ANTARA IDEA PELAKSANAAN & KERJA BERPASUKAN

Antara idea, pelaksanaan dan kerja berpasukan

Dalam pergerakan organisasi atau persatuan, lontaran idea selalu dapat memukau ahli mesyuarat dan memberi inspirasi untuk terus bekerja. Selalunya lontaran idea yang menarik dan bernas akan mendapat sambutan dan jika semua halangan dapat dibincang dan dirungkai, maka idea tersebut akan menjalani proses seterusnya iaitu pemurnian.

Pemurnian sesebuah idea akan menjalani proses C&C (comment and critique). Idea yang dibentangkan akan dilihat dari pelbagai sudut oleh ahli mesyuarat berdasarkan pengalaman masing-masing. Dan pada proses ini kita akan dapat melihat bagaimana penterjemahan sebuah idea untuk dijadikan sebuah kenyataan menjadi lebih jelas. Pembawa idea ini akan cuba sedaya-upaya mempertahankan idea mereka supaya menjadi kenyataan  seperti yang diimpikan. Pendokong idea ini pula akan membawa rasional dan hujah mereka untuk menambahbaik pelaksanaan idea tersebut. Pembangkang atau penasihat bagi sebuah organisasi akan cuba memberi penilaian semula kepada kemenjadian idea tersebut. Proses ini seharusnya berlaku dalam sebuah mesyuarat yang dihadiri semua ahli berjawatan dalam organisasi tersebut.

Apabila proses pemurnian ini selesai, maka idea tersebut akan melalui proses pelaksanaan. Ini adalah cabaran sebenar bagi sebuah organisasi dalam melaksanakan sebuah idea sama seperti apa yang telah dipersetujui dalam mesyuarat. Idea yang besar memerlukan komitmen yang besar. Komitmen yang besar memerlukan rakan sepasukan yang saling bekerjasama. Dalam pelaksanaan ini, akan wujud konflik dan pengubahsuaian dalam idea asal yang dipersetujui sebelum ini.  Ada yang perlu dibuang, ada yang boleh dijimatkan kos, dan ada yang wajib kekal tidak kira apa yang berlaku.

Maka, bila kita lihat hasilnya, ada yang sangat lari dari idea asal, ada yang terlajak dari garis masa yang sepatutnya, tetapi ada yang menjangkau dari jangkaan yang sepatutnya. Maka apabila hasil yang baik, kita jarang sekali menganalisa tentang apa yang boleh diperbaiki. Manakala apabila hasil tersebut buruk atau tak mencapai target, kita akan menganalisa secara mendalam bagaimana ia boleh terjadi dan apa yang boleh dilakukan untuk mengelak perkara tersebut berulang di masa hadapan.

Antara perkara yang menyumbang dalam keberjayaan sesuatu idea adalah kerjasama rakan sepasukan. Dari awal lontaran idea, rakan sepasukan yang baik akan memberi sokongan dan dorongan kepada pembentang idea tersebut jika idea tersebut sahih dan bernas. Mereka juga akan menambah kritikan membina dalam proses pemurnian dan pelaksanaan idea tersebut. Apabila telah dipersetujui, maka rakan sepasukan yang baik akan memberi komitmen penuh untuk idea yang telah direalisasikan. Jika terdapat kelemahan, maka mereka akan cuba sedaya upaya menampal kelemahan tersebut Bersama atas rasa tanggungjawab dan kebersamaan dalam organisasi.

Apabila idea tidak menjadi

Idea mungkin tidak menjadi atas beberapa sebab samada dari faktor dalaman atau luaran. Kalau kita biasa buat ‘SWOT analysis’, kita akan menilai kekuatan (S), kelemahan (W), peluang (O) dan ancaman (T). Analisa ini dibuat untuk menilai keseluruhan aspek yang menyebabkan kejayaan atau kegagalan sebuah projek. Kekuatan dan kelemahan adalah faktor dalaman manakala peluang dan ancaman adalah faktor luaran. Sungguhpun banyak aspek yang boleh disentuh, tetapi artikel ini ingin menekankan aspek kerjasama sepasukan dalam menjadikan idea sebuah kenyataan samada Berjaya atau gagal.

