Kenyataan Rasmi: PEMBINA bantah desakan hapus

1. PEMBINA bersama-sama NGO-NGO Islam membantah desakan-desakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab terutamanya parti-parti politik yang mahukan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) dihapuskan. PEMBINA berdiri teguh di belakang MAIS dan JAIS terutamanya dalam usaha mengekang dakyah-dakyah Kristianisasi yang giat dijalankan secara sembunyi oleh golongan evangelis.

2. PEMBINA turut kecewa dengan pendirian ahli-ahli politik sama ada kerajaan negeri Selangor mahupun kerajaan Pusat serta Peguam Negara yang seolah-olah menutup mata terhadap dakwaan wujudnya gerakan kristianisasi yang berusaha memurtadkan umat Islam di negeri Selangor dan di seluruh negara.

3. PEMBINA menyeru umat Islam agar sedar bahawa ancaman kristianisasi di Malaysia adalah suatu realiti dengan penemuan bible dalam bahasa Malaysia yang dikhususkan kepada orang melaka Muslim manakala MAIS dan JAIS yang diberikan kuasa melalui Institusi DiRaja merupakan satu-satunya badan bersama yang cuba mempertahankan maruah umat Islam berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada dan umat Islam harus bersatu mempertahankan tindakan yang diambil oleh MAIS dan JAIS.

4. Dalam satu sidang media PAS di Parlimen Rabu baru-baru ini yang dibacakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad dan turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahamud dan Ahli Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat mendesak agar kerajaan negeri Selangor mengkaji semula bagi menarik balik kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS). Mereka juga mendesak agar kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat melakukan pindaan terhadap enakmen yang memberi kuasa eksekutif kepada MAIS. Kuasa eksekutif yang diberikan kepada MAIS sebagai badan yang berperanan sebagai penasihat hal ehwal Islam dan adat Melayu dikatakan boleh mencemarkan institusi raja di Selangor.

5. MAIS ditubuhkan di bawah Seksyen 5, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1952 bertujuan menasihatkan Sultan Selangor dalam hal ehwal Islam dan adat Melayu. MAIS selama ini berperanan menjaga hal ehwal Islam di negeri itu.

6. Gesaan yang dibuat beberapa ahli parlimen PAS ini dilihat sebagai tekanan kepada badan itu berikutan keengganan MAIS memulangkan semula 300 naskhah bible dalam bahasa Malaysia yang dirampas pada Januari lalu. Mereka mendakwa tindakan tersebut umpama tidak menghormati kitab suci agama lain. Mereka juga menafikan naskhah bible yang dirampas tersebut tidak berkaitan dengan usaha penyebaran agama Kristian kepada orang Islam.

7. Desakan oleh ahli-ahli parlimen PAS ini juga dilihat bertentangan dengan inisiatif PAS menganjurkan program TEGAS (Tegas Syariat Islam) yang dirasmikan sendiri oleh Presiden PAS,Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. PAS sebagai sebuah parti Islam perlu kembali mengambil pendirian yang lebih tegas dalam menjaga maslahah umat Islam terutamanya dalam memastikan peranan dan autoriti badan-badan agama Islam.

8. Imam Al-Gazali rahimahullah berkata, “Dunia adalah ladang akhirat. Tidak sempurna agama dengan dunia. Pemerintah dan agama umpama dua kembar. Agama adalah paksinya, manakala pemerintah adalah penjaganya. Sesuatu perkara yang tidak mempunyai paksi akan hancur. Manakala sesuatu yang tiada penjaga pasti akan hilang. Dan tidak akan sempurna pemerintahan dan aturan tanpa kuasa.”

Sumber:
1. http://www.sinarharian.com.my/politik/hapus-kuasa-eksekutif-mais-pas-kena-bincang-dulu-1.291495
2. http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/po/newspolitics.php?id=1047408
3. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PASmintaSelangorhapuskuasaeksekutifMAIS/Article/
4. http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140617/po_05/Pas-gesa-Selangor-kurangkan-kuasa-eksekutif-MAIS
5. http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/28981-pas-mahu-kuasa-eksekutif-mais-dikaji-semula
6. http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/06/18/pas-mahu-kuasa-eksekutif-mais-dihapuskan/
7. http://www.anwaraidc.com/?p=47693
8. http://www.malaysiakini.com/news/265931
9. http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/06/17/pas-mais/
10. KiniTV http://www.youtube.com/watch?v=WxbeYdt4cx4
11. http://www.tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/Ahli_Parlimen_PAS_Mahu_Kuasa_Eksekutif_MAIS_Dihapuskan.html
12. http://www.harakahdaily.net/index.php/headline/28919-orang-jahil-sahaja-kata-hudud-tidak-adil
13. Ihya’ Ulumuddin, Bab Ilmu, Jilid 1

Disediakan oleh,
Ustaz Salman Abdul Rahman
Jawatankuasa Komunikasi Strategik
PEMBINA
Tarikh: 23 Jun 2014

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top