JELAS di UM: Berjaya menarik lebih 300 orang peserta.

KUALA LUMPUR, 22 Nov. – Lebih 300 mahasiswa telah menyertai forum anjuran Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Kuala Lumpur (PEMBINA KL)  yang bertajuk Agenda Mahasiswa dalam Menangani Arus Liberalisme. PEMBINA KL telah memilih Universiti Malaysia sebagai lokasi program pada kali ini.

Forum ini mengupas pandangan mengenai ancaman liberalisme terhadap mahasiswa di Malaysia. Ancaman ini dikatakan masuk secara halus dan terancang  ke dalam negara tanpa disedari ramai. Program Jelajah Arus Siswa (JELAS) ini merupakan pasca program Himpunan Mahasiswa (HIMMAH) anjuran PEMBINA pusat yang telah berlangsung pada bulan September yang lalu.

Forum ini berlangsung selama dua jam melibatkan tiga panelis hebat iaitu saudara Mohd. Aiman bin Ahmad Faudzi, Jawatankuasa Kajian dan Informasi PEMBINA, saudara Mohammed Bukhairy bin Mohammed Sofian, Naib Presiden Persatuan Islam Universiti Malaya dan Dr. Wan Adli bin Wan Ramli, Pensyarah Jabatan Aqidah dan Pemikiran, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Sepanjang forum ini berlansung, pelbagai isu berkaitan liberalisme telah dikupas dan didedahkan secara harmoni oleh ahli-ahli panel. Pelbagai idea dan pendapat dilontarkan sekaligus menjadikan forum ini semakin hangat. Wakil PEMBINA saudara Aiman menegaskan, kita tidak boleh berlonggar dalam isu liberalisme ini kerana sejarah telah menunjukkan kesan buruk idealogi ini terhadap agama Islam.

Menurut Dr. Wan Adli pula ketika ditanya mengenai kesan golongan liberal yang menggunakan slogan hak asasi untuk membuat tuntutan-tuntutan, beliau berkata, “Kalau kita menerima (hak asasi), maka kita terpaksa menolak sebahagian daripada ajaran agama kita sendiri (Islam).” Menurut beliau lagi, golongan Islam liberal ini tidak menolak agama tetapi mereka mentafsirkan semula agama dalam kerangka yang moden yang bukan sebagaimana difahami oleh Rasulullah S.A.W.. Beliau sebelum itu menjelaskan masalah dalam hak asasi yang dinyatakan dalam Cairo Declaration on Human Right in Islam.

Manakala wakil PMIUM, saudara Bukhairy turut mengingatkan mahasiswa bahawa golongan liberal ini perlu diseru kepada Islam sebenar dengan cara yang rasional sesuai dengan tahap kefahaman mereka.

Forum ini diakhiri dengan sesi soal jawab bersama penonton. PEMBINA KL berharap forum seperti ini dapat merapatkan lagi hubungan antara persatuan-persatuan mahasiswa di Malaysia, membantu mahasiswa dalam mengenali dan bersedia dengan situasi-situasi yang bakal ditempuhi, seterusnya menjamin masa depan agama, bangsa dan negara.

Meneraju Arus Mahasiswa.

Sumber:

PEMBINA Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top