“Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
Seorang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada semua daripada mereka adalah baik, berlumba-lumbalah kamu ke atas manfaat dan mintalah pertolongan daripada Allah dan janganlah bersikap lemah atau malas.”
(HR Muslim)
Kita mesti kuat!
Kerana Allah lebih menyukai mukmin yang kuat! Jika kita lemah fizikal tapi kuat jiwa, Allah sayang. Jika kita kuat fizikal tapi lemah jiwa, Allah juga sayang. Tetapi jika kita kuat fizikal & kuat jiwa, Allah lebih sayang. Tak mahukah kita menjadi ‘kesayangan Allah’?
Kerana itulah menyebabkan tokoh kita kali ini menyertai PEMBINA. Beliau yakin dengan PEMBINA dapat menjadikannya insan yang kuat fizikal dan rohani. Hal ini kerana PEMBINA menyediakan pelbagai program dan seminar untuk para belia dan beliawanis di Malaysia.
Mari kenalinya
Tokoh kita kali ini merupakan salah seorang pelajar dari Univeersiti Utara Malaysia (UUM) dalam jurusan Multimedia yang bernama Nurul Arifah bt Hidayat. Beliau berasal dari Kuala Langat, Selangor yang mendapat pendidikan awal di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas dan melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi Perlis sebelum menyambung di peringkat sarjana muda di UUM.
Walaupun dilahirkan di dalam keluarga yang sederhana, ia bukannya alasan untuk tidak berjaya. Kita mesti berjaya! Begitulah tekad seorang beliawanis yang ingin menjadi teladan buat adik-adiknya hasil didikan seorang pekerja buruh, En. Hidayat dan isterinya. Buktinya beliau mendapat keputusan yang cemerlang di setiap semester.

Dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai pelajar, ia tidak menjadi halangan buat Saudari Arifah untuk bergerak aktif sebagai aktivis di dalam PEMBINA di negeri Kedah dan sentiasa menjadi ahli jawatan kuasa (AJK) untuk program-program PEMBINA. Walaupun aktif di dalam PEMBINA, beliau juga melibatkan diri dalam persatuan di dalam UUM. Antara penglibatan beliau dalam berpersatuan di UUM adalah sebagai Naib Pengerusi Kolokium Pusat Islam(KPI), UUM dan Persatuan Silat Olahraga, UUM.
Beliawanis dan seni mempertahankan diri
Siapa sangka disebalik kelembutan seorang gadis, Saudari Arifah merupakan pemegang bengkung merah dalam seni mempertahankan diri, Silat Gayung. Dengan benakung yang dimiliki melayakkannya untuk mengajar asas-asas silat gayung kepada orang baru dalam bidang ini.
Sejak akhir-akhir ini, isu tentang seni pertahanan diri sudah menjadi ‘buah mulut’ orang ramai kerana jenayah berada di mana-mana, banyak gejala peras ugut, rogol dan ragut yang berlaku. Untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa, kita perlu tahu mempertahankan diri sendiri bila berhadapan dengan situasi yang tidak diingini terutamanya golongan wanita. Bukan itu sahaja, kita juga boleh membantu orang lain melawan penjahat yang cuba melakukan kejahatan terhadap mereka. Itulah sebab kenapa Saudari Arifah melibatkan diri dengan silat gayung dan menyarankan para beliawanis lain untuk turut juga melengkapkan diri dengan ilmu ini.
Kesimpulannya, kita perlu menjadi yang terbaik untuk semua bidang yang diceburi. Umat Islam harus kuat dan paling ke hadapan dalam semua aspek baik di dunia dan akhirat. Hanya mukmin yang kuat jiwa yang mampu mengharungi segala onak dan duri di jalan yang panjang ini. Hanya mukmin yang kuat jiwa yang mampu menahan kata-kata ejekan dan kejian yang tak pernah surut. Hanya mukmin yang kuat jiwa mampu memberikan sepenuh masanya, tenaganya, duit poketnya untuk dakwah.
Sumber: Laman sesawang PEMBINA UUM