Kerana Terpaksa Aku Relakan

“Murabbi saya selalu berkata, nak gapai ikhlas adakalanya kita perlu memaksa diri melakukan sesuatu amal soleh. Paksa dulu, InsyaAllah ikhlas datang kemudian.”

Seringkali kita menjadikan ‘enggan hipokrit’ sebagai alasan untuk tidak melakukan amal soleh. Kononnya, apabila kita melakukan sesuatu kebaikan tanpa diiringi kemahuan diri atau kerana dipaksa kita hanya berlaku hipokrit atau berpura-pura baik. Sayang sekali sekiranya kita meninggalkan kebaikan hanya kerana takut dilabel hipokrit.

Merubah diri kearah yang lebih baik memerlukan keikhlasan. Benar dan tidak dapat dinafikan lagi. Tetapi bagaimana mahu tahu saat hati kita itu sudah ikhlas dan bersedia untuk melakukan kebaikan? Apakah ada petanda atau petunjuk? Malangnya, ikhlas adalah perkara yang begitu rumit yang hanya layak dinilai oleh Allah SWT, bukannya manusia biasa seperti kita.

Saat syaitan dihalau keluar dari syurga, dia dengan bongkaknya telah bersumpah akan menyesatkan manusia sehingga ke hari kiamat. Berbagai helah dan tipu daya dicipta hanya untuk memusnahkan manusia itu sendiri tanpa disedari. Bisikan jahat yang mengajar manusia membohongi hatinya sendiri, lalu mencipta pelbagai alasan untuk tidak melakukan kebaikan dan amal soleh.

Enggan solat kerana tiad0a rasa ikhlas untuk melakukannya. Tidak bersedekah kerana bimbang digelar mahu menunjuk-nunjuk kekayaan. Menunggu keikhlasan untuk menutup aurat. Sehinggakan perkara wajib yang diperintahkan Allah juga ditinggalkan. Ketahuilah, dalam tidak sedar kita sebenarnya berlaku sombong dan bongkak dengan Allah. Astaghfirullah!

Justeru, apa yang harus dilakukan?

Meninggalkan kebaikan dan amal soleh dan menunggu hingga ikhlas terbit dari hati.

Atau.

Berusaha menerbitkan ikhlas dari hati dan terus bersungguh melakukan kebaikan dan amal soleh.

Pertama, paksa diri dalam beramal soleh apatah lagi perkara wajib. Jangan biarkan diri kita terpedaya dengan propaganda syaitan. Tewaskan syaitan dengan menambah amalan sunat dalam beribadah.

Kedua, kenali Allah. Mengenali Allah akan membawa kita kepada mengenali diri sendiri. Manusia yang mengenali diri sendiri akan sedar bahawa dia hanyalah sekeping jasad yang bernyawa atas ihsan tuhannya.

Ketiga, kurangkan berbicara perihal orang lain. Kadangkala akibat selalu mempertikai keikhlasan orang lain akan menerbitkan rasa dengki dan bongkak. Selalu ingatkan diri kita bahawa, ikhlas itu adalah urusan Allah. Urusan manusia ialah berlumba melakukan amal soleh.

kerana terpaksa aku relakan

Seperti apakah ikhlas itu?

Ikhlas itu seperti surah Al-Ikhlas, yang tiada perkataan ikhlas di dalamnya. Selama ikhlas masih terucap, itu bererti masih belum ikhlas. Kerana dia yang ikhlas akan sentiasa berbuat sesuatu tanpa pernah menyebut keikhlasannya.

 

Siti Zulaihah Karim
JKPOC PEMBINA Kangar

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top