BANGI, 22 Feb. – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) akan terus lantang dalam mempertahankan mahasiswa dan belia Islam daripada sebarang ancaman yang boleh meruntuhkan nilai Islam dalam diri mereka.
“Kita akan lebih lantang, menuding jari dan menamakan individu yang menjadi punca kecelaruan dan kesesatan dalam masyarakat seperti Dr. Farouk Musa, Zaid Ibrahim, Benz Ali, Anwar Ibrahim dan Wan Ji yang jelas mempromosikan liberalisma,” tegas Ustaz Ibrahim bin Mohd Hasan, Presiden PEMBINA.
Pada masa yang sama, pertubuhan-pertubuhan yang bergerak secara tersusun seperti Islamic Renaissance Front (IRF), Coalition of Malaysian Ngos (COMANGO), Sisters in Islam (SIS), Projek Dialog dan Institut Kajian Dasar (IKD) ini akan didedahkan.
“Kita tidak akan play safe semata-mata untuk mengelak daripada dilabel bermacam-macam,tetapi kita akan go head-to-head dengan ancaman-ancaman yang meruntuhkan Islam dalam kalangan mahasiswa dan belia,” tambahnya semasa ucapan dasar Presiden di Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaaan Kali Ke-7 (MATK7).
Hal ini kerana ancaman-ancaman yang meruntuhkan nilai Islam ini datang dalam pelbagai bentuk dan secara tersembunyi seperti Liberalisma, Syiah dan Kristianisasi.
“Lebih merisaukan, ancaman ini menyerang secara tersembunyi dalam bentuk normalisasi supaya umat Islam merasakan ianya bukanlah ancaman sehinggakan masyarakat tidak dapat melihat atau menghidu ancaman tersebut kerana menganggap ia tidak bertentangan dengan agama,” ujarnya lagi.
Rangka hala tuju lebih strategik.
Justeru itu, dalam mendepani ancaman-ancaman ini, PEMBINA telah merangka halatuju lebih strategik bagi tahun 2014 dengan berazam membangunkan mahasiswa dan belia Islam yang bukan sahaja soleh tetapi mampu menyumbang kepada Islam melalui Tajmik ala PEMBINA
“Bakat potensi dan aktivisma ahli akan diasah melalui Tajmik ala PEMBINA yang syumul dan seimbang yang merangkumi empat pakej iaitu tarbiyah, kepimpinan, rekreasi, dan bakti,” jelas beliau.
Kedua, hubungan jaringan strategik dengan badan kerajaan dan pertubuhan Islam yang lain seperti PEMBELA, MuslimUPRo, GabunganMahasisaw Islam SeMalaysia (GAMIS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), HaluanSiswa, dan pihak pentadbiran universiti IPT akan terus dibina.
“Kenapa jahiliyyah boleh bergandingan untuk menentang Islam tetapi kita umat Islam tidak mampu untuk bersatu berhadapan dengan musuh yang satu,” ulas Ustaz Ibrahim.
Seterusnya, PEMBINA akan terus giat melibatkan diri untuk bertanding dalam politik kampus untuk menzahirkan agenda yang ingin dicapai.
Tambahnya lagi, isu-isu berkenaan belia seperti isuekonomi, sosial, dan politik sebagai kesinambungan kepada amal mahasiswa sekarang akan muladibincangkan.
Oleh itu, Ustaz Ibrahim mengajak mahasiswa dan belia Islam untuk sedar dan bangkit daripada tidur yang lena dan keluar dari ‘zonselesa’ demi masa depan Islam di Malaysia.
Rizal bin ZulkifliPoh
Wartawan PEMBINA Pusat
Pingback: PEMBINA lantang pertahan mahasiswa dan belia Islam dari ancaman | RZP