KENYATAAN RASMI : KUASA SISWA TUNJANG UTAMA MEROBOHKAN KEBATILAN DALAM ISU MAKANAN HALAL DAN PENGGUNAAN LOGO HALAL

Mewakili seluruh mahasiswa, insiden penjualan sandwic ‘ham dan keju’ yang tiada pengesahan halal di Universiti Malaya baru-baru ini amat mendukacitakan. Isu ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan awam terhadap tindakan peniaga yang cuai dalam mematuhi piawaian halal, tetapi turut mengguris hati umat Islam di negara ini. Sikap sambil lewa dalam memastikan produk yang dijual memenuhi keperluan halal serta menjaga sensitiviti umat Islam adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Dalam isu ini, PEMBINA ingin menegaskan beberapa perkara penting:

  1. Menggesa pengedar makanan lebih sensitif terhadap edaran makanan halal dan penggunaan logo halal. PEMBINA menyeru semua pengedar dan pembekal makanan untuk lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam memastikan sensitiviti halal diutamakan. Penggunaan logo halal yang sah bukan sahaja keperluan undang-undang tetapi juga tanggungjawab moral bagi memastikan kepercayaan masyarakat Islam terpelihara. Pengedar harus memahami bahawa sensitiviti ini melangkaui aspek perniagaan dan melibatkan prinsip agama serta kepercayaan majoriti masyarakat di negara ini.
  2. Pihak bertanggungjawab perlu lebih serius berkenaan penguatkuasaan logo halal
    PEMBINA mendesak agar pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan logo halal. Kesalahan ini bukan sekadar melanggar undang-undang, tetapi juga mencalar integriti sistem halal negara. Tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan insiden sebegini tidak berulang dan keyakinan pengguna terhadap sistem halal terus terjaga.
  3. Menegaskan kuasa mahasiswa sebagai suara perubahan: “Mahasiswa Tidak Sepi, Tidak Bisu”
    PEMBINA ingin menegaskan bahawa kuasa mahasiswa tidak pernah mati. Kami menyeru mahasiswa untuk bersatu dan berani mendesak tindakan tegas terhadap pihak yang cuai dan tidak bertanggungjawab dalam isu ini. Jadikan kampus anda sebagai medan perjuangan untuk menegakkan kebenaran, mengangkat suara keadilan, dan mendedahkan mana-mana pihak yang mengkhianati kepercayaan masyarakat.

Sejajar dengan gagasan Budaya Prihatin, PEMBINA yakin kesatuan mahasiswa adalah benteng utama dalam memastikan keperluan dan sensitiviti halal terus dihormati, khususnya di institusi pendidikan tinggi. Sebagai generasi pemimpin masa depan, perjuangan ini bukan untuk mengejar populariti murahan, tetapi sebagai langkah penting dalam membangunkan generasi belia yang beragenda, berprinsip, dan berintegriti. Ayuh bersama membina kekuatan, kemajuan, dan kedaulatan watan kita!

MEMBINA KEPIMPINAN NASIONAL

Disediakan oleh:

Ahmad Syahman Ahmad Tamrin, Presiden PEMBINA Malaysia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top