23 Mei, Bangi – Melalui Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia Matrikulasi, PEMBINA telah menganjurkan Matriculation Alumni Camp 2014 (MAC) pada 16-18 Mei 2014, secara serentak di Tandop Merbah Camp, Kedah bagi Zon Utara dan Kem Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan bagi Zon Selatan. MAC merupakan program tahunan yang menghimpunkan pelajar-pelajar lepasan pusat-pusat matrikulasi.
Ummi Kalsom Mohamad Khalid, Pengarah MAC 2014 Pusat berkata, MAC 2014 bukanlah kali pertama PEMBINA menganjurkan program seumpama ini. Sebelum ini, MAC dikenali sebagai ‘Mukhayyam Integrasi Matrikulasi Nasional’ (MUKMIN). Namun tahun ini namanya dijenamakan semula kepada ‘Matriculation Alumni Camp’ bagi menjelaskan objektif program sebagai tempat perhimpunan lepasan matrikulasi kepada peserta sekaligus menjadi medan untuk mereka saling berkenalan dan bertukar pandangan sebelum melangkah ke kampus IPT masing-masing.
Tambah beliau lagi, “objektif utama MAC adalah untuk memberi pendedahan dan mempersiapkan peserta akan suasana sebenar kampus dan membimbing mereka untuk menempuh cabaran yang bakal dihadapi kelak. Selain itu, ia diharapkan dapat membentuk sahsiah mahasiswa muslim yang mempunyai wawasan dalam agenda membangun agama, masyarakat dan negara. MAC 2014 juga berperanan sebagai salah satu wasilah memperkenalkan PEMBINA sebagai salah satu wadah aktivisme mahasiswa Islam dengan agenda yang jelas di kampus nanti.”
MAC Zon Selatan yang diadakan di Kem Gua Batu Maloi, Tampin, Negeri Sembilan telah disertai seramai 31 orang peserta yang rata-rata merupakan alumni kolej-kolej matrikulasi dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Di antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah Ekspedisi Menjelajah Gua Batu Maloi yang mengambil masa kira-kira 4 jam. Manakala MAC Zon Utara yang diadakan di Kem Tandop Merbah, Kedah telah menghimpunkan seramai 21 orang lepasan kolej matrikulasi di sekitar negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Selain daripada aktiviti lasak, program ini turut menampilkan tokoh-tokoh muda dari dalam dan luar negara berkongsi pengalaman mereka di kampus. Slot “Dunia Kampus: Realiti vs Fantasi” telah menjadi ruang interaksi dan perkongsian pengalaman secara langsung di antara peserta dan penyampai terutamanya dalam memberi tip-tip berguna kepada para peserta untuk menghadapi cabaran alam kampus. Sesi perkongsian yang diadakan dalam bentuk forum ini juga mendedahkan kepada para peserta asam garam hidup bergelar mahasiswa dan mahasiswi.
Slot ‘Pilihan Hatiku’ pula telah menjadi ruang pendedahan dan panduan kepada para peserta tentang bagaimana memilih kursus-kursus yang ditawarkan di IPTA dan IPTS, merangkumi aspek pengajian dan peluang-peluang biasiswa. Melalui slot ini, para peserta mempunyai gambaran yang lebih jelas dalam membuat keputusan memilih serta menentukan kursus pengajian yang diminati.
Penganjur MAC di kedua-dua zon tidak ketinggalan mengambil peluang ini untuk memperkenalkan PEMBINA dengan lebih lanjut. Nurul Aizam Zaini, Pengerusi PEMBINA Cawangan Negeri Melaka telah dijemput ke MAC Zon Selatan, manakala Mohd Hafiz Abdul Rahim, Pengerusi PEMBINA Cawangan Negeri Perlis telah dijemput ke MAC Zon Utara.
PEMBINA berharap dengan penganjuran program seumpama ini dapat menarik lebih ramai lagi golongan mahasiswa dan belia untuk mengenali PEMBINA dengan lebih dekat, dan lebih dari itu memastikan bakal mahasiswa mempunyai persediaan rapi sebelum mengharungi alam kampus.