Kenyataan Rasmi: PEMBINA nafi fitnah merampas kepimpinan PMI UM

Pada Jumaat, 23 Mei 2014, Muhammad Hafiz, Exco Dakwah Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) 13/14 telah mengeluarkan satu kenyataan tidak berasas yang telah disiarkan di Laman Facebook PMIUM mengaitkan PEMBINA dengan isu penyebaran ‘Kertas Cai’ yang bertulis “Haramkan PMIUM, PMIUM menyokong Islam Liberal, tolak liberalisme dan tolak PMIUM”. Dalam kenyataan tersebut, beliau juga membuat dakwaan bahawa PEMBINA akan cuba menggugat pengundian kepimpinan PMI dalam Mesyuarat Agung yang akan dijalankan pada tarikh yang sama.

Susulan itu, mahasiswakini.net telah menyiarkan satu artikel bertarikh 23 Mei 2014 yang cuba membenarkan tuduhan ke atas PEMBINA tersebut.

tuduhan_pmium

Berikut adalah pendirian Majlis Mahasiswa PEMBINA:

1. Majlis Mahasiswa PEMBINA menafikan fitnah dan tuduhan yang telah dilemparkan menerusi laman Facebook PMIUM dan laman webmahasiswakini.net sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

2. Umum mengetahui PEMBINA adalah sebuah persatuan Islam yang begitu lantang menentang arus liberalisme yang menular di kalangan gerakan mahasiswa, ini tidak bermakna PEMBINA terdesak untuk mengambil pendekatan menyebarkan surat layang dan menggugat pengundian kepimpinan PMIUM tersebut. Kegagalan penulis mengemukakan sebarang bukti untuk mengaitkan PEMBINA dengan kedua-dua tuduhan adalah suatu tindakan yang tidak rasional.

3. PEMBINA menyeru gerakan-gerakan mahasiswa terutamanya gerakan mahasiswa Islam untuk menjauhi budaya fitnah-memfitnah di dalam aktivisme kita. Menyebarkan fitnah bukanlah sebahagian dari akhlak Islam, boleh menimbulkan permusuhan dan merupakan salah satu dosa besar di sisi Allah.

Firman Allah: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan.” (Surah Al-Baqarah: 191) Firmah Allah lagi: “Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh.” (Surah Al-Baqarah: 217)

4. PEMBINA menyeru seluruh gerakan mahasiswa untuk keluar dari kepompong politik kotor dan menyemai permusuhan. Marilah bersama-sama kita mengambil pengajaran dari perbalahan politik luar kampus yang hari ini menghakis keharmonian di kalangan umat Islam dan menghakis kedaulatan agama Islam dalam negara.

5. PEMBINA ingin menjelaskan peranan yang perlu dimainkan oleh golongan mahasiswa dalam membangun agama, bangsa dan negara adalah amat besar. Di bahu mahasiswa tergalas tanggungjawab membawa nafas baru bagi kepimpinan negara di masa akan datang. Seandainya budaya politik kotor ini telah diterapkan dari peringkat bawahan dan diteruskan, maka kesucian ‘suara mahasiswa’ atas nama aktivisme mahasiswa akan terus tercalar dan tidak mustahil tidak mendapat tempat di hati masyarakat.

6. PEMBINA pada hari ini telah didaftarkan di 18 buah IPT dan mempunyai 23 cawangan di seluruh Malaysia. Bagi seluruh pimpinan dan ahli, PEMBINA sendiri adalah wadah terbaik membawa agenda dan aspirasi PEMBINA. PEMBINA tidak percaya kepada pendekatan menyusup, menginfiltrasi, atau mengganggu-gugat pengundian di mesyuarat agung mana-mana persatuan lain. Pendekatan PEMBINA adalah menguatkan saf melalui program-program pembinaan dalaman dan membina jaringan hubungan yang baik semua pihak terutamanya dalam memainkan peranan secara positif untuk manfaat golongan mahasiswa di IPT.

7. Harapan PEMBINA agar saf kepimpinan PMIUM yang baru dilantik pada Mesyuarat Agung tahun ini tidak mengulangi kesilapan sebegini, membawa arus aktivisme mahasiswa yang bersih dan bersama-sama memainkan peranan dalam memartabatkan agenda Islam di Universiti Malaya.

Oleh;

Muhammad Uzair Izzat Amir,
Naib Presiden 1,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top