MELATI DAP BUKTI KECELARUAN PEMUDA ISLAM

Saya amat bersimpati dengan pilihan yang dilakukan oleh gadis berpurdah, Melati Rahim untuk memperjuangkan Islam melalui DAP. Simpati saya itu amatlah tiada nilai kerana pada hakikatnya inilah bukti yang amat besar bagi aktivis Islam betapa celarunya pemuda Islam zaman kini. Semangat pemuda islam untuk berjuang kadang diambil kesempatan oleh pihak yang berkepentingan. Bukanlah ingin mencantas kebangkitan ini. Namun, kebangkitan pemuda Islam merupakan satu arus kemajuan yang amat harus dibimbing agar ledakan semangat muda mereka itu tidak kembali mempalit kesan buruk pada Islam itu sendiri.

 Melati-Rahim

Keadilan DAP lebih dekat dengan Islam? Saya terlalu ingin mendengar dari Melati sendiri bukti-bukti yang menunjukkan keadilan DAP itu lebih dekat dengan Islam. Semestinya anak muda berpelajaran seperti beliau tidak akan bercakap kosong. Cuma saya agak risau kerana melihat aktiviti yang sering dilakukan beliau seperti menghadiri perbincangan di Lepak Maqasid juga menghadam buku-buku Institut Kajian Dasar yang menjadi platform penyebaran fahaman liberal , menyebabkan kecelaruan itu sendiri telah menjarah dalam ufuk pemikiran gadis Islam tersebut. Dan itu menjadi jawapan yang amat kukuh mengapa Melati dengan rela diri memilih parti demokratik sosialis seperti DAP sebagai wadah perjuangan Islamnya. Lalu tidak keterlaluan untuk kita nyatakan bahawa Melati DAP merupakan bukti kecelaruan pemuda Islam zaman ini.

Saya akan bantu untuk menjawap soalan di atas. Benarkah keadilan DAP lebih dekat dengan Islam? Salah sama sekali. Hakikatnya DAP sering mempamerkan sikap dan pendirian mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sekular supaya undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan.

Dalam Deklarasi Setapak 1967 sebagai contoh, para pemimpin DAP telah berjanji untuk menegakkan objektif berikut sebagai teras perjuangan DAP:

“The DAP is irrevocably committed to the ideal of a free, democratic and socialist Malaysia, based on the principle of racial equality, and social and economic justice, and founded on the institutions of parliamentary democracy. We believe that it is possible to mobilise the support of the big majority of the multi-racial people of Malaysia in the persuit of this aim, and we shall regard it as our primary objective to mobilise such support.”

Dengan deklarasi tersebut, pemimpin DAP telah berikrar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara demokratik sosialis. Perlembagaan DAP telah meletakkan dalam matlamat pertamanya untuk menubuhkan konsep demokrasi yang berlandaskan nilai demokrasi sosialis di Malaysia.

Seterusnya, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dalam twitternya pernah meremehkan protes besar-besaran terhadap filem Innocence of Muslim yang menghina Rasulullah saw. Tweetnya berbunyi:

“Khairy wants muslim protest against Sam Bacile. For Islam or for his political gains? Are muslims wasting too much time and energy on this?” (terjemahan: “Khairy mahu umat Islam mengadakan protes terhadap Sam Bacile. Untuk Islam atau untuk kepentingan politiknya? Adakah umat islam membuang terlalu banyak masa dan tenaga untuk perkara ini?”)

Di sini pemimpin DAP cuba mempersoal tindakan umat Islam yang menyatakan bantahan terhadap penghinaan kepada Nabi saw. Dan adakah ini yang dikatakan keadilan DAP lebih dekat dengan Islam?

Ya, si gadis Melati mungkin akan berkata itu mungkin kesalahfahaman individu tertentu dalam DAP dan beliau akan tetap dengan keputusan untuk bersama DAP demi memperjuang Islam. Apa pula kata si gadis Melati jika melihat bahawa pimpinan tertinggi DAP sendiri mempamerkan pendirian yang amat jauh dari keadilan Islam yang dicari.

Lim Guan Eng memberi kata dua kepada Pakatan Rakyat, kepimpinan DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat secara en masse (besar-besaran) jika hudud dimasukkan di dalam buku Jingga/ Rangka Kerja Polisi bersama Pakatan Rakyat. Hudud bukan agenda Pakatan Rakyat kata Lim Guan Eng. DAP menggunakan cara ugutan dan tidak bersetuju lansung tentang agenda-agenda yang berkaitan Islam walaupun terhadap rakan pakatan dan kerjasama politik mereka sendiri.

