
Setiap tahun menjelang Majlis Konvokesyen UIAM, Concert Humanity Night menjadi acara tradisi yang dianjurkan oleh MPP UIAM. Objektif utamanya adalah untuk menyambut para graduan yang telah menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing di samping mengumpul derma bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.
Pada kali ini, penganjur telah mengambil keputusan untuk menjemput seorang penyayi rap iaitu MK K-clique sebagai salah seorang daripada barisan artis jemputan pada konsert itu nanti. Jemputan beliau mungkin hasil daripada tinjauan atas talian yang dilakukan oleh penganjur. Namun, kami di PEMBINA IIUM Chapter menyeru agar jemputan beliau diperhalusi kerana beberapa faktor.
Pertama, melihat kepada lirik-lirik lagu beliau, terdapat unsur-unsur lucah dan tidak bersesuaian dengan nilai-nilai akhlak dalam Islam. Jika lirik-lirik ini yang ingin diperdengarkan kepada mahasiswa sudah pasti sedikit sebanyak akan menjadi siulan di bibir yang akan memberi kesan buruk kepada jiwa-jiwa mereka. Imam Al-Ghazali menulis menerusi Ihya’ Ulumuddin membahaskan secara lengkap perihal bahaya lidah ini bagi menunjukkan peri pentingnya menjaga lidah dan bahaya yang boleh menimpa seseorang hanya dengan lidah ini. Dalam satu riwayat hadis daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW Baginda bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka jelaslah, dalam setiap perkataan yang dituturkan perlu dijaga termasuklah lagu-lagu yang dinyayikan.
Kedua, akan berlaku normalisasi dalam menjemput penyanyi-penyanyi seperti ini yang akan membawa kepada hiburan yang keterlaluan. Jika kita hanya melihat populariti tanpa melihat kepada nilai dalam memilih hiburan, maka hiburan itu gagal memberi ketenangan jiwa dan kedamaian dalam sanubari kita, malah ia telah mencetuskan masalah dan kecelaruan di dalam kehidupan. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-An’am yang bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakah kamu mahu berfikir”. Ayat ini jelas menyeru kepada kita untuk berfikir tentang matlamat akhir kehidupan dan bukan mengambil jalan pintas mencapai kebahagian di dunia dengan hiburan yang melalaikan.
Ingin kami tegaskan, tidaklah kami menentang hiburan atau hak kebebasasan mahasiswa memilih kerana itu merupakan fitrah manusia yang inginkan hiburan bagi menghilangkan tekanan dan sebagainya. Tetapi, bentuk-bentuk hiburan ini haruslah dibatasi dengan syariat dan akhlak Islam supaya tidak membawa kepada kerosakan nilai sebagai seorang mahasiswa. Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah meyakini bahawa cara hidup Islam adalah yang amat sempurna dan pasti dapat memenuhi kesemua aspek keperluan hidup manusia. Syariat Islam diturunkan bukanlah untuk menyekat kebebasan manusia tetapi ia bertujuan untuk mengawal dan mengatur keperluan manusia untuk menjamin kesejahteran dan kebahagiaan hidup yang berpanjangan hingga ke akhirat.
Kesimpulannya, saranan dari kami di PEMBINA UIAM, mengajak seluruh komuniti UIAM khususnya mahasiswa untuk melihat kembali dan menghayati salah satu misi UIAM yang terkandung dalam perlembangaan universiti iaitu “untuk melahirkan seorang intelektual, professional dan ilmuan yang berkualiti dengan mengintegrasikan nilai Iman, ilmu dan akhlak untuk memupuk kualiti kecemerlangan yang holistik yang dipenuhi dengan nilai moral dan spiritual Islam, dalam proses pembelanjaraan, pengajaran, kajian, konsultansi, terbitan, pentadbiran dan kehidupan mahasiswa”. Hal ini selari dengan salah satu teras utama yang terkandung dalam gagasan Kanvas Mahasiswa 2030 yang dibawa oleh PEMBINA iaitu Islam akar mahasiswa. Oleh itu, kami menyeru seluruh mahasiswa untuk berfikir kembali, adakah dengan hiburan yang berlebihan dapat memaknai Islam sebagai cara hidup. Wallahu a’lam.
Muhammad Hilmi bin Muhammad Rosli
Ketua Kluster Intelek dan Akademik,
Persatuan Belia Islam Nasional UIAM.