2016: Tahun Kebangkitan Pemuda Hebat!

photo_2016-01-03_10-13-12

Pejam celik pejam celik, tanpa disedari kita sudahpun berada di alam 2016. Sama ada kita merelakannya ataupun tidak, itulah hakikatnya. Masa yang kita lalui, tidak pernah menunggu kita. Andai kita leka, Sedarlah bahawa kita tergolong dalam kalangan mereka yang kerugian!

Cuaca tetap menunjukkan wajahnya yang sama. Kaki tetap melangkah dibumi yang sama. Namun, apa yang membezakan siapa kita antara semalam dan hari ini adalah kejayaan kita untuk melakukan perubahan pada diri kita sendiri.

Ingatlah firman Allah dari surah ar Ra’du yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” 

Seruan buat pemuda, ayuh sama-sama kita bangkit! Sudah tiba masanya untuk kita laksanakan azam tahun baru yang kita janjikan sebelum ini! Bagi yang baru tersedar, masih belum terlambat untuk kita membuat refleksi diri demi satu anjakan paradigma pada diri. Ingat, pepatah ada mengatakan andai kita gagal untuk merancang, kita sebenarnya merancang untuk manjadi seorang yang gagal. Amat malangnya diri ini andai kita merelakan perkara sedemikian berlaku pada diri kita.

Bangkitlah wahai diri! Bangunlah wahai belia! Usah lagi kita terus berada ditakuk yang sama! Sia-sialah azam yang telah kita bina andai kita masih merelakan diri untuk hanyut dek arus hawa nafsu yang melalaikan kita! Bangunlah wahai PEMUDA PEMUDI ISLAM seluruhnya! Kita dilahirkan sebagai insan yang hebat. Usah kita lemah dengan hiburan & agenda-agenda musuh yang cuba menhancurkan kita!

Teringat pada bait-bait kata ustaz Ibrahim Hassan yang pernah mengingatkan para belia PEMBINA dalam ucapan dasarnya sebelum ini yang banyak menyentuh kebimbangan beliau terhadap ancaman – ancaman terhadap agama dan Negara sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa seperti ‘foreign funding’ ataupun sebagai usaha menjadikan Malaysia negara sekular, ‘semantic infiltration’ untuk mengubah makna negara Islam dan banyak lagi.

Beliau ada mengingatkan kita, dalam kita dihimpit dan disibukkan dengan pelbagai isu dan masalah, usah sekali-kali kita melupakan tanggungjawab besar kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Beliau juga menekan peri pentingnya para belia menanam azam dan memiliki agenda untuk melakukan perubahan hari esok. Kata beliau;

“ Satu impian yang cukup besar namun jika kita tidak impikan hari ini, mana mungkin kita mampu mengecapinya di kemudian hari. Biar cita-cita besar kerana dari situlah terbitnya jiwa besar dan usaha yang bersungguh-sungguh.

Islam adalah agama kita. Ia merupakan cara hidup sempurna dan ideal yang kita sama-sama inginkan. Islam bukan sahaja menjadi asas pegangan ibadah dan akhlaq kita, bahkan ia adalah asas pegangan aqidah dan pemikiran kita sebagai muslim. Islam juga harus menjadi asas syari’at dan perundangan masyarakat. Islam yang sama-sama kita maksudkan adalah Islam yang diambil langsung daripada sumbernya yang suci, iaitu Al-Quran yang merupakan wahyu Allah dan As-Sunnah yang merupakan ajaran Rasulullah SAW.”

Benarlah kata-kata beliau. Maka, seharusnya kita sedar bahawa kita sebenarnya mempunyai agenda dan matlamat yang lebih besar dan bermakna! Ingat! ISLAM memerlukan kita! Negara memerlukan kita!! Setiap daripada kita sangat bernilai dan amat memainkan peranan penting untuk mendokong matlamat Negara!  Sedarlah bahawa setiap diri kita adalah tidak ternilai harganya melebihi nilai sebutir permata dan tiada tolok bandingnya. Namun, andai kita memilih untuk terus terleka, kita sebenarnya memilih untuk menjadi insan yang berjiwa kerdil dan tiada bernilai buat seisi dunia.

Oleh

Noor Amirah Ahmad Azmi

Unit Kepimpinan PEMBINA Nilai.

Peserta Akademi Tokoh Beliawanis (ATB)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top