Lim Kit Siang juga pernah menulis dalam blognya pada 22 Ogos 2012, HUDUD DAN NEGARA ISLAM BUKANLAH POLISI DALAM PAKATAN RAKYAT. Lim Kit Siang menyatakan tiada kata sepakat dalam Pakatan Pembangkang untuk melaksanakan Hudud jika mereka berjaya memerintah.

Mendiang Karpal Singh pernah membuat kenyataan yang mengelirukan dengan mengatakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas memutuskan Malaysia sebagai negara sekular dalam kes Che’ Omar Che’ Soh pada tahun 1988. Hakikatnya Tun Salleh Abas dalam kes tersebut hanya berpendapat bahawa undang-undang yang dilaksanajan di negara ini pada waktu itu, tahun 1988 adalah undang-undang sekular. Tun Salleh Abas tidak sama sekali memutuskan Malaysia negara sekular.

Ini membuktikan DAP menerusi pemimpin tertingginya teguh dengan dasar untuk menolak negara Islam dan hukum hudud malah DAP berterusan mempamerkan sikap dan pendirian mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan berusaha supaya undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan.

Dan kita masih mahu menyatakan keadilan DAP lebih dekat dengan Islam?

Melihat kepada matlamat keempat dalam perlembagaan DAP menyatakan:
“Mengiktiraf kebebasan agama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi”.

Matlamat ini menjadi teras perjuangan DAP. Lihatlah betapa perlembagaan DAP ini akan mengugat Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin Islam sebagai agama Persekutuan.

Malah perhatikan sekarang ini sifat DAP apabila berhadapan dengan isu kristianisasi, kalimah Allah, kes-kes murtad. Malah pembongkaran agenda sulit DAP dalam memurtadkan umat Islam seramai mungkin dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara sekular ataupun negara Kristian kini bukan lagi rahsia.

Tunku Abdul Aziz juga pernah menyuarakan sifat jalang DAP, “DAP sering memperlihatkan sikap rasis dalam banyak perkara terutamanya perkara berkaitan agama dan kepercayaan. Janganlah kita terpengaruh dengan janji manis mereka yang kononnya turut berjuang untuk orang Melayu.”

Mungkin cukup setakat ini pembongkaran parti demokratik sosialis DAP. Walau bagaimanapun saya akan tetap ternanti-nanti jawapan dari gadis Melayu Islam bernama Melati tersebut akan hujah beliau yang menyatakan keadilan DAP lebih dekat dengan Islam. Saya akan tutup dengan pengakuan Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz yang pernah menyertai parti tersebut selama empat tahun:

“Mereka hanya berminat dengan kemelayuan saya. Saya hanyalah dianggap sebagai simbol bagi masyarakat Melayu manakala Karpal Singh simbol untuk kaum India. Saya dan Karpal sebenarnya tidak mempunyai sebarang peranan dalam DAP walaupun kami memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi dan Pengerusi DAP. Mereka berminat untuk mempergunakan saya untuk memancing undi orang Melayu. Secara hakikatnya, saya sendiri tidak pasti apakah peranan saya selain menjadi alat untuk agenda tersembunyi mereka. Sama keadaannya apabila saya berminat untuk membantu DAP membawa masuk orang Melayu pada awal kehadiran saya dalam DAP, mereka seolah-olah sengaja melengah-lengahkannya. Mereka sebenarnya tidak berminat untuk membantu saya memperjuangkan orang Melayu. Cukuplah saya sebagai simbol untuk terus mendapat sokongan tanpa saya melakukan apa-apa. Kerana itulah, saya telah dua kali membuat cubaan keluar daripada parti tersebut. Kali ketiga, keputusan saya sudah muktamad.”

 

Platform-platform fahaman liberal mahupun sosialis yang terdapat di Malaysia telah melahirkan individu muslim yang celaru identiti seperti Melati. Dahsyatnya serangan pemikiran kini sehingga mampu menarik nafsu pemuda Islam mengangkat panji perjuangan bersama golongan yang pada hakikatnya menentang Islam akibat terliur dengan laungan keadilan, kebebasan, kuasa rakyat dan sebagainya.

 Cukuplah Melati DAP menjadi bukti kecelaruan pemuda Islam zaman kini. Kita bangkit dan terus mengunjurkan islam yang sebenar sebagai penyelesaian terbaik dalam segala aspek kehidupan umat. Kebangkitan pemuda Islam bukan perlu dicantas, tetapi perlu dibimbing. Agar tidak lahir lagi muslim celaru seperti Melati DAP.

Sharifah Abdul Samad.

Ahli Unit Kajian PEMBINA.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top