PENGANJURAN SULUNG MESYUARAT AGUNG TAHUNAN CAWANGAN PEMBINA BATU PAHAT


Sebahagian mahasiswa UTHM dan UIA yang berdaftar sebagai ahli PEMBINA Batu Pahat.

Batu Pahat,15 Feb-Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Batu Pahat telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan (MATC) kali pertama yang dihadiri seramai 21 mahasiswa daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh.

PEMBINA Batu Pahat yang telah berjaya didaftarkan di bawah Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia (ROY) pada 3 Februari lepas telah melaksanakan mesyuarat agung tahunan pertama bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan ROY seterusnya meraikan ahli-ahli PEMBINA yang berada di dalam cawangan Batu Pahat.

Pengerusi PEMBINA cawangan Batu Pahat, Saudara Muhammad Nurain Hezuan, 24, menekankan bahawa kepimpinan yang sedia ada ini adalah hasil titik peluh dan pengorbanan ahli-ahli PEMBINA yang terdahulu, makanya seharusnya penghargaan diberikan kepada mereka.

“PEMBINA Batu Pahat akan terus berkembang dengan pertambahan ahli dan penglibatan aktivisme mahasiswa Islam yang syumul, jadi saya ingin menyeru agar semua ahli komited dan nikmati perjalanan aktivisme kalian Bersama PEMBINA,” ujarnya lagi.

“Kita tidak akan rugi dan berada dalam ketinggalan apabila dalam PEMBINA, lihatlah pada bukti di hadapan kalian di mana sesetengah pimpinan PEMBINA Batu Pahat telah menyelesaikan kajian sarjana, mendapat anugerah dekan, dan menjadi ahli majlis perwakilan pelajar (MPP) di UTHM,” tambah Saudara Nurain Hezuan ketika menutup MATC kira-kira pukul 1:00 PM di hari yang sama.

PEMBINA merupakan persatuan pelajar yang telah berdaftar dengan ROY sejak tahun 2006 dan mempunyai cawangan di lebih 22 IPTA dan IPTS di seluruh negara. PEMBINA fokus untuk membangun jati diri mahasiswa dalam kerangka kehidupan Islam yang syumul.

MATC merupakan mesyuarat tahunan yang dilaksanakan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan (MATK) yang akan diadakan pada 29 Februari nanti di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Disediakan oleh;

Najmuddin Bin Mohd Faudzir

Wartawan ISMA Batu Pahat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top