20 Februari 2014 / 19 Rabiul Akhir 1435h Kami mewakili Gerakan Mahasiswa Islam Nasional menyatakan pendirian kesal kami dengan penganjuran “Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian” yang dianjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana dibawah kelolaan Tun Dr. Mahathir Mohammad. Kami berpendirian bahawa:
1. Seminar tersebut tidak wajar diadakan kerana ia jelas menunjukkan satu pengiktirafan diberikan kepada Kassim Ahmad setelah keputusan Majlis Fatwa telah dikeluarkan.
2. Kami sebulat suara berpegang dengan keputusan Majlis Fatwa bahawa pemikiran Kassim Ahmad mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Akidah, Syariah dan Akhlak Islam.
3. Kami juga mendesak siasatan dijalankan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, JAKIM atau pihak berkuasa terhadap penganjur bagi membongkar dalang sebenar disebalik program yang dijalankan ini.
4. Peranan para mufti dan alim ulama’ diperlukan dalam menjawab segala penyelewengan dan memberi pencerahan kepada masyarakat terutamanya melalui media massa.
5. Masyarakat perlu dididik melalui pemantapan aqidah dan pendidikan Islam disemua peringkat melalui jabatan agama Islam, masjid-masjid dan NGO-NGO Islam.
6. Debat dan wacana tertutup antara Kassim Ahmad dengan para mufti dan alim ulama’ wajar diadakan bagi tujuan dakwah agar Kassim Ahmad bertaubat dan kembali berpegang dengan ajaran Islam sebenar.
7. Tindakan Tun. Dr. Mahathir menyokong pemikiran Kassim Ahmad adalah satu perkara yang cukup dikesali dengan hujah agak rapuh.
8. Kerajaan perlu mengambil tindakan serius terhadap golongan anti hadis sebagaimana tindakan kerajaan terhadap golongan Syiah yang keduanya jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.
Yang benar,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
IKRAM Siswa
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)