BANGI, 31 Julai- Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Idris Jusoh yang telah dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi yang baru.
Menurut Presiden PEMBINA, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan, pelantikan ini memberi ruang yang lebih luas kepada Dato’ Seri Idris untuk memperkemas sistem pendidikan tinggi negara.
Dato’ Seri Idris Jusoh sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan II.
“PEMBINA yakin bahawa pelantikan Dato’ Seri Idris mampu untuk meneruskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah berjaya mencapai 5 inisiatif utama pada tahun 2014,” kata Ustaz Ibrahim.
Disamping itu juga, Ustaz Ibrahim melihat mahasiswa merupakan golongan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara.
“Justeru itu polisi dan sistem pendidikan yang digubal adalah amat penting dalam membentuk mahasiswa pelapis kepimpinan negara.
“Oleh itu, PEMBINA menyeru agar barisan kabinet baru terus mengutamakan agenda pendidikan negara dalam pembentukan modal insan dan PEMBINA bersedia menyumbang dalam memastikan kelestarian pendidikan yang kompeten dan berkesan,” ujarnya.