MIRI, 14 April – Kelab Remaja ISMA (KRIM) Miri telah mengambil peluang menganjurkan satu program yang menarik untuk para pelajar iaitu Forum Cafe Cinta : Apabila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung bertempat di Sekolah Menengah Sains Miri pada Sabtu lepas. Forum ini diadakan bertujuan untuk memberi penerangan kepada pelajar tentang makna cinta yang sebenar dalam kehidupan.
Saudari Roszida Kamaruddin merangkap Ketua Beliawanis Pusat merupakan panelis Cafe Cinta mendedahkan kepada pelajar tentang kepentingan untuk membezakan perasaan sekadar suka kepada berlawan jantina atau cinta yang sebenar. Menurutnya, cinta yang sebenar akan membawa kepada perkahwinan yang penuh dengan amanah dan tanggungjawab.
Seramai lebih 200 pelajar Islam dan lebih kurang 100 pelajar bukan Islam yang menghadiri program ini dinasihati agar dapat mengurus emosi dan mengawal perasaan dengan baik dengan mengalihkan perhatian kepada perkara yang lebih utama seperti bersungguh dalam menuntut ilmu serta memanfaatkan masa lapang dengan perkara yang lebih bermanfaat untuk membina peribadi mulia sebagai seorang pelajar yang mempunyai jatidiri teguh.
Program Cafe Cinta ini berakhir dengan kata-kata semangat kepada para peserta supaya berhati waja dengan menanam cita-cita dan matlamat yang besar dalam diri agar perkara kecil seperti perasaan hati yang remeh dapat dibendung dan ditangani dengan baik.
Barisan panelis terdiri daripada Ustaz Isfahmi dari Aman Palestin Seremban dan Saudara Ghafar dari I-Guru Sarawak turut hadir dalam memberi pencerahan kepada para peserta supaya tekun menuntut ilmu dan tidak mudah terpedaya dengan cinta monyet yang menipu.
Nurul Ain Abdullah