Kunci kekuatan pasukan

0T9A4080

Sahabat: Hanan, terima kasih tau. Seronok kerja dengan kau dan team

HBO: err.. kau nak pindah mana-mana ke?

Sahabat: Haha.Taklah. Aku rasa buat kerja dengan kau dan ahli team kau senang. Takde masalah pun. So kenalah appreciate.

HBO: oh ye ke.. hehe. Terima kasih kat kau juga. Kau memang terbaik. Alhamdulillah, semua benda setel dengan elok.

Terngiang-ngiang perbualan ringkas dengan seorang kawan ofis siang tadi. Secara tiba-tiba dia ingin berterima kasih, namun memang benar, kerjasama bersamanya sangat mudah dan kerja siap dengan sebaiknya. Itulah hasil kerja berpasukan ataupun ‘teamwork’ yang bagus.

Sambil memandu pulang, fikiranku melayang kepada pasukan kerjaku dalam Jawatankuasa Pusat PEMBINA sekarang. Antara perkara yang sangat terkesan di hati saya dan seringkali saya perhatikan sejak bersama mereka adalah betapa kuat dan mantapnya semangat kerja berpasukan sesama mereka.

Mereka bekerja dalam gerak kerja yang tersusun dan sitematik. Mereka sangat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amanah yang diberikan serta saling percaya kepada ahli pasukan yang lain. Mereka saling berbahas, mengkritik idea mahupun menyokong sesuatu gagasan dengan penuh professional. Mereka berbincang bagi mencari penyelesaian, bukan mencari kesalahan. Tidak hairanlah PEMBINA pada hari ini sungguh hebat dan maju, kerana barisan Jawatankuasa Pusat mereka bekerja secara berpasukan dengan sungguh mantap.

Tapi adakah kerja berpasukan itu sesuatu yang mudah?

Pastinya tidak! Bukan mudah untuk bekerja dalam satu kumpulan yang mempunyai individu-individu dengan personaliti-personaliti yang berlainan, malah seringkali bercanggah. Bukan mudah untuk bekerja dalam kumpulan sambil mengejar matlamat yang tinggi dan seringkali perlu dibuat dengan kadar segera. Bukan mudah untuk menguruskan manusia yang pelbagai ragam bagi mencapai satu tujuan yang sama.

Jadi bagaimana cara untuk mewujudkan kerjasama yang mantap dalam pasukan?

Berdasarkan pemerhatian saya terhadap Jawatankuasa Pusat PEMBINA, salah satu daripada kunci kekuatan mereka adalah saling mengenali keperibadian masing-masing.

Setiap ahli JKP PEMBINA saling mengenali watak dan personaliti JKP yang lain. Bukan sahaja mereka mengenali, namun yang lebih utama daripada itu, mereka boleh menerima setiap ahli kumpulan yang lain seadanya, maklum dan bantu menampung kelemahan mereka serta mengoptimumkan kekuatan dan kelebihan pada ahli tersebut.

Hasil daripada kefahaman yang mendalam antara satu ahli dengan yang lain menyebabkan banyak urusan, perbincangan dan tugasan berjalan dengan mudah dan harmoni. Tidak ada rasa saling tidak puas hati, saling berbantahan tanpa adab, saling menjatuhkan mahupun saling berdendam.

Kefahaman yang mendalam ini juga banyak membantu dalam pembahagiaan tugas dan tanggungjawab sesuai dengan peribadi, personaliti juga kesibukan jadual harian setiap ahlinya. Apabila pemberian tugas sesuai dengan watak, kemahiran dan tahap kesibukan orang yang diamanahkan, maka pastinya kerja itu akan dapat dilunaskan dengan baik.

Persoalan seterusnya yang timbul adalah, bagaimana untuk saling mengenali antara satu sama lain sampai ke tahap sebegitu sekali? Rasa-rasa, dalam pasukan-pasukan kerja yang kita ada sekarang ini, kita dah memang jumpa setiap minggu untuk mesyuarat, tapi tak sampai pun ke tahap saling mengenali. Tak sampai pun ke tahap mampu menggerakkan pasukan dengan sangat mantap.

