BANGI, 28 Julai – “Kejayaan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada sejauhmana mereka memahami agenda organisasi tersebut” kata Presiden PEMBINA, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz kepada semua pimpinan PEMBINA yang berhimpun di Bangi bagi menjayakan program PIMPIN 2.0 bagi tahun 2014.
Menurut beliau, para pimpinan dan ahli PEMBINA sepatutnya bergerak lebih laju dan berkeyakinan tinggi kerana agenda utama PEMBINA ialah menegakkan Islam berdasarkan nas Al-Quran dan syarak. Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan hakikat bahawa kejayaan sesebuah ideologi itu tidak mengira samada ia benar atau batil akan berjaya bergantung kepada sejauhmana pengikutnya yakin dan berusaha untuk menjayakan agenda mereka.
Hari ini, golongan yang membawa ideologi yang tidak jelas serta terpesong dari landasan aqidah seperti sosialisme, liberalisme dan humanisme berusaha keras menyebarkan fahaman mereka dan berjaya meracuni pemikiran ummat Islam di Malaysia. Jika kita yang membawa agenda kebenaran tidak bersaing dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa agenda ini nescaya agenda kebatilan akan menang dan menyesatkan pemikiran masyarakat.
“Kejayaan tidak datang hanya apabila pendukung Islam cukup dengan ibadah khusus dan berdoa mengharapkan turunkan pertolongan Allah. Namun demikian keimanan terhadap fikrah yang kita yakini haruslah diiringi dengan usaha dan penyusunan strategi yang tersusun. Ditambah dengan komitmen dan kesungguhan setiap yang terlibat menjayakannya” Ujarnya lagi.
Antara perkara yang dititikberatkan oleh Ustaz Ibrahim adalah kepentingan untuk mempelajari ilmu kepimpinan bagi memperkasakan organisasi untuk menempuh cabaran yang lebih besar pada masa akan datang. Ilmu kepimpinan ini penting bagi memastikan organisasi yang memikul agenda ini terus sihat dan bernafas panjang kerana cabaran dan halangan dalam menegakkan agenda Islam bukan suatu perkara yang mudah.
Program kali ini telah mengumpulkan seramai 60 orang barisan kepimpinan PEMBINA di peringkat pusat dan cawangan bagi menilai semula prestasi masing-masing berakhir suku tahun ketiga 2014. Secara umum PEMBINA dilihat semakin berkembang dengan penambahan beberapa biro dibawahnya dan juga mula mengorak langkah bagi memfokuskan kepada pembangunan jatidiri belia selain mahasiswa. Program bermula 9.00 pagi dan berakhir 6.00 petang pada hari yang sama.