24 Jun, Nilai – Bertempat di Galeria, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), suatu bengkel bertujuan memerah idea pembinaan Pusat Permata Islam Negara telah diadakan semalam pada jam 2.30 petang. Bengkel ini dihadiri oleh ahli-ahli akademik, ahli-ahli korporat, dan pihak Permata Islam Negara sendiri. PEMBINA yang diwakili oleh Muhammad Aiman Ahmad Fauzi (Ketua Unit Kajian & Informasi Pusat) dan Sharifah Abdul Samad (Ahli Jawatankuasa Sekretariat Beliawanis Pusat) merupakan satu-satunya badan yang dijemput bagi berkongsi idea mewakili suara golongan belia dan mahasiswa bagi melengkapkan konsep keseluruhan pembinaan pusat tersebut.
Projek pembinaan Pusat Permata Islam Negara merupakan suatu projek kerjasama di antara kerajaan negara Malaysia di Kuala Lumpur dan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi. Di dalam lawatan kerja Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Abu Dhabi pada Mei baru-baru ini, suatu perjanjian persefahaman telah dimeterai di antara kedua-dua negara termasuk projek kerjasama membangunkan kompleks masjid di Bandar Malaysia, Sungai Besi, sebagai menghargai hubungan dua hala yang kukuh dan lama terjalin antara kedua-dua negara. Rekabentuk masjid ini diilhamkan daripada Masjid Besar Sheikh Zayed di Abu Dhabi, juga akan turut menempatkan Pusat Permata Islam Negara sebagai sebuah pusat pendidikan Islam berasaskan teknologi merangkumi pusat PERMATA (Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak).
Muhammad Aiman berkata, “PEMBINA telah memainkan peranan dan mengambil bahagian secara proaktif di dalam bengkel tersebut. Kami telah menyampaikan suara belia dan mahasiswa Islam berdasarkan pengalaman PEMBINA berkecimpung di dalam aktivisme belia Islam. Di antara perkara yang dikongsikan adalah berkenaan pandangan PEMBINA tentang empat bidang utama ilmu asas yang pada hari ini generasi muda Islam agak ketinggalan iaitu falsafah, syariah, sejarah, dan politik. Dalam masa yang sama, kekuatan sedia ada dalam bidang sains dan teknologi tidak haru dikesampingkan. Sebelum ini kita sering dengar rungutan atau polemik yang mengatakan bahawa sumber manusia muslim tidak terbentuk sempurna mungkin berpunca daripada ketidakseimbangan ini.”
Tambah beliau lagi, umat Islam di Malaysia perlu mula memikirkan cara untuk melahirkan pakar-pakar yang bersifat multidisiplin merangkumi kedua-dua cabang sains tulen dan sains sosial sebagai rujukan umat Islam. Bidang-bidang ilmu sains sosial yang dianggap penting bagi umat Islam di Malaysia pada hari ini adalah merangkumi politik, ekonomi, undang-undang, syariah, sejarah dan falsafah.
Aiman merupakan pelajar ijazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), jurusan Sains Politik.