Fahaman Sesat Islam Liberal membiak Di Universiti

Pasca PRU14: Adakah Fahaman Sesat Islam Liberal Makin membiak Di Universiti?

Pasca PRU-14 ini dilihat semakin rancak individu-individu berfahaman liberal dibukakan pintu masuk memberi pengisian di universiti. Sama ada perkara ini disedari atau tidak oleh mahasiswa-mahasiswa khususnya yang beragama Islam. Beberapa minggu yang lalu Farouk Musa, Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) telah memberi pengisian di UIAM berkenaan isu kesatuan umat Islam. IRF merupakan sebuah badan pemikir Islam liberal yang berpengkalan di Malaysia telah mendakwa sekularisme sebagai satu-satunya jalan kepada kebebasan agama dan falsafah.

Kini, Universiti Malaya pula membuka pintu kepada beberapa NGO liberal bagi menerangkan berkenaan kesamarataan gender dalam sebuah persidangan yang bertajuk “Men & Women Towards Gender Equality : WE Empower“. Nama-nama ngo yang terlibat seperti SIS, WAO dan EMPOWER bukanlah lagi asing dalam perjuangan feminis liberal di Malaysia.

Memetik sedikit ringkasan tuntutan yang pernah dihantar ke PBB (UPR) pada tahun 2013 oleh NGO-NGO liberal feminis ini melalui gabungan NGO yang diberi nama COMANGO. Antara tuntutan-tuntutan kontroversi mereka ialah kebebasan untuk murtad, menghalalkan seks songsang, hapuskan hukuman jenayah syariah, membenarkan dakyah kristianisasi, syiah dan lain-lain lagi.

Malah sehingga 2018, dilihat NGO-NGO liberal feminis ini masih teguh bersama COMANGO dengan perjuangan mereka memartabatkan feminisme di Malaysia. Sedangkan perjuangan tersebut amat bertentangan dengan prinsip negara malah agama Islam itu sendiri.

Mengambil petikan daripada artikel yang dikeluarkan oleh Rand Corporation yang bertajuk “RAND Report Says Cold War Offers Lessons On Engaging With The Muslim World” yang menyatakan bahawa peperangan sekarang adalah peperangan pemikiran. Menaikkan golongan muslim moderate yang memperjuangkan kesamaratan gender merupakan merupakan satu daripada jalan-jalan untuk mewujudkan kesalahfahaman dalam negara yang majoriti penduduknya Islam.

Tidak pernah kita lupa dengan desakan-desakan daripada pejuang Ibu feminis di Malaysia iaitu SIS sehingga Jawatankuasa Fatwa Selangor telah menggazetkan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam. NGO feminis ini mewujudkan ketegangan dalam negara apabila yang pertikai fatwa pengharaman ratu cantik, memperjuangankan golongan LGBT, menyokong kebebasan menukar agama, membantah undang-undang jenayah syariah dan pelbagai lagi desakan dari NGO liberal feminis ini.

Adakah kesamaratan gender yang berteraskan liberal ini yang mahu dibawa kepada pelajar-pelajar asasi yang masih setahun jagung dalam pengajian mereka. Pihak universiti serta mahasiswa-mahasiswa perlu sedar akan ancaman ideologi yang dibawa oleh NGO berfahaman liberalisme ini. Penyelewengan yang dibawa boleh mendatangkan mudarat kepada keharmonian negara. Usah biarkan universiti-universiti kita menjadi ladang ternak fahaman sesat Islam liberal.

Sharifah Abdul Samad,
Ketua Beliawanis Pembina

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top