Bagaimana hendak dimulakan bicara ini. Bercampur baur perasaan yang satu-satunya menjengah di benak jiwa saya sebagai seorang wanita. Mungkin tepat sekali jikalau saya mulakan bicara ini dengan satu kalimah. Anak. Ya, anak-anak adalah anugerah Ilahi juga pelengkap seri sebuah ikatan perkahwinan yang suci. Selayaknya seorang ibu dan ayah merasa bangga dengan kelahiran cahaya mata serta pewaris keturunan mereka. Maka seharusnya juga anak yang lahir ke dunia dengan izin Tuhan itu mendapat belaian dan didikan yang sewajarnya.
Hati insani mana yang tidak tersentuh tatkala mendengar kisah-kisah tragis pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak serta pengabaian didikan dan jagaan anak-anak? Terlampau beratkah isu ini untuk saya bentangkan di hadapan belia, pemuda-pemudi sekalian? Rata-rata yang membaca tulisan ini pastinya daripada golongan mahasiswa juga mahasiswi berpandangan jauh serta berwawasan tinggi. Oleh itu, tidak salah jika saya mengandaikan kalian juga amat perihatin mengenai isu yang melanda belia hari ini.
Di sini, saya tidak mahu menafikan peri pentingnya kita sebagai mahasiswa menguasai isu-isu gergasi yang berputar di sekeliling panorama kita hari ini seperti isu ekonomi yang melibatkan TPPA dan 1MDB, konflik antarabangsa yang mengheret kuasa besar Rusia dan Turki, juga isu pertelingkahan politik negara di antara pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Namun, posisi kita sebagai sebahagian daripada komuniti masyarakat terutamanya sebuah masyarakat Islam di negara ini menuntut kita untuk turut sama meneliti isu kehancuran identiti dan jati diri belia Islam khususnya di negara ini yang mana menurut saya, ia jauh lebih menggerunkan daripada isu-isu yang lainnya.
Manakan tidak, pada tahun ini sahaja, sehingga bulan Ogos, sebanyak 78 kes pembuangan bayi telah direkodkan. Angka ini menunjukkan kepada kita betapa masyarakat pada hari ini seolah-olah telah kembali ke zaman jahiliyah arab dahulu di mana anak perempuan yang lahir ditanam hidup-hidup. Apa sebabnya anak-anak yang lahir ke dunia dengan sifatnya yang suci daripada dosa dibuang, dilempar dan dibiar kesepian hingga menjadi gonggongan anjing liar? Pastinya bagi menutup aib dan kesalahan insan yang menjadi asbab lahirnya ia ke dunia.
Saudara dan saudari, mari kita lihat pula angka anak-anak tidak sah taraf yang lahir khususnya di Malaysia. Seperti yang telah direkodkan pada tahun 2009 jumlah anak tidak sah taraf ialah seramai 52,378 dan meningkat kepada 52,982 orang pada 2010, 53,788 orang 2011 serta 58,715 orang pada 2012. Angka ini hanyalah angka yang direkodkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan tidak termasuk anak-anak tidak sah taraf yang lahir tanpa didaftarkan dan direkodkan kelahirannya. Jelas, ia satu angka yang cukup besar bagi membuka mata hati kita sebagai manusia.
Oleh kerana itu, isu ini bukannya isu picisan bahkan ia sering menjadi topik perbincangan hangat terutama oleh golongan mahasiswi. Saya tujukan ucapan tahniah buat mereka yang terus menerus tanpa lelah cuba mencari solusi kepada permasalahan ini. Hakikatnya, perbincangan yang tidak berkesudahan ini tetap gagal membuahkan hasil memberangsangkan dalam menangani isu pengabaian hak anak-anak, secara khususnya isu pembuangan bayi dan kelahiran anak tidak sah taraf. Beberapa usaha telah diaplikasikan untuk membendung masalah ini seperti ‘baby hatch’ yang dilaksanakan di beberapa buah hospital KPJ oleh badan bukan kerajaan (NGO) OrphanCare. Namun masih tiada bukti menunjukkan usaha ini berkesan bagi membendung permasalahan ini.
Akhirnya, kita perlu kembali kepada isu pokok yang berakar umbi daripada keruntuhan akhlak dan moral belia hari ini. Ini merupakan isu yang tidak pernah luput ditelan zaman sehingga hari ini. Peningkatan gejala-gejala sumbang seperti budaya berparti, ‘clubbing’, menghisap ganja dan minum arak amat dekat dengan belia. Malu untuk saya nyatakan, mereka adalah belia Melayu Islam! Melalui statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kaum yang menjuarai kes pembuangan bayi di Malaysia adalah kaum Melayu. Mungkin juga kerana majoriti penduduk Malaysia ini Melayu sehingga meningkatkan statistik bagi kaum Melayu yang terlibat dalam gejala ini. Tetapi ia tetap tidak boleh dipandang enteng.
Beberapa kali, saya menyaksikan di hadapan mata saya sendiri, sekumpulan mahasiswi keluar lewat malam dari kawasan universiti dengan pakaian dan penampilan yang kurang senonoh (‘freehair’) serta mencurigakan. Tidak kurang juga adegan-adegan songsang pasangan lelaki dan perempuan yang saya boleh pastikan belum ada apa-apa ikatan antara mereka yang boleh menghalalkan perbuatan berkenaan. Saya juga pasti bukan hanya di institusi pengajian tinggi awam yang saya berada kini boleh ditemui golongan-golongan ini. Ramai lagi di luar sana yang mendakwa mereka golongan cerdik pandai, juga intelek, namun rupanya kurang cerdik mendidik akal dan nafsu.
Saya ingin kembali kepada naluri dan fitrah manusia yang sentiasa gemarkan kepada kecantikan, keindahan dan kebaikan. Apa nilainya sebuah kehidupan andai kita sendiri yang memusnahkan dan memberinya warna hitam kekotoran? Jika mahu dibincangkan di sini mengenai cara-cara menangani isu ini, pasti tidak akan cukup masa dan tinta. Cukuplah tulisan ini menjadi satu cetusan kepada setiap yang membaca. Mari kita amati firman Allah yang bermaksud,
“Dan tidaklah kehidupan di dunia ini melainkan senda-gurau dan permainan belaka dan sesungguhnya perumahan akhirat adalah kehidupan yang sebenarnya, jikalau mereka mengetahui.” (Al-Ankabut: 64)
Kehidupan dunia adalah ladang akhirat. Saya tidak menyeru supaya kita meninggalkan segala kepentingan dunia dan hanya berfikir mengenai kehidupan akhirat semata. Ayat ini sudah cukup untuk menjelaskan kepada kita bahawa kehidupan akhirat jauh lebih penting dan segala yang membawa kepada kebaikan di akhirat perlu diberi perhatian sungguh-sungguh. Ia juga menuntut kita supaya sentiasa menjaga nilai-nilai keperibadian hidup di dunia dan sama sekali tidak melampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh syara’. Neraca keseimbangan di antara kehidupan dunia dan akhirat pula perlu sentiasa di titik beratkan supaya kita tidak tergelincir di dalam mengharungi kehidupan dunia yang sementara sifatnya.
Berpijaklah di bumi yang nyata. Dunia ini bakal tiba ke penghujungnya. Generasi inilah yang nantinya menggegar kembali dunia dengan khabar kegemilangan Islam dan umatnya. Jika tampaknya hari ini generasi kita mundur peribadi dan mindanya, maka islam juga bakal terus mundur dan tidak mampu meneruskan legasi kegemilangannya suatu ketika dahulu. Suatu yang pasti, dunia ini akan kembali harmoni di tangan umat Islam. Kalau bukan sekarang masanya untuk bertindak melakukan perubahan dan pembaikan, bila lagi?
Rujukan:
- AL-Quran
- Tafsir Fi Zilal al-Quran
- Berita Bernama
- http://www.utusan.com.my/
- http://www.jkm.gov.my/
Siti Nabiha
Peserta Akademi Tokoh Beliawanis