’Islam Gagasan Belia Negara’ idea ajak belia lebih berwawasan

0T9A4028

KUALA LUMPUR, 4 April- Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) melihat negara Malaysia sedang menghadapi bencana ideologi dan sosial yang besar.

Menurut Presiden Persatuan Belia Islam (PEMBINA), Ustaz Ibrahim bin Mohd Hasan al-Hafiz, sebahagian besar anak muda hari ini tenggelam dalam hiburan tanpa batas, tidak kurang juga golongan aktivis sosial yang bagaikan hilang arah dan terpengaruh dengan ideologi falsafah barat songsang.

“Di peringkat nasional pula, parti- parti politik bertelagah sesama sendiri manakala kelompok agamawan kelihatan bercakaran dalam isu-isu picisan,” ujarnya semasa sidang media Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan kali ke-8 yang berlangsung di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya.

Justeru itu, PEMBINA percaya rawatan bagi permasalahan ini bermula daripada peringkat belia yang sedar akan keperluan untuk berubah.

“’Islam Gagasan Belia Negara’ ialah suatu idea yang ingin mengajak para belia supaya sentiasa berwawasan dan mempunyai gerak fikir yang jauh kehadapan,” katanya.

Ustaz Ibrahim juga berkata, slogan ini dipecahkan kepada empat isi utama yang mampu membangunkan semula suatu generasi pemuda yang hebat.

Pertama, Islam yang difahami oleh belia di Malaysia perlulah dalam kefahaman Islam menjadi paksi kepada segala prinsip penyelesaian baik dari sudut ekonomi, pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan, hubungan antarabangsa, dan sebagainya.

Selain itu, membangunkan identiti Malaysia menjadi sebuah negara Islam yang sempurna merupakan hak dan tanggungjawab belia Islam di Malaysia.

Ustaz Ibrahim menyeru agar belia negara lebih matang serta berfikiran lebih jauh. Mereka perlu bersifat lebih konstruktif dan bukannya destruktif atau anti-establishment dalam merangka hala tuju negara.

Akhir sekali Islam sebagai agama negara dan teras kepada perlembagaan menjadi asas rujukan utama dalam hal-hal berkaitan kenegaraan. Identiti dan kedudukannya yang tertinggi perlu dipertahankan.

Antara tetamu jemputan yang hadir ialah Dr Syamil, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-medik), Hafizan Wahab, Kelab Remaja ISMA (KRIM), Hasni Ahmad, Pemuda HALUAN, Muhammad Afiq Awang Bakar, Naib Presiden 2 Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS), Muna ‘Adila Che Rime dan Fathiah Mohd Pauzi, Majlis Politik Nasional SIGMA, Akram Ikrami, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Universiti Islam Selangor.

 

Wan Nur Hafizah binti Wan Azmil

Wartawan PEMBINA

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top