Ada apa dengan Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Intan dan Parlimen Bukit Gelugor?

Sekarang ini merupakan musim kehangatan negara kita berhadapan dengan dua Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Telok Intan (P76) dan Parlimen Bukit Gelugor (P51) rentetan kematian penyandang kedua-dua kerusi parlimen berkenaan. Penyandang kerusi parlimen Teluk Intan, mendiang Seah Leong Peng meninggal dunia pada 1 Mei akibat penyakit kanser pundi kencing yang dideritainya, manakala penyandang kerusi parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh akibat nahas jalan raya di Kampar, Perak pada 17 April yang lepas. Kedua-dua penyandang merupakan ahli parlimen dari parti DAP.

Kedua-dua kerusi parlimen ini dimenangi Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihanraya Umum ke-13 tahun lalu, melalui parti DAP. Adakah dua PRK ini mampu memberikan impak yang besar kepada gelanggang politik negara? Bagi saya, TIDAK. Mengapa TIDAK? Ini kerana kedudukan pembahagian 222 kerusi Dewan Rakyat sebelum kematian dua YB ini adalah BN dengan 133 kerusi dan PR 89 kerusi. Jika BN berjaya merampas kedua-dua kerusi ini dalam kedua-dua PRK kali ini sekalipun, kedudukan semasa pembahagian kerusi di Dewan Rakyat akan berubah menjadi BN dengan 135 kerusi manakala PR 87 kerusi. Jumlah 135 ini masih jauh untuk BN memperoleh majoriti 2/3 iaitu 148 kerusi. BN memerlukan 13 kerusi lagi untuk mendapat majoriti dua pertiga kerusi, dan ia kelihatan mustahil berlaku dalam masa terdekat.

Jika PR pula mampu mengekalkan kedua-dua kerusi ini sekalipun, bermakna kedudukan pembahagian kerusi di Dewan Rakyat tidak berubah iaitu BN dengan 133 kerusi dan PR dengan 89 kerusi. Ini juga jelas menunjukkan masih jauh untuk PR memperoleh majoriti mudah 112 kerusi dan bertukar status menjadi kerajaan. PR memerlukan 23 kerusi lagi untuk mencapai majoriti mudah tersebut, dan ini juga dilihat mustahil berlaku dalam masa terdekat.

Jadi, kembali kepada persoalan utama kita berkenaan kepentingan PRK kali ini kepada wajah politik negara. Bagi saya secara peribadi, PRK kali ini sangat penting dalam menilai DUA aspek berikut iaitu yang pertama menambah bilangan ahli Dewan Rakyat yang akan menyokong usul Rang Undang-undang Pelaksanaan Hudud di negeri Kelantan apabila ia dibentangkan kelak. Dalam PRK Teluk Intan, mungkin tiada lagi pilihan kepada rakyat yang mahukan pelaksanaan undang-undang hudud kerana kedua-dua calon jelas dan tanpa berselindung lagi telah mengisytiharkan penolakan mereka mengundi menyokong hudud di Dewan Rakyat kelak. Harapan yang tinggal hanyalah calon Bebas di PRK Bukit Gelugor, Mohamed Nabi Bux yang berikrar akan menyokong usul hudud tersebut.

Aspek kedua mengapa kedua-dua PRK ini penting adalah untuk menilai pihak manakah yang kekal dengan prinsip dan keyakinan mereka. Isu berpegang kepada prinsip ini dipersoalkan terutama merujuk kepada calon DAP Teluk Intan, Dyana Sofya yang secara jelas berikrar akan menolak usul hudud kerana berpegang kepada prinsip parti DAP yang diwakilinya. Ironinya, sebahagian gerakan Islamis bersedia berkompromi mengetepikan prinsip perjuangan parti untuk melaksanakan hudud  dan mempromosi calon ini atas dasar ‘Tahaluf Siyasi’.

Perkara ini turut menunjukkan sikap ‘double-standard’ dalam menilai pertembungan antara Muslim yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya (Dyana Sofya) dengan bukan Muslim (Mah Siew Keong). Walhal atas alasan apa mereka menolak untuk menyokong calon Muslim BERJASA ketika berhadapan dengan calon bukan Muslim dari BN & PR di kawasan yang majoritinya Muslim ketika PRU 13 yang lepas? Ini jelas menunjukkan, perjuangan bertitiktolak kepada prinsip yang dilaungkan adalah tidak benar, dan sebenarnya mereka berjuang berteraskan sentimen dan emosi kepartian semata-mata.

Isu ini boleh juga dilihat dengan jelas apabila kita melihat respon Dyana Sofya berkaitan isu pemakaian tudung yang disifatkannya sebagai hak individu. Tetapi penolakan rakyat ke atas kepimpinan Najib Razak dikatakan kerana beliau tidak mampu memimpin isterinya memakai tudung dan mengikut syariat sekaligus tidak layak menjadi pemimpin. Lebih malang lagi dalam kes Dyana ini, calon sendiri yang dengan jelas menolak tidak mengikut syariat, bukan ahli keluarganya.

Kesimpulan yang dapat saya rumuskan mudah. PRK kali ini sebenarnya bukan soal dominasi kerusi di Parlimen. Yang lebih jelas, PRK kali ini menunjukkan perbezaan hakiki antara mereka yang berjaya mengekalkan prinsip dan mereka yang tewas kepada desakan politik dan menggadaikan prinsip. Ibarat meludah ke langit, terjatuh ke muka sendiri, mengejar jumlah kerusi dengan meninggalkan amanah agenda memartabatkan Islam.

Kepada para pengundi di Teluk Intan dan Bukit Gelugor, saya nasihatkan agar anda mampu membuat pilihan yang bijak, Saya tidak bermaksud berkempen untuk mana-mana calon, tetapi ia merupakan pandangan ikhlas saya terhadap halatuju politik Islam dalam negara kerana saya juga adalah hamba pada Allah, Tuhan yang Esa, yang menguasai seluruh alam, san selamanya akan cuba menjadi hambaNya yang berusaha menegakkan syariatNya bukan hanya di Putrajaya, tetapi di seluruh dunia.

Nor Aizat Rahimi Rostam Rahimi,
JK Pembangunan Sumber Manusia,
PEMBINA
—————-

Sumber :
1) Senarai Ahli Dewan Rakyat – http://www.parlimen.gov.my/ahli-dewan.html?uweb=dr&
2) PAS Sokong Dyana, walau tolak RUU Hudud – http://www.malaysiakini.com/news/263276
3) Tudung Soal Peribadi, Ramai Pemimpin Juga Tak Pakai – https://my.news.yahoo.com/video/tudung-soal-peribadi-ramai-pemimpin-174020732.html
4) Gerakan Tolak Hudud – http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140429/po_07/Gerakan-tolak-hudud

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top