Kolumnis | Cinta, Pengorbanan dan Aidiladha

Allahumma solli ala sayyidina Muhammad. Allah itu Maha Penyayang, Maha Mengetahui. Perintah TUHAN kepada Nabi Ibrahim a.s untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail bukan bermaksud TUHAN mahu Ibrahim membunuh anaknya itu. Tidak! Sebaliknya Nabi Ismail digantikan dengan haiwan sebenar semasa korban itu hampir berlaku. Lihatlah! Allah mahu Nabi Ibrahim a.s memperlihatkan cintanya kepada Allah mengatasi segala keutamaan dan perasaan. Subhanallah! Lalu terukir sejarah ini sepanjang tahun bagi seluruh umat Islam mengambil ibrahnya.

Nabi Ibrahim a.s menyayangi anaknya yakni Nabi Ismail. Cinta yang mendalam, kasih seorang bapa kepada anaknya tidak dapat dipertikaikan lagi. Apatah lagi mereka sudah berpisah dalam tempoh masa yang lama sehinggalah dapat bertemu kembali. Kemudian diperintahkan oleh Allah untuk mengorbankan buah hatinya itu pula. Satu keperitan buat seorang ayah bukan? Begitu menggoyahkan jiwa si bapa yang amat kasihkan anaknya.

Lihatlah! Di sini teruji nilai utama yang ada pada Nabi Ibrahim a.s. Apakah kasih Nabi Ibrahim kepada Nabi Ibrahim menggoyahkan kasihnya kepada Allah ? Manakah yang lebih harus diutamakan ?

Tetapi,dalam kisah ini,Nabi Ibrahim telah berjaya membuktikan bahawa cintanya kepada Allah adalah cinta yang tertinggi.Tiada cinta yang lebih tinggi selain cintanya kepada Pencipta.Tekadnya Nabi Ibrahim a.s melaksanakan suruhan TUHAN tersebut,membuktikan betapa tulus dan jernih nya kecintaan Nabi Ibrahim pada Pencipta nya sehingga sanggup mengorbankan anak sendiri sekali pun.

Teman, inilah simbol cinta yang tertinggi! Sekaligus membawa makna cinta yang hakiki. Cinta yang tulus kepada Ilahi dengan sebenar-benar cinta yang sememangnya akan membawa seseorang itu ke satu dimensi yang mana tiada yang lebih penting daripada Allah sebagai tujuan utama. Demi membuktikan lafaz kesaksian Laa Ilaaha Illallah!

Seharusnya kita menjiwai hakikat ungkapan ini, “Aku beriman kepada Allah” malah “Aku mencintai Allah”. Kedua-duanya itu bukanlah lafaz yang sembarangan! Bukan sekadar lafaz yang hanya berlegar di mulut namun tidak benar-benar diturut. Buktikan! Ya, pengorbanan diperlukan bagi membuktikan keutamaan kita hanya Allah! Hatta terpaksa mengorbankan jiwa dan raga sekalipun.

Bukti yang cukup jelas juga telah diperlihatkan oleh rakyat Gaza. Mereka menunjukkan kekuatan serta kecekalan bagi sebahagian kecil manusia yang berjiwa besar melawan musuh Islam! Bahkan mereka banyak mengajar kita erti kemuliaan sebuah perjuangan itu, bukan hanya pada retorik nan bermain kata, tetapi sejarah itu bermula dengan kesediaan mengorbankan harta dan jiwa. Rumah mereka dibom. Keluarga mereka ditinggalkan kerana perjuangan untuk melawan perampas dunia yang semakin hari semakin menggila. Dan ini semua dilakukan demi sebuah kecintaan kepada Ilahi yakni cinta yang tertinggi.

Ya, masyarakat dunia mungkin kehairanan dengan kecekalan mereka ini. Sanggup bermati- matian, bersusah payah malah mengorbankan nyawa demi mempertahankan perjuangan itu.

Tetapi, dari situlah mereka merasai kelazatan iman dalam perjuangan demi Allah! Juga indahnya tautan ukhuwah yang dibina bersama sahabat seperjuangan yang mungkin tidak dapat difahami oleh orang lain. Biasanya ukhuwah yang kita definisikan ialah hanya untuk perkara yang manis dan ringan sahaja, namun hakikatnya pengorbanan dalam perjuangan membuahkan ukhuwah yang begitu mendarah daging kerana kecintaan kepada Allah S.W.T. Allahu akhbar!

Walaubagaimanapun, amat besar jurangnya antara berjuang dan bercerita tentang perjuangan. Apabila tidak sama, maka kelazatan nikmat itu semestinya berlainan antara yang berjuang menyampaikan risalah kebenaran dengan mereka yang bercerita secara santai dalam keadaaan yang selesa. Isu perjuangan dalam kondisi yang berbeza.

Jadi, bersempena sambutan Aidiladha pada kali ini yang amat berkait rapat dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail seharusnya mendatangkan persoalan- persoalan penting mengenai kehidupan kepada kita. Persoalan yang harus kita fikirkan secara serius.

Apakah perjuangan yang telah aku lakukan demi menyampaikan risalah kebenaran yang aku yakini ini ?

Apakah aku sanggup mengutamakan apa yang Allah pentingkan daripada keutamaan aku sendiri ?

Persoalan-persoalan ini demi mengambil ibrah daripada kisah Nabi Ibrahim yang telah Allah catatkan dalam kitab Nya itu yang seharusnya kita zahirkan dengan tindakan.

Kerana kalimah syahadah yang sebenarnya itulah yang menentukan keimanan sesorang itu. Keimanan yang membuahkan cinta dan bukannya terlahir hanya melalui kata semata.

Dan iman bukanlah apa yang sekadar bermain di mulut. Tetapi harus dibuktikan dengan amal. Demi membuktikan sebuah cinta yang hakiki dan demi kesetiaan kepada kebenaran.

Yang mana kesemuanya itu memerlukan pengorbanan dalam hidup ini. Bagi sebuah perjuangan mengangkat kemuliaan.

Salam Aidiladha !

Ahmad Fitri bin Ahmad Daud

Aktivis PEMBINA UM, Kuala Lumpur

10443093_745307245506326_240817580490612130_o

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top