Oleh : Mohd Haziqq bin Mohd Isa.
Bangi, 22 Feb – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) hari ini telah meteri perjanjian persefahaman (MoU) bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM), Ikatan Perubatan dan Sains Muslimin (I- Medik) dan Yayasan Ikhlas pada Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan kali ke 7 yang diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Presiden PEMBINA, Ustaz Ibrahim bin Mohd Hasan berkata, kerjasama PEMBINA bersama I-Medik dan Yayasan Ikhlas merupakan satu kerjasama yang strategik untuk maju kehadapan.
Tambahnya lagi, dengan termeterainya perjanjian ini, PEMBINA dapat fokus untuk menggerakkan BAKTI, yang merupakan salah satu pakej yang ditawarkan dalam PEMBINA.
“BAKTI menjadi platform untuk mahasiswa dan belia secara amnya untuk menyumbang nama dan potensi yang mereka ada dalam membantu dalam kerja-kerja kebajikan”, ujarnya.
Hal ini dapat dilihat baru-baru ini apabil berlaku banjir, PEMBINA turun bersama I-Medik dan Yayasan Ikhlas untuk membantu mangsa.
Tambahnya lagi, selain bantuan kepada mangsa banjir, sumbangan derma darah boleh dilakukan oleh PEMBINA kerjasama I-Medik.”
Bersetuju dengan pandangan presiden PEMBINA, Wakil dari I-Medik, Prof Dr Azmi bin Md Nor berkata, perjanjian yang dimeterai bersama PEMBINA merupakan satu perjanjian yang baik dan berkesan dalam memacu amal PEMBINA dan I-Medik.
“Sebahagian ahli I-Medik terdiri daripada mahasiswa dan belia, jadi kita boleh menggembleng tenaga sepenuhnya dalam rangkuman kerjasama I-Medik dan PEMBINA.”
Tambahnya lagi, mahasiswa dan belia yang merupakan ahli bersekutu I-Medik boleh memberi kesedaran kepada mahasiswa di IPT dan penduduk di kawasan luar bandar dari sudut kesihatan selain memberi bantuan kesihatan dan perubatan kepada mangsa banjir.
Di samping itu, Pengarah Kelab Remaja ISMA, Cikgu Asmadi Abdul Samad berkata MoU ini merupakan satu langkah permulaan dalam membina satu sistem pendidikan remaja tersusun dan punyai visi dan misi yang jelas.
“KRIM meyakini bahawa satu program yang berterusan dan tersusun diperlukan dan untuk melengkapkan aliran proses yang berterusan kepada remaja, KRIM melihat PEMBINA merupakan sebuah agensi yang tepat dan relevan dalam isu-isu yang berlaku di Malaysia walaupun pada saat ini, MOU yang dilakukan adalah untuk satu program penerusan untuk remaja setelah melalui program Kem Lepasan Sekolah (KLS) iaitu Program Expressi yang dijalankan oleh PEMBINA,” katanya menutup bicara.