KUALA LUMPUR , 5 April – Nordie Binti Hashim, Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah meraih Anugerah Ketua Beliawanis Terbaik dalam Majlis Penyampaian Anugerah sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-8 (MATK8) PEMBINA, bertempat di Auditorium Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (UM) semalam.
“Bersyukur kehadirat Illahi atas kemenangan ini, ini merupakan kemenangan hasil sokongan daripada Murabbiah dan akhawat Kelantan khasnya” ujarnya ketika ditemui wartawan PEMBINA.
Katanya rahsia kejayaan hari ini adalah rezeki daripada Allah, semua calon adalah yang terbaik, namun perancangan Allah adalah lebih baik. Kemenangan ini adalah pendorong dan pembakar semangat untuk terus bejuang di jalan dakwah.
Pada masa yang sama, penerima Anugerah Pengerusi Cawangan Terbaik disandang oleh Muhammad Aidil Idham bin Sharom, Pengerusi Cawangan PEMBINA Ipoh.
“Alhamdulillah saya bersyukur kehadrat Illahi atas penganugerahan ini, namun perlulah sentiasa disedari bahawa dakwah ini tidak mampu dibawa sendirian tetapi ia adalah gagasan yang didukung oleh sekumpulan hamba Allah yang menginfaqkan diri mereka untuk kerja dakwah ini“ katanya ketika ditemuramah wartawan PEMBINA.
Harapannya moga dakwah semakin mekar di Malaysia dan di Ipoh khususnya. Sekalung apresiasi juga diucapkan kepada semua jawatankuasa PEMBINA Cawangan Ipoh Sesi 2014, PEMBINA IPT Ipoh dan ahli PEMBINA Ipoh secara keseluruhan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Manakala Anugerah Cawangan Terbaik dirangkul PEMBINA Cawangan Negeri Sembilan.
Wan Nur Hafizah Wan Azmil dan Siti Aisyah Mohamad Zin
Wartawan PEMBINA