IRF, SIS, Lepak Maqasid dan IKD Pelopor Fahaman Songsang

BANGI, 22 Feb- Islamic Renaissance Front (IRF), Sisters in Islam (SIS), Lepak Maqasid dan Institut Kajian Dasar (IKD) merupakan golongan pelopor fahaman-fahaman Islam songsang yang menambah kekeliruan dalam pemikiran dan jati diri dalam kalangan belia Islam.

“Golongan yang mempelopori fahaman-fahaman ini menamakan diri mereka sebagai golongan pencerahan yang menampakkan diri mereka sebagai pembawa Islam walhal sebenarnya mereka menambah kekeliruan dalam pemikiran dan jati diri yang kini semakin meruncing dalam kalangan belia Islam”, tegas Ustaz Ibrahim bin Mohd Hasan, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) ketika berucap pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-7 (MATK7) PEMBINA.

Menurutnya fahaman songsang yang dimaksudkan ialah fahaman liberalisma dan pluralisma yang cuba diasimilasikan dengan Islam, yang akan mewujudkan fahaman Islam liberal dan Islam plural yang secara tidak langsung mencacatkan manhaj Islam yang syumul.

Tambah beliau lagi fahaman-fahaman ini bertopengkan unsur hak rakyat, hak asasi manusia dan hak minoriti yang menyebabkan fahaman-fahaman ini sukar dilihat oleh kebanyakan umat Islam.

Oleh itu, PEMBINA telah mengeluarkan lima seruan khusus kepada belia supaya tidak terpengaruh dan tenggelam dalam fahaman ini dengan belia perlu memahami persoalan aqidah adalah lebih utama dan berat berbanding persoalan kebajikan dan salah laku. Namun begitu isu aqidah seperti menularnya fahaman liberalisma, pluralisma, isu murtad dan pemurtadan, aliran sesat seperti Syiah tidak memadamkan langkah pembaikan dalam soal harga barang, hak asasi, bahkan rasuah, kronisme ataupun nepotisme. Kita penuh yakin bahawa jika kita gagal mempertahankan kemurnian aqidah dan pokok-pokok ajaran agama maka kita telah menempah kemurkaan Allah SWT yang lebih besar yang mungkin menjemput bala bencana dari pelbagai sudut kehidupan yang lain.

Kedua, belia perlu berhati-hati dengan gerakan yang melabel diri mereka golongan pencerahan dan teguh memperjuangkan hak asasi manusia, hak rakyat dan hak minoriti. Kebanyakkan gerakan ini memakai topeng perjuangan hak asasi manusia untuk mengaburi hala tuju belia Islam.

Ketiga, bagi aktivis belia dan mahasiswa, mereka perlu membina jati diri dan hala tuju yang merdeka dan tidak ghairah dengan platform tumpang sekaki dalam membangun gerakan mereka. Dalam keadaan fitnah (kabur di antara haq dan batil) pada zaman ini, kebanyakkan gerakan akan berakhir celaru dan buntu. Ini dibuktikan dengan gerakan mahasiswa seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

sidang media matk

Kemudian, belia perlu bersungguh-sungguh dalam mencari Ilmu terutamanya ilmu berkenaan syariah, falsafah dan perundangan. Tiga elemen ilmu ini perlu dititikberatkan supaya boleh membentuk sudut pandang dengan neraca Islam sesuai dengan struktur Negara Malaysia. Keutamaan ini menjadi keutamaan yang sangat tinggi supaya belia dan mahasiswa boleh memisahkan antara yang hak dan batil secara jelas dan menyeluruh.

Seterusnya, belia juga perlu bersikap proaktif dalam mendepani fahaman songsang dengan memperbanyakkan penyebaran maklumat seperti bahan penulisan, video, poster, buku dan lain-lain. Media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whats App perlu dijadikan platform untuk mencapai dan menggarap perhatian belia dan mahasiswa supaya lebih ramai yang sedar akan ancaman yang sedang mereka hadapi ini dalam tidak mengkesampingkan platform fizikal seperti ceramah, rapat umum, seminar, sesi dialog, penerangan dan lain-lain.

MATK7 ini telah dirasmikan oleh Tuan Abdul Rahman bin Md Dali, Presiden II Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Auditorium Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan dihadiri persatuan belia Islam yang lain, antaranya Gabungan Mahasiswa Islam  SeMalaysia (GAMIS), HaluanSiswa dan Persatuan kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Seramai 250 perwakilan dan pemerhati dari setiap cawangan PEMBINA seluruh Malaysia hadir . PEMBINA merupakan sebuah badan belia Islam yang mempunyai 19 cawangan dengan 11,000 ahli.

Wartawan : Mohd Haziqq bin Mohd Isa.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top