Pada permualaan pembentangan idea, ahli jawatankuasa perlu hadir untuk menilai bersama keperluan sebuah idea untuk dirai dan dilaksanakan. Kehadiran ke mesyuarat amat penting bagi menjadikan ia adil bagi semua pihak yang terlibat. Bahkan kehadiran yang penuh akan memberi semangat kepada pembentang, pendokong, pembangkang dan penasihat dalam sebuah mesyuarat.

Jika kehadiran tidak memberansangkan, maka tiadalah guna sebuah mesyuarat diwujudkan dan adalah lebih baik ia terus dijadikan arahan. Walaubagaimanapun, demi meraih keadilan bagi semua pihak, ia perlu dibentangkan ke mesyuarat dan diputuskan untuk dilaksanakan. Di sini, kerjasama dari ahli mesyuarat penting bagi menghadirkan diri dalam mesyuarat bagi tidak terlepas sebarang info yang penting sebelum idea diputuskan untuk dilaksanakan.

Penting juga untuk proses pemurnian sebuah idea kerana idea yang tidak dimurnikan akan menjadi sebuah idea yang lompong dan bermasalah apabila ia dilaksanakan kelak. Sumbang saran dari ahli berdasarkan pengalaman masing-masing akan memberi tokok tambah positif sebelum idea yang bakal dilaksanakan. Kerjasama sepasukan untuk duduk dan memberi fokus terhadap proses pemurnian ini adalah kritikal agar tidak terlepas sebarang aspek yang mungkin menjadi kelemahan apabila ia dilaksanakan.

Setelah diputuskan, satu lagi tangkah yang mesti ada pada ahli pasukan ini adalah komitmen dalam melaksanakan sebuah idea. Apabila diberi peranan, jawatankuasa terlibat hendaklah memberikan yang terbaik dalam melaksanakan idea tersebut. Manakala ahli jawatankuasa lain yang tidak terlibat mahupun yang telah selesai tugasan tersebut perlu memainkan peranan dalam memastikan idea tersebut berjaya. Tindakan seperti susulan tugasan (follow up) dan memberi semangat dari ahli sepasukan lian akan membantu keberjayaan sebuah idea atau projek.

Setelah selesai projek, kerjasama ahli pasukan untuk bersama menilai semula pelaksanaan (post-mortem) idea tersebut adalah diperlukan. Jika sebahagian merasa tugasan mereka telah selesai, kesilapan yang telah dibuat mungkin akan berulang di masa hadapan. Manakala keberjayaan yang lepas pula mungkin tidak dapat berulang jika ahli sepasukan bersikap sambil lewa terhadap proses post-mortem ini.

Penutup

Dalam aktivisme PEMBINA, komitmen yang tinggi diperlukan bagi melaksanakan sesebuah projek yang datang dari mesyuarat jawatankuasa. Bukan sahaja disebabkan kerana mahu pelajar beraktivisme, tetapi kerana ia datang dari kefahaman untuk berdakwah kepada mahasiswa islam yang lain melalui aktivisme. Selain dari cabaran untuk mendapatkan komitmen, cabaran lain adalah untuk setiap dari ahli jawatankuasa untuk menanam ikhlas dalam diri ketika beraktivisme dengan PEMBINA. Kita bukanlah syarikat korporat yang membayar wang ringgit kepada ahli yang beramal, tetapi bayaran kita adalah pahala dari Allah yang Maha Esa. Yakinlah bahawa kerjasama yang wujud dalam pelaksanaan idea di organisasi PEMBINA akan beroleh pahala dihujung nanti dengan syarat ikhlas kepada Allah.

Disediakan oleh:

Najmuddin Bin Mohd Faudzir

JKPO PEMBINA Batu Pahat

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top