhadap budaya kritik, debat dan dialog (KDD). Adakah budaya KDD yg ingin disuburkan ini tidak mempunyai limitasi yang perlu dipantau agar natijah daripada perbincangan tersebut membawa kepada maslahah (kebaikan) bukannya mafsadah (keburukan) kepada mahasiswa UIA khususnya?

PEMBINA UIAM merasakan ada keperluan penting bagi menyuarakan kegusaran ini apabila merujuk semula kepada objektif Penubuhan Islamic Renaissance Front (IRF) itu sendiri telah berlawanan dengan panduan Al-Quran dan Sunnah. Hal ini kerana, ia berteraskan pembaharuan yang ingin dilakukan terhadap pemikiran masyarakat Islam di Malaysia. Perkara ini jelas terlihat melalui program-program yang pernah dianjurkan oleh IRF sendiri.

Pada 19 Ogos 2017, IRF telah bekerjasama dengan G25 dalam menganjurkan simposium yang bertajuk “Kesederhanaan Dalam al-Qur’an: Antara Dua Titik Ekstrim”. Simposium tersebut telah menjemput beberapa panelis yang terkemuka seperti Prof Shamrahayu Aziz, Ahmad El-Muhammady, Dr Mun’im Sirry dan ramai lagi. Simposium tersebut telah mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam sendiri melalui kenyataan ketua pengarahnya, Tan Sri Othaman Mustapha. Beliau berkata, “Jakim melihat isu ini merupakan satu percubaan oleh IRF dan G25 untuk membawa masuk ke negara ini idea-idea liberal yang sesat. Perbuatan ini sangat bahaya dan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini,”. Hal ini kerana, pihak JAKIM difahamkan bahawa salah seorang panelis forum tersebut, seorang tokoh Islam Liberal Indonesia yang bernama Dr Mun’im Sirry dari University of Notre Dame telah menyatakan bahawa al-Quran tidak relevan dan sebenarnya turun di Mesopotamia. Kesal dengan kenyataan kontroversi berikut, Tan Sri Othaman membidas dan mengatakan ia satu kenyataan yang salah dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama. Konsep yang dibawa oleh simposium tersebut juga seolah-olah cuba untuk mempromosi tafsiran baharu kepada kebenaran kitab suci al-Quran.

Tidak cukup dengan itu, tindakan IRF untuk menjemput Mustafa Akyol iaitu seorang aktivis liberal Turki bagi menyampaikan syarahan bertajuk ‘The Islamic Jesus: The Commonalities Between Judaism, Christianity and Islam’ di Nottingham University Malaysia dilaporkan terbatal di saat-saat akhir selepas penganjur program, Dr Farouk Musa ditekan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Hal ini kerana, Mustafa Akyol tidak mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa untuk memberi ceramah serta sudah melanggar Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan). Rentetan kejadian itu, Mustafa Akyol ditahan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari Isnin, 25 September 2017 dan seterusnya diserahkan kepada Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tambahan lagi, Mustafa Akyol ini adalah seorang wartawan dan juga penulis beberapa buku kontroversi seperti ‘Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty’ dan buku terbarunya ‘The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims’. Lebih membimbangkan lagi, beliau juga pernah mendakwa bahawa murtad dibenarkan dalam Islam kerana ia adalah kebebasan dan hak peribadi, bukannya satu jenayah.

PEMBINA UIAM ingin menegaskan bahawa, perbincangan intektual atau pemikiran ‘reformasi’ yang sentiasa dilakukan oleh pihak IRF perlu dihalang daripada mendapat tempat di UIA. Sebagai pengarah IRF, buku “Wacana Pemikiran Reformis Jilid 1” dan “Wacana Pemikiran Reformis Jilid 2” yang dihasilkan Dr. Farouk Musa juga banyak membawa persoalan yang menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia. Sebagai contoh, penulisan Dr. Farouk Musa ada menyatakan bahawa perjuangan terhadap negara Islam adalah suatu yang kesasar serta sebarang kepatuhan kepada nilai agama tidak perlu dilakukan secara paksaan.

Melihat kepada kecenderungan pihak IRF dalam membawa ahli-ahli akademik yang rata-ratanya mempunyai pemikiran liberal sebagai panelis di program-program anjuran mereka menjadi satu kebimbangan terhadap kesan forum-forum tersebut kepada audien yang mendengar. Lebih penting lagi, Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah pun memutuskan pemikiran Islam liberal sebagai sesat dan menyeleweng sejak tahun 2006 lagi. Maka, relevansi beliau ke dalam universiti ini sepatutnya menjadi kegusaran setiap dari kita yang menginginkan perbincangan intelektual, forum atau apa sahaja berlaku sesuai dengan kefahaman Islam yang sebenar yakni mengikut aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

PEMBINA UIAM bersetuju dengan perkembangan ilmu melalui perbincangan kritis dan perbahasan, namun semua ini tidak menafikan bahawa terdapat disiplinnya yang tertentu. Sebagai contoh yang berlaku di zaman saidina Umar RA, seorang lelaki datang berjumpa dengan beliau dan bertanya kepada beliau tentang ayat-ayat mutasyabihat di dalam Al-Quran. Lalu Saidina Umar RA memukul lelaki tersebut dengan pelepah dan menghalaunya sehingga ke hujung kampung. Kenapa? Kerana beliau faham bahawa tujuan lelaki tersebut bukan ingin berbahas tentang ilmu akan tetapi hanya ingin mewujudkan syak wasangka terhadap umat Islam serta meracuni pemikiran umat ketika itu.

Perbincangan akademik sebegini tidak harus dilihat dalam konteks “akademik” sahaja, bahkan perlu dilihat dalam konteks siyasah syar’iyyah (hifz al-din-memelihara agama) dengan tidak membuka ruang ancaman terhadap aqidah sebagaimana yang dilakukan Umar RA. Kita tidak mahu akhirnya idea-idea yang disampaikan secara akademik hanyalah topeng untuk membawa pemikiran yang jauh dari kebenaran

Sesungguhnya sebagai mahasiswa dan mahasisiwi di UIAM, keperluan untuk dialog dan perbahasan tentang sesuatu ilmu dan isu adalah tinggi namun biarlah ia dilaksanakan dan diperbincangkan oleh orang-orang yang kukuh disiplin ilmunya supaya kebenaran dapat disampaikan dengan baik dan mengatasi idea yang salah serta bercanggah dengan syariat Islam. Akhirnya, itulah tujuan sebuah perbahasan dan perdebatan. Jangan sesekali kita lupa, umat islam di zaman emas itu kukuh disiplin ilmunya terutama sekali kefahaman Al-Quran dan Al-Sunnah sehingga perdebatan yang berlaku akhirnya membawa kepada berkembangnya kebenaran dan bukan sekadar perbincangan akademik yang tidak memberikan kesan.

Nurul Husna Binti Hamzan
Ketua Beliawanis
PEMBINA IIUM CHAPTER 18/19

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top