Haa.. mungkin di situ silapnya penilaian kita. Kita sangkakan, dengan pertemuan dalam mesyuarat setiap minggu itu adalah cukup untuk kita mengenali diri masing-masing. Tapi hakikatnya tidak. Andai kita imbas kembali apa yang berlaku dalam setiap pertemuan, perbincangan yang berlaku hanya berkisar tentang urusan kerja yang perlu disiapkan sebelum ‘deadline’. Minggu depan, kita akan bertemu lagi untuk memaklumkan perkembangan tugasan masing-masing.

Langsung tiada waktu dalam pertemuan mingguan itu untuk kita mengenali ahli pasukan kita dengan lebih mendalam. Hakikatnya, untuk mengenali seseorang itu dengan lebih baik, ia perlu kepada pertemuan-pertemuan di luar urusan kerja.

Amat benar kata-kata bahawa kita belum cukup mengenali seseorang sehinggalah kita pernah makan bersama, tidur bersama dan berjalan jauh bersama orang itu. Ya, inilah dia apa yang dinamakan ‘muayashah’.

Ia bukan hanya sebuah kata kerja untuk seorang naqib dan naqibah untuk anak usrahnya, tapi ia adalah apa yang perlu dibuat bersama setiap ahli pasukan kerja (sama jantina) agar hubungan yang erat dan kefahaman yang mendalam tentang personaliti dan kehidupan masing-masing dapat terbina lantas mampu menggerakkan pasukan dengan penuh efisyen dan maju.

Perkara-perkara ini tidak mampu dilakukan dalam tempoh singkat mesyuarat, sekalipun mesyuarat itu berlangsung setiap minggu. Perlu ada pertemuan-pertemuan di luar waktu mesyuarat dan di luar waktu bertugas untuk luang waktu bersama.

Ajaklah ahli pasukan anda untuk pergi makan. Ajaklah ahli pasukan anda datang bermalam di rumah. Temanlah ahli pasukan pergi membeli barang keperluan.
Temanlah ahli pasukan anda yang perlu berjalan jauh.

Hanya di waktu-waktu sebegini kita dapat bercakap tetang banyak perkara lain selain hal kerja. Kita dapat mengenali bagaimanakah kehidupan seharian mereka. Kita dapat mengenali bagaimanakah mereka berurusan dengan urusan-urusan lain dalam hidup. Kita dapat mengenali apa yang disukai mahupun tidak disukainya.

Dan dari sinilah akan lahir kefahaman mendalam terhadap ahli sepasukan. Bila kita tahu mereka sebenarnya sangat sibuk pada hari minggu dan hanya ada waktu terluang di hujung minggu, maka kita tahu bila waktu yang sesuai untuk memberikan ‘deadline’ kepada mereka.

Bila kita tahu masalah-masalah yang dihadapinya, kita tahu bagaimana nak urus agar sahabat itu tidak tertekan namun kerja masih dapat diselesaikan dengan sempurna. Kita tahu bila nak hulurkan bantuan, kita tahu bagaimana nak memberikan motivasi kepadanya, kita tahu dan kita yakin dengan kebolehan dan kemampuannya.

Hasilnya, kerja-kerja dalam pasukan dapat jalan dengan baik. Hubungan yang erat yang terbina di luar waktu mesyuarat menyebabkan setiap ahli dapat berbahas, berbincang, mengkritik dan menegur satu sama lain dengan penuh professional tanpa ada yang terasa hati. Lantas, ide-ide yang keluar dari hasil perbincangan merupakan ide yang bernas dan mantap, yang telah dibincangkan dengan lumat serta disokong dan didokong oleh semua ahli pasukan.

Inilah, bagi saya, antara kunci utama kekuatan dan kehebatan pasukan Jawatankuasa Pusat PEMBINA yang ada sekarang ini. Saya banyak belajar daripada semangat berpasukan yang mereka pamerkan, dan kini saya berkongsi dengan anda semua agar anda juga bisa membangunkan pasukan-pasukan kerja yang hebat dan mantap atas jalan dakwah ini.

Selamat membina pasukan yang hebat!

Nota: Muayasyah di luar waktu kerja bersama yang bukan mahram hanya untuk mereka yang sama jantina.

Hanan Binti Othman

Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top