Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-7 (MATK7) Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menjadi pentas mengiktiraf ketokohan ahli PEMBINA yang banyak menyumbang ke arah pembangunan PEMBINA di pelbagai peringkat.
Hal ini dengan penganugerahan 10 anugerah pelbagai kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah PEMBINA Kebangsaan bertempat di Auditorium Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
MATK7 menjadi lebih bermakna dengan pengumuman penerima anugerah yang menonjolkan ramai individu hebat dari pelbagai cawangan PEMBINA di Malaysia. Seterusnya menjadi bukti ahli-ahli PEMBINA semakin hebat kualitinya dan terus mengaktifkan diri beraksi di medan masing-masing.
Anugerah Tokoh Mahasiswa dan mahasiswi disandang oleh Muhammad Noorazlan Bin Abd Azis dan Nur Hanisah binti Ahmad Saifudin. Manakala Muhammad Amin bin Ribbang dan Afiqah Hamzah menerima Anugerah Tokoh Belia dan Beliawanis. Cawangan Gombak pula membolot dua kategori bagi kategori Anugerah Khas (BAKTI) dan Anugerah Khas (Ketua Beliawanis) melalui Puan Shazmin binti Hassan. PEMBINA UPM juga membolot dua anugerah melalui Anugerah Tanzim Mahasiswa dan Anugerah Khas (Pilihanraya Kampus) melalui Saudari Sayang Syamira bt Sobri. Anugerah Cawangan Cemerlang diberikan kepada PEMBINA Perlis dan Saudara Muhammad Hafiz Bin Abdul Rahim menerima Anugerah Khas (Pengerusi Cawangan).
Majlis dirasmikan oleh Tuan Abdul Rahman Mat Dali, Naib Presiden II, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan dihadiri oleh jemputan khas iaitu daripada HaluanSiswa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Majlis Perwakilan Pelajar KUIS, Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik), Kelab Remaja Ikatan Muslimin (KRIM) dan Yayasan Ikhlas.
Majlis juga berlangsung dengan Perbahasan Ucapan Dasar dari wakil Zon Tengah, Saudara Muslim Abdullah Zaik, Zon Utara, Saudara Muhamad Zulazmi Saidin, Zon Timur, Saudara Mohamad Azran Faris Mohamad Azemi, Zon Selatan, Saudara Mohamad Farhan Abdullah dan wakil bagi beliawanis, Saudari Syarifah Abdul Samad. Acara menandatangani perjanjian persefahaman juga berjalan lancar dan disambut baik oleh semua wakil PEMBINA, I-Medik, Yayasan Ikhlas dan juga KRIM.
Ucapan penerima anugerah.
Anugerah Tokoh Mahasiswa
“Saya ingin meluahkan rasa setinggi terima kasih kepada PEMBINA kerana telah memberikan penghargaan kepada saya atas kejayaan dalam pencapaian yang saya miliki. Melalui saluran PEMBINA, saya dapat menyalurkan segala bakat yang terpendam dan dimanfaatkan melalui program yang berbentuk kemasyarakatan dan dakwah. Sudah tentunya ini adalah suatu kelebihan yang dimiliki oleh PEMBINA dalam membentuk peribadi unggul serta sifat serba boleh yang tinggi dalam kalangan ahli. Titik tolak kejayaan hari ini juga merupakan sumbangan dari PEMBINA sendiri yang menyalurkan tarbiyah secara berterusan untuk memupuk komitmen dan disiplin yang tinggi dalam menuntut ilmu”
-Muhammad Noorazlan Abd Azis
Anugerah Tokoh Mahasiswi
“Alhamdulillah syukur atas anugerah yang tidak pernah disangkakan ini. Sedikit pesanan, berbuatlah semampu mu. Terkadang kita rasa kita tidak mampu dan amanah yang diberikan itu berat. Namun begitu, terimalah amanah itu dahulu dan jangan pernah berkata ‘tidak’. Biar sahaja amal berbicara untukmu.”
-Nur Hanisah Ahmad Saifudin
Anugerah Tokoh Belia
“Pertama dan selamanya, terima kasih dan segala puji bagi Allah atas semua perkara. Bersyukur tidak terhingga kerana ana mendapat dorongan daripada insan-insan yang terus menerus mendidik dan membesarkan anak Bajau asli Semporna ini. Serta sosok-sosok yang mana hati-hati kita telah bersatu atas ikatan iman dan da’watillah, syukran alf syukr buat kalian juga.”
-Muhammad Amin Ribbang
Anugerah Tokoh Beliawanis
“Terima kasih PEMBINA atas anugerah ini. Apabila kita bekerja semata-mata mengharapkan penghargaan Allah, penghargaan manusia akan dating kemudian. Semoga menjadi inspirasi kepada beliawanis lain agar melapangkan minda dan cemerlang dalam apa jua bidang tanpa mengenepikan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
-Afiqah Hamzah
Anugerah Khas (Pilihanraya Kampus)
“Alhamdulillah, Allah telah memberi saya peluang untuk menerima pengiktirafan daripada PEMBINA dan ini merupakan satu penghargaan yang cukup tinggi bagi saya. PEMBINA mengubah diri ini menjadi lebih baik, proaktif dan berkeyakinan. Natijahnya, saya menyahut cabaran untuk menyertai pilihanraya kampus di UPM dengan membawa manifesto-manifesto yang lebih memurnikan Islam dan penegakan akidah. Kini, saya memegang jawatan sebagai Exco Kerohanian dan Integrasi MPP UPM dan dari sini saya menyedari sebenarnya tugas kita masih banyak yang belum selesai. Ummah memerlukan pemimpin berwibawa. Justeru, saya menyeru semua mahasiswa agar mencabar diri menjadi pemimpin ummah dan berada di baris hadapan dalam menegakkan Islam. Jadi, sama-sama kita persiapkan diri kerana sudah pasti jalan ini bukanlah untuk orang-orang yang bermalas-malasan.”
-Sayang Syamira Sobri
Anugerah Khas (Pengerusi Cawangan)
“Diberi pengiktirafan ini dalam MATK7 merupakan satu penghargaan yang cukup tinggi bagi saya. Sejak bersama-sama PEMBINA, pelbagai perkara dipelajari termasuklah ilmu tarbiyah, ilmu kepimpinan, kemahiran mengurus organisasi dan kemahiran-kemahiran lain yang membuatkan diri saya berbeza dari yang sebelumnya. Bermula dari seseorang yang tiada apa-apa sehingga menjadi seseorang yang aktif dalam usaha mengajak dan menyeru belia untuk memahami Islam dan matlamat hidup yang jelas. Anugerah ini ingin saya kongsikan kepada seluruh pimpinan PEMBINA di setiap cawangan dan ahli-ahli PEMBINA yang lain. Semoga dapat meningkatkan semangat dan amal kita dalam melahirkan seramai mungkin barisan pelapis kepimpinan muda yang berwibawa dan mampu mengetuai arus perubahan khususnya bagi golongan belia Islam di Malaysia. Doakan kita semua terus menerus dikekalkan dalam kebaikan. Mari teruskan beramal dan semoga ikhlas menghiasi setiap penjuru amal kita.”
-Muhammad Hafiz Abdul Rahim
Anugerah Khas (Ketua Beliawanis)
“Anugerah daripada manusia merupakan penghargaan atas beberapa perkara yang tercapai yang bersifat kepuasan sementara. Masih banyak perlu diperbaiki. Namun, Alhamdulillah atas segalanya. Kebanggaan sebenar hanya milik Allah, bukan kita. Hakikat kepuasan abadai hanyalah bila mana kita berjaya mendapat anugerah tertinggi daripada Allah S.W.T. Setinggi-tinggi anugerah jika kita berjaya menjadi calon syurga yang pertama yang dilihat-Nya nanti dalam jutaan manusia di Padang Mahsyar. Kemudian, anugerah yang tidak terhingga setelah masuk syurga dan dapat merasai nikmat duduk bersebelahan dengan kekasih Allah dan para sahabat yang dimuliakan. Anugerah yang tertinggi sekali ialah bila mana kita dapat mengecap nikmat melihat wajah Allah di syurga nanti. Berbahagialah mereka yang memilih menjadi ghuraba’. Teruskan melangkah dengan yakin dan tenang.”
-Shazwin Hassan
Cik Nurfarahin Mohd Sa’ari
Wartawan PEMBINA Pusat