Impak HIMMAH yang tinggi

Suatu perkara yang amat diperlukan oleh pejuang di jalan dakwah dalam suasana yang serba sukar seperti hari ini ialah memiliki himmah yang tinggi atau kehendak yang sakti. Kerana mereka yang inginkan ketulinan, syurga Firdaus yang tertinggi dan tamakkan apa yang ada disisi Allah sahaja yang akan meneruskan usaha ke penghujung jalan menuju kesempurnaan. Adapun mereka yang redha dengan pencapaian yang rendah, iman yang bercampur campur, dan berkongsi hidup dengan jahiliah tidak akan dapat meneruskan perjalanan dijalan dakwah.
Beban ketulinan amat berat bagi mereka, perjalanan menuju kesempurnaan terlalu jauh dan cintakan keselesaan dan tawaran yang lumayan daripada kehidupan duniawi menghijab mereka daripada melihat keutamaan apa yang ada di sisi Allah s.w.t.Orang yang memilki himmah yang tinggilah yang merubah wajah permukaan dunia, setiap fikrah yang ilmiah atau projek yang membina atau pengislahan masyarakat dan umat, berdiri di belakangnya lelaki yang agung, beriman dengan gagasan pemikiran Islamnya, berkerja bermati-matian sehingga sampai kepada matlamat atau mati kerananya.
Himmah yang tinggi adalah satu kuasa yang diwujudkan oleh Allah dalam diri manusia, ditakrifkan oleh ulama’ sebagai suatu perasaan dan sikap memandang rendah terhadap pencapaian yang kurang daripada darjat yang paling tinggi dalam urusan besar-besar.Berkata Ibnu Qayyim, “Himmah seseorang hamba apabila terpaut pada pada al-Haq (Allah tabaraka wa ta’ala) sebagai tujuan pencarian yang benar, suci dan tulus, itulah himmah yang tinggi. Mereka tidak redha selain dari jalan syurga sebagai ganti, dan tidak akan menjualnya dengan habuan diri dan syaitan.
raedsolahhimmah

Sheikh Al-Aqsa, Raed Solah, pemimpin Harakah Islamiyah Palestin 1948 merupakan seorang tokoh yang mempunyai himmah yang tinggi menyampaikan pidatonya di HIMMAH 2012. (Gambar hiasan)

Himmah yang tinggi membantu seseorang hamba mengatasi kesukaran dan kepayahan, membawa pemiliknya mencapai ketinggian pahlawan. Berkata Khalifah Umar bin Abdul Aziz, “Aku akan memandang mudah segala kesusahan sehingga aku menemui mati.”

Ketinggian himmah dapat dikesan dalam beberapa perkara antaranya pencapaian di bidang ilmu. Jika tidak kerana himmah yang tinggi, nescaya salafus soleh tidak akan mencapai kecemerlangan dalam ilmu agama dan juga dunia, menjadi pelopor dalam berbagai ilmu dan kemahiran.

Kedua, mampu menterjemahkan ilmu kepada amal. Ilmu tanpa amal tidak bernilai. Oleh itu, pendakwah dan aktivis yang ilmunya mampu digunakan untuk melahirkan generasi pahlawan dan pejuang adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai himmah yang tinggi. Adapun mereka yang hanya pandai bercakap, dan suaranya lantang dalam program-program ceramah tetapi tenggelam di medan yang sebenar sebenarnya dia bukanlah pendakwah. Seorang lelaki menceritakan berkenaan seorang salafus soleh, “Hasan Al-Basri tidak akan sampai kepada ketinggian pencapaiannya hari ini kecuali kerana apabila beliau menyuruh orang melakukan sesuatu, beliau menjadi orang yang pertama melakukannya. Dan apabila beliau melarang sesuatu, beliau menjadi orang yang berada paling jauh daripada perkara itu.”
Ketiga, ketinggian himmah juga dapat dilihat dalam bentuk seseorang berasa megah dengan dakwahnya dan dengan nilai-nilai Islam yang ia pegang, memiliki hati yang kuat dan teguh, mara dengan penuh hikmat dengan pandangan yang jelas, bukan meredah tanpa perkiraan yang rapi serta menjadi manusia yang bekerja melaksana. Apabila dia menyakini sesuatu perkara, ia segera diterjemahkan kepada tindakan dan realiti.

prespembinademomorsi

Presiden PEMBINA di suatu perhimpunan aman menyokong Morsi di Kuala Lumpur. (Gambar hiasan)

Rasulullah s.a.w merupakan contoh teragung pada aspek ketinggian himmah ini. Sabda Baginda, “Demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan agama ini, sekali-kali tidak akan aku meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan atau aku binasa kerananya.”

Bilal bin Rabah al Habsyi dan keluarga Yasir diseksa dengan berbagai jenis seksaan sehingga Yasir dan isterinya Sumayyah mati syahid. Ammar bin Yasir tidak bersedih kecuali kerana terpaksa menyebut Nabi Muhamad dengan kalimah yang buruk. Para sahabat dahulu telah bersabar dan mengosongkan jiwa mereka daripada memikirkan tentang habuan diri. Apa yang mereka dambakan hanyalah ganjaran daripada Allah. Mereka sebenarnya pemegang amanah dakwah ini.

Lihat pula apa yang berlaku kepada Abdul Rahman Ad Dakhili apabila dihadiahkan kepadanya seorang hamba perempuan (jariah) ketika beliau mula-mula tiba di bumi Andalus (Sepanyol). Beliau memandang jariah tersebut dan berkata, “Ia sangat menarik hati dan menyejukkan mata. Jika aku tidak melayannya kerana sibuk dengan perkara yang lebih penting, aku akan menzaliminya. Jika aku sibukkan diriku dengannya dan meninggalkan perkara yang lebih penting, aku akan menzalimi himmahku dan mensia-siakan
umatku. Jadi, aku tidak memerlukannya pada masa ini.” Kemudian diserahkan jariah tersebut kembali kepada tuannya.

Lihatkan bagaimana pendirian tokoh-tokoh besar umat ini suatu ketika dahulu. Mereka telah dipelawa dengan keenakan dan kelazatan dunia yang halal tetapi mereka menolaknya kerana sibuk dengan urusan yang lebih penting.Faktor-faktor ke arah ketinggian himmah:
1. Kesediaan dan persiapan diri yang terpancar dari dalam jiwa untuk berubah.
2. Bersikap positif dan cakna terhadap apa yang berlaku di sekeliling diri, meninggalkan sifat malas dan sifat naif.
3. Meminta pertolongan daripada Allah supaya diberi taufik sebelum dan selepas amal tindakan serta dipermudah dalam menghadapi segala halangan dan kepayahan.
4. Menggunakan waktu dengan baik dan menyibukkan diri dengan perkara yang penting sahaja.
5. Menetapkan objektif diri dan mempunyai kehendak yang kuat untuk mencapainya.
6. Mengkaji dan meneliti sirah tokoh-tokoh yang memilik himmah yang tinggi.
7. Berfikir tenteng keadaan dan nasib umat Islam di seluruh dunia.Di mana kita dan di mana HIMMAH kita? Gaya hidup dan perilaku kita hari ini sebenarnya menjelaskan di mana kedudukan kita.
Ayuh ke #HIMMAH2013 #Aktivisme&Kepimpinan #SayaPemimpinUmmah
Sumber: www.massej.info

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top