PEMBINA sedia pertahan Malaysia sebagai negara Islam

0T9A3995

KUALA LUMPUR, 4 April – Pertubuhan Belia Islam Malaysia (PEMBINA) mengingatkan golongan yang menjadikan hak asasi manusia sebagai ‘agama’ bahawa PEMBINA akan terus membawa arus baru dalam perjuangannya bagi menjayakan projek memastikan Malaysia kekal sebagai negara Islam.

Presiden PEMBINA, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz, berkata untuk tujuan itu pertubuhan berkenaan melancarkan kempen sembang santai ‘Malaysia Negara Islam’ di kalangan belia, khususnya membabitkan pelajar universiti tempatan.

“Tekanan dan desakan golongan yang mahu menjadikan Malaysia negara sekular menuntut PEMBINA menggencarkan kempen sembang santai ‘Malaysia Negara Islam’.

“Bermula Februari lalu, PEMBINA berjaya melahirkan hampir 300 speaker yang cekap untuk menjadi lidah PEMBINA menyampaikan agenda Malaysia Negara Islam.

“Hujahan serta kajian PEMBINA berserta bukti baik dari sudut falsafah, syariah, sejarah dan perundangan berjaya mematahkan hujah yang hampir berstatus quo bahawa Malaysia merupakan negara sekular.

“Kita katakan awal-awal kepada golongan sesumpah jahiliyah, golongan liberalis sekularis dan golongan yang mengagamakan hak asasi manusia bahawa PEMBINA akan membawa arus baru menjayakan projek umat bahawa Malaysia dulu, kini dan selamanya merupakan sebuah negara Islam,” katanya pada sidang media di Universiti Malaya di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan dasar pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-8 PEMBINA, beliau mendedahkan sejak tahun 1986, dana asing telah disalurkan kepada gerakan sivil dan politik bagi menjayakan misi menjadikan Malaysia negara sekular.

Hakikatnya, kata beliau, Malaysia telah mula mendepani agenda liberalisme yang memperkenalkan sebuah konsep negara sekular seawal usia kemerdekaan.

“Tetapi sejak 1986, dana asing telah disalurkan daripada barat kepada gerakan-gerakan sivil dan politik. Tujuannya adalah semata-mata untuk menjayakan misi menjadikan Malaysia negara sekular.

“Pelbagai hak kebebasan tanpa batas cuba ditanamkan sebagai prinsip perjuangan aktivis-aktivis sosial di Malaysia.

“Sehinggakan sekarang mereka sudah mempunyai satu arus yang ampuh, bermandiri, yang mampu menggerakkan agenda Barat tersebut,” katanya.

Di samping itu, kata Ustaz Ibrahim, pada peringkat antarabangsa pula mereka menggunakan kaedah ‘semantic infiltration’ untuk mengubah makna negara Islam ataupun ‘Islamic State’ menggunakan ISIS.

“Tetapi setelah tahun 2003, mereka berjaya mengubah makna jihad menjadi ‘terrorisme’.

“Sedangkan di pihak umat Islam, kita sering persoalkan siapa lagi yang boleh diharapkan dalam membangunkan Islam sebagai sebuah gagasan negara?,” katanya.

Ustaz Ibrahim berkata, kebanyakan umat Islam di Malaysia kurang beriman terhadap keperluan membangunkan Islam menjadi gagasan sebuah negara.

“Mereka juga kurang celik menanggapi makna menjadi seorang Muslim dan beriman dengan jihad. Justeru, PEMBINA mengambil posisi utama dalam memperkenalkan semula definisi jihad ini.

“Oleh kerana itu jugalah, sembang santai ‘Malaysia Negara Islam’ ini kita laksanakan bermula awal April di seluruh institusi pengajian tinggi.

“PEMBINA akan memberikan kesedaran kepada belia-belia di IPT bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan harus dipertahankan,” ujarnya.

sumber : ISMAweb

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top