PENDAKWAH MUSLIMAH
Alhamdulillah dan syukur saya rafa’kan kepada Allah SWT kerana memberi saya ruang dan peluang menyertai program seperti ini, malah mendapat sokongan yang hebat daripada ayah mama dan seluruh ahli keluarga, saudara mara, guru-guru sekolah, pensyarah UIA dan rakan-rakan seperjuangan. Mendapat anugerah duet terbaik dan tempat keempat merupakan satu kenangan penuh makna.
Program ini bermula daripada ujibakat yang dijalankan di Shah Alam bertarikh 6-7 Julai dan berakhir di pentas akhir Pendakwah Muslimah pada19 Oktober yang lepas.
Pendakwah Muslimah adalah suatu program yang membolehkan serta memberi platform kepada para wanita muslimah menyebarkan dakwah. Program anjuran Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor ini adalah dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor dan TV Al Hijrah.
Kami sebagai 6 finalis turut dilatih oleh beberapa mentor yang berpengalaman dalam ilmu dakwah pentas dan lapangan. Mereka adalah Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dan Dr Rosmawati Mohamad Rasit. Ilmu ditimba pengalaman dirasa bukan hanya untuk kami, tapi demi ummah.
Pengalaman yang saya peroleh sepanjang menyertai Pendakwah Muslimah tahun ini adalah saya menyaksikan sendiri bagaimana pengorbanan daripada semua peserta dan keluarga peserta, urusetia Dakwah JAIS, para mentor dan crew TV Alhijrah dalam melaksanakan tugas sebaik mungkin.
Ketika di ILDAS, kami para peserta telah pun dilatih sebaik mungkin supaya tidak membawa fahaman yang selain daripada ahli sunnah wal jamaah. Malah kami juga dilatih supaya kental dari sudut mental dan fizikal, kerana itu suatu daripada tanggungjawab kami kelak supaya tidak menyebarkan selain bersandarkan Al-Quran dan Sunnah.
Cerita manis yang menarik dikongsi adalah berkenaan ukhuwwah antara kami peserta serta semua urusetia Dakwah JAIS dan para mentor yang terlibat. Terasa seperti sebuah keluarga yang jitu antara semua pihak. Ada ayah ibu kakak abang adik yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat.
Akhirnya, semua perancangan ini berjalan dengan izinNya. Semoga Allah meredhai semua yang terlibat dan memudahkan urusan mendatang.