Bulan Ramadhan ialah bulan yang dinantikan umat Islam sedunia kerana selain diwajibkan berpuasa, terdapat keistimewaan yang tiada di bulan-bulan lain iaitu ditiupkan semangat rabbani, bulan rahmat, keampunan dan dibebaskan dari api neraka. Di dalam bulan yang mulia ini juga kita dapat mengutip iktibar dan pengajaran yang bermakna kerana ia umpama sebuah sekolah atau madrasah Ramadhan yang mengajar dan mendidik kita dari segala aspek ibadat rohani, jasmani, emosi dan akal untuk mencapai misi yang agung iaitu ketakwaan.
Firman Allah s.w.t:
“ Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (al-baqarah : 183)
Jelas mafhum ayat dia atas menunjukkan taqwa ialah misi utama yang ingin dicapai dalam sekolah ramadhan. Tetapi adakah umat islam menyedari akan hakikat ketakwaan? Senario yang kita sering lihat di sini, rata-ratanya umat islam cukup bersemangat menjalankan ibadah puasa dan ibadah lain ketika awal Ramadhan. Semangat berkobar-kobar untuk melakukan ibadah terbukti tikamana di surau-surau saf dipenuhi dengan ahli jemaah sehingga melimpah saf ke jalanraya untuk menunaikan solat sunat terwaih yang diselangi dengan tazkirah pendek di antara 4 rakaat terawih tersebut. Kemudian selepas moreh diteruskan lagi dengan tadarus al-Quran di dalam kumpulan halaqah yang ramai.
Namun, pada minggu seterusnya, semangat itu semakin kendur lalu saf-saf di masjid makin berkurangan hinggalah malam terkhir Ramadhan berbaki satu hingga dua saf sahaja, manakala kumpulan Halaqah tadarus pun makin sedikit. Hal ini kerana di minggu terkhir umat Islam dilalaikan dengan persediaan menyambut Aidilfitri. Pasaraya dan pusat membeli belah menjadi tumpuan utama kerana semakin hampir dengan 1 syawal semakin murah barangan dapat diperolehi, potongan diskaun yang ditawarkan oleh peniaga merancakkan lagi aktiviti jual beli tambah pula dengan jualan sempena Hari Merdeka!! Beli 1 percuma dua!!
Adakah kita pernah tefikir mengapa senario demikian sering berlaku? Di manakah misi ketaqwaan yang ingin dicapai? Apakah punca utama dan adakah kita cuba untuk mengatasinya? Atau adakah kita redha dengan keadaan ini?
Ayuh, mari kita renung sejenak tentang hakikat taqwa. Secara umumnya taqwa mempunyai dua pengertian iaitu pertama menjaga, mengawasi dan menjauhkan daripada segala bentuk keburukan yang memudaratkan akhirat. Manakala pengertian kedua ialah sifat peribadi yang tidak menerima pengurangan dan panambahan, yang takut sama ada dosa besar atau kecil. Dalam erti kata lain taqwa adalah raja di dalam hati yang mampu menjadikan seseorang itu sentiasa muraqabah dengan Allah.
Firman Alllah s.w.t:
“dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”…ali-imran:133
Jelas ayat dia atas menjadi suatu motivasi kepada kita agar berlumba-lumba menjadi orang bertaqwa sehingga kita beroleh keampunan dan ganjaran syurga Allah s.w.t. Rasulullah telah memerintahkan kita agar bertaqwa dalam setiap keadaan dan suasana dengan sabda baginda s.a.w:
“bertaqwalah kepada Allah walau dia mana sahaja kamu berada”…riwayat tarmizi
Syed Qutb, seorang ahli tafsir terkenal telah melontarkan pandangannya tentang erti taqwa iaiatu “sensitiviti dalaman, ketelusan perasaan, kewaspadaan yang berkekalan, dan keperihatinan ketika merentasi rintangan perjalanan. Ini kerana perjalanan hidup dipenuhi tarikan kemahuan dan syahwat..”
Oleh yang demikian wahai pembaca sekalian, perkara utama yang perlu dipupuk dalam setiap jiwa insan untuk menyemai rasa taqwa ialah memerdekakan diri daripada belenggu nafsu dan syahwat. Kenyataan ini amat releven dangan ibadah di bulan puasa kerana pengertian puasa sendiri dari sudut bahasanya ialah menahan diri. Di mana umat Islam disuruh untuk menahan diri bukan sahaja daripada makan dan minum atau menahan lapar dan dahaga tetapi membentuk peribadi yang bertaqwa dengan memerdekakan diri daripada tarikan nafsu dan syahwat.
Maka bagaimanakah taqwa itu boleh sebati di dalam diri umat Islam jika masih melakukaan dosa-dosa kecil mahupun besar umpama melakukan perkara-perkara lagha, megumpat, mencela, memfitnah dan lain-lain dosa mulut. Contohnya, manusia cepat marah ketika dalam keadaan lapar, adakah kita masih mampu menahan marah ketika berpuasa? Atau adakah kita mampu menahan diri kita daripada bersikap tamak, boros, dan membazir tikamana dirambangi dengan hidangan yang lazat di Bazar Ramadhan? Atau dalam membuat persiapan raya adakah kita perlu menempah sedozen baju raya dan menukar perabot baru setiap tahun sedangkan ada umat Islam lain yang fakir miskin dan lebih memerlukan. Di manakah sensitiviti kita? Atau di manakah darjat ketaqwaan kita?
Ulama’ telah membahagikan darjat taqwa kepada lima bahagian iaitu:
Pertama: Hamba yang bertaqwa daripada kekufuran. Maka itu adalah peringkat islam.
Kedua: Hamba yang yeng bertaqwa daripada maksiat dan perkara-perkara haram. Maka itu adalah peringkat taubat.
Ketiga: Hamba yang bertaqwa daripada perkara-perkara syubhat. Maka itu adalah peringkat wara’.
Keempat: Hamba yang bertaqwa daripada perkara- perkara harus. Maka itu peringkat zuhud.
Kelima: Hamba yang bertaqwa daripada kehadiran perkara-perkara selain daripada Allah ke dalam hatinya. Maka itu adalah peringkat musyahadah.
Jadi, mari kita koreksi diri kembali di manakah darjat ketaqwaan kita, dan apakah target kita pada Ramadhan kali ini untuk mencapai misi taqwa. Di sini terdapat beberapa saranan tentang perkara-perkara yang boleh membangkitka rasa taqwa. Antaranya ialah dengan merasa takut balasan buruk di dunia dan akhirat, mengharapkan ganjaran baik di dunia dan akhirat, takut hari perhitungan, rasa malu dilihat Allah, dan bersyukur atas segala nikmatNya.
Secara praktikalnya, marilah kita banyakkan ibadah kita kepada Allah seperti membaca al-Quran, bersedekah, menjamu orang beriftar dan melakukan kebaikan-kebaikan lain. Ketika melalui hari-hari yang penuh rahmat, pohonlah kerahmatan dariNya, begitu juga ketikamana melalui hari-hari keampunan perbanyakanlah beristighfar, dan akhir sekali ketika sedang berada di hari-hari pemebebasan daripada api neraka, merdekakanlah diri kita daripadanya.
Buat pengakhiran marilah kita meningkatkan ketaqwaan diri kita kepada Allah, lebih-lebih lagi di bulan yang penuh barakah ini. dengannya sahajalah kita akan menjadi individu yang baik. Apabila individu baik, maka baiklah masyarakat. Apabila masyarakat baik maka baiklah ummah dan ingatlah, keselamatan kita di dunia mahupun akhirat, bergantung kepada sejauh mana ketaqwaan kita kepada Allah.
Sumber : http://pembinaterengganu.com/