KUALA LUMPUR, 4 April – Bagi menjayakan agenda ‘Islam Gagasan Belia Islam, PEMBINA menggariskan tiga strategi utama untuk menjayakannya.
“Usaha rapi dan terancang perlu dilakukan, untuk ini PEMBINA telah mengorak beberapa langkah gigih mengkaderkan ahli PEMBINA dengan formula Tajmik Ala PEMBINA (TAP),” ujar Ustaz Ibrahim Mohd Hasan semasa siding media Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-8, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).
“PEMBINA amat yakin bahawa formula TAP yang telah dirangka secara khusus ini adalah formula terbaik untuk menarik belia ke arah agenda PEMBINA agar mereka memahami dan berkongsi aspirasi yang sama dengan PEMBINA.
“Formula ini ternyata berkesan kerana kini, PEMBINA berjaya berada di hampir 81 buah IPT, mendaftar secara rasmi di 21 buah Universiti, mempunyai 24 buah cawangan seluruh negara dan keahlian yang mencecah 21 ribu orang”, ujarnya.
Agenda kedua pula, adalah kempen Malaysia Negara Islam.
“Selama tiga bulan ini bermula Februari yang lalu, PEMBINA telah berjaya melahirkan 300 orang speaker yang akan menjadi jurubicara PEMBINA kepada IPT di seluruh Malaysia,” ujarnya.
Jurubicara PEMBINA ini akan memberikan kesedaran kepada belia-belia di IPT bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam dan ia perlu terus dipertahankan.
Seterusnya, PEMBINA telah menjalin hubungan diplomatik dengan Parti AKP Turkey dan Pakatan Islami Jordan bagi mencari formula membumikan ruh Islam dalam pemerintahan.
“Usaha-usaha luar biasa ini merupakan usaha-usaha yang Allah izinkan PEMBINA lakukan supaya arus belia yang membawa gagasan Islam mampu dibina dan menghasilkan Malaysia yang lebih baik.
“PEMBINA akan terus mengorak langkah dan mengatur strategi-strategi baru dari semasa ke semasa bagi menjayakan aspirasi dan agenda Islam Gagasan Belia Negara sehingga wujudnya suatu arus yang kuat dalam membumikan gagasan Islam di muka bumi Malaysia ini. Insyallah,” katanya.
MATK 8 ini dihadiri seramai 550 orang perwakilan dan pemerhati yang mewakili 81 buah institut pengajian tinggi (IPT) dan 24 buah cawangan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Antara tetamu jemputan yang hadir ialah Dr Syamil, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-medik), Hafizan Wahab, Kelab Remaja ISMA (KRIM), Hasni Ahmad, Pemuda HALUAN, Muhammad Afiq Awang Bakar, Naib Presiden 2 Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS), Muna ‘Adila Che Rime dan Fathiah Mohd Pauzi, Majlis Politik Nasional SIGMA, Akram Ikrami, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Universiti Islam Selangor.
Wan Nur Hafizah binti Wan Azmil
Wartawan PEMBINA