CERMINAN PEMUDA MASA KINI

 

Suatu masa dahulu, bumi Melaka terkenal sebagai pelabuhan entrepot dan pusat perdagangan antarabangsa. Duarte Barbosa dalam kalamnya mengatakan, “sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai dunia” persis seperti kata-kata Salahuddin al- Ayubi mengenai Palestin ketika pembukaan kota itu bagi kedua kalinya. Hebatnya bumi Melayu Melaka pada zaman itu.

Serentak dengan itu, sinar Islam menyuburkan lagi kegemilangan Melayu Melaka pada masa itu. Sultan Muzaffar Shah menjadikan Islam sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka. Undang-undang Islam dijadikan undang-undang utama dan dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka. Melaka juga menjadi pusat penyebaran dan pengajian Islam serta tempat pertemuan ulama dan pendakwah dari seluruh benua Islam.

Namun itu adalah masa silam. Zaman itu telah berlalu lebih 600 tahun yang lampau. Di manakah telah terlakarnya sejarah kegemilangan Melayu Islam itu? Sudah pasti di bumi ini. Ia bukan sebuah bumi asing bagi kita semua. Inilah bumi di mana tertumpahnya darah nenek moyang kita dan bakal anak-anak generasi kita.

Pilunya melihat umat Islam di bumi sendiri. Pelbagai kerosakan dan kefasadan menerjah ke ruang minda dan tingkah laku mereka. Ganjil sekali rasanya. Seolah tiada pegangan agama pun ya juga. Mereka berasa bebas dan terlepas daripada ikatan agama yang bagi mereka hanya membelenggu jiwa dan nafsu manusiawi.

Sungguh jelas pada hari ini, bagaimana tuntutan demi tuntutan diajukan. Undang-undang syariah dipersoalkan dan diperkecil pelaksanaannya. Kelompok-kelompok liberal laju mengatur langkah atas nama hak kebebasan yang pelbagai sehingga melanggar batasan syariah. Bermula dengan tuntutan IFC, Comango dan macam-macam lagi. Golongan Muslim Moderat seperti G25 yang turut menggelar diri mereka Melayu Islam professional pula sibuk dengan perjuangan ‘wasatiyah’ sehingga tidak mengambil kira hakikat sebenar pelaksanaan undang-undang syariah Islam.

Khlawat, LGBT. Ia adalah satu jenayah individu, lalu tidak pantas pesalahnya dikenakan tindakan dan hukuman seperti tertulis dalam peruntukan undang-undang syariah negara? Kesalahan ini adalah kesalahan individu yang hanya melibatkan individu tersebut dengan Allah, maka tiada hak bagi manusia lain menghukumi kelakuan mereka? Jangan salah fahami konotasi jenayah individu itu.

Akhbar baru-baru ini membongkarkan gejala vape yang semakin menjadi-jadi sehingga timbul satu kaedah yang mencampurkan cecair vape dengan ganja. Siapa kata penggunaan vape hanya sekadar pengganti rokok atau alat untuk menghentikan tabiat merokok? Bukankah jelas, ia hanya turutan nafsu semata?

Parlimen juga gempar setelah mendengar pembentangan daripada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, bahawa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan sebanyak 1,235 laman sesawang berunsur lucah telah disekat oleh suruhanyaya berkenaan, namun sebanyak 260 laman sesawang baru berunsur sama diwujudkan setiap hari.

Bukti jelas lagi bersuluh di depan mata. Anak-anak kita rosak dengan budaya kuning. Belia-belia kita merempit dan membonceng minah-minah rempit. Pemuda dan pemudi masa depan negara larut dalam keseronokan hedonisme dunia. Mereka ini siapa? Mereka Melayu Islam. Kita juga seperti mereka. Jika Islam sebenar tidak dikembalikan kepada mereka, nescaya goyahlah pimpinan Islam dan negara ini. Siapa yang bakal menerajui tanah air ini dengan gagasan-gagasan Islamnya? Siapa yang akan melonjakkan Islam sebagai agama tertinggi dan tiada yang setandingnya? Merekalah pemuda pemudi yang kita harapkan.

Kitalah cerminan pemuda masa kini. Sejauh mana kita cakna isu ummah? Sedalam mana kita telah menghayati sejarah kegemilangan Islam? Adakah kita telah bersungguh-sungguh untuk cuba menyelamatkan diri dan manusia sekeliling kita dari kemungkaran noda dunia? Atau selama ini kita juga menjadikan nafsu sebagai belahan jiwa dan menurutinya tanpa memberinya pedoman dan didikan.

Kita pasti tidak mahu terus menerus membiarkan umat ini tenggelam dalam kerosakan identiti dan jati diri. Di manakah relevensinya firman Allah, “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar…” jika kita hanya berdiam diri di celah-celah umat dan bangsa yang sedang tenat.

Pemuda dan pemudi khususnya mahasiswa di luar sana perlu menyedari setiap ancaman yang sedang menyerang pemikiran dan budaya dari pelbagai sudut. Jangan hanya gelojoh mengejar impian dan cita-cita sendiri serta membina kerjaya dan kesenangan peribadi hingga terlupa nilai Islami yang hakiki juga terlupa pada tuntutan memperbaiki diri dan insan sekeliling. Pilihan di tangan kita. Kitalah pencorak masa depan dunia.

 

Siti Nabiha

Peserta Akademi Tokoh Beliawanis

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top