Perkukuh semula Teras utama Negara untuk kembalikan semula keharmonian rakyat

1. Persatuan Belia Islam Nasional mengucapkan sekalung ucapan tahniah di atas perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 sekaligus menamatkan polemik politik yang berlaku. Kami menzahirkan rasa syukur di atas penyelesaian kemelut politik yang berlangsung selama seminggu.

2. Tindakan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik beliau merupakan langkah terbaik dan seharusnya dipuji dalam mengembalikan semula kestabilan negara.

3. Dalam keadaan negara yang mencabar hari ini, kami sangat berharap agar kepimpinan di bawah Tan Sri akan dapat menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri secara jujur, telus,cekap dan profesional tanpa dipengaruhi kepentingan pihak tertentu demi rakyat dan negara.

4. Pembentukan pentadbiran kerajaan yang baharu dan ekonomi negara adalah cabaran pertama yang perlu diselesaikan secara berhati-hati dan bijaksana. Kami menyokong penuh cadangan Tan Sri untuk melantik anggota Jemaah Menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber. Perkara ini penting bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

5. PEMBINA juga menyeru supaya teras utama negara (Perlembagaan, Insititusi Diraja, Melayu dan Islam) terus dijaga dan dipertahankan oleh kerajaan. Ini kerana, penjagaan terhadap prinsip utama ini merupakan asas kepada keharmonian dan kesejahteraan negara. Bagi kami ianya telah mula sedikit demi sedikit dicabul oleh individu dan gerakan tertentu sewaktu kerajaan terdahulu memerintah.

6. PEMBINA meletakkan keyakinan kepada kerajaan yang akan memimpin nanti untuk menjaga prinsip-prinsip tersebut agar keharmonian yang telah dibina oleh generasi-generasi terdahulu dapat dikekalkan untuk generasi mendatang.

7. Akhir kata, kami mendoakan semoga Allah memberikan kekuatan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pasukannya nanti untuk membawa negara ke arah yang lebih sejahtera.

Wafiq Azman